Home » » Roti Delight satukan tiga beradik

Roti Delight satukan tiga beradik

Written By kall on Thursday 16 August 2007 | 21:53


DARI kanan, Kamilah Chow Abdullah, Kim Yoon Chow dan Harry Chow meletakkan harapan tinggi kepada pembukaan Roti Delight yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

ACAP kali membicarakan tentang keteguhan hubungan kekeluargaan, peribahasa paling popular digunakan ialah, air dicincang tidak akan putus. Mungkin ada segelintir masih meragui kebenaran kenyataan ini, apatah lagi dengan pelbagai paparan kisah kerapuhan institusi kekeluargaan oleh media massa.

Namun, kewujudan restoran Roti Delight di Pandan Indah, Kuala Lumpur bukan sekadar usaha kesinambungan resipi warisan keluarga serta olahan resipi-resipi baru sesuai cita rasa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa tetapi apa yang lebih menyentuh hati kecil penulis ialah sinar ukhwah, kesepakatan, toleransi, silaturahim, keazaman, pengorbanan dan cita-cita tiga beradik yang mempunyai satu visi, meskipun berbeza agama.

Penubuhan Roti Delight adalah hasil kolaborasi dan aspirasi Kamilah Chow Abdullah, 46, Kim Yoon Chow, 45 dan Harry Chow, 42, dengan satu misi iaitu membina sebuah empayar perniagaan makanan yang halal, unik, sekali gus meneruskan salah satu resipi warisan keluarga iaitu sejenis roti gergasi berinti kari ayam kepada khalayak ramai tanpa batasan agama dan bangsa.

“Apa yang pasti, Roti Delight membawa identitinya yang tersendiri, sama ada dari segi penyediaan makanan dan minuman serta hiasan dalaman restoran. Penataan dinding dengan kombinasi warna hijau limau dan jingga dipilih sebagai warna tema dalaman restoran kerana dua warna ini boleh membuka selera makan seseorang.

“Sementara itu, sebahagian perabot yang terdapat di restoran ini pula ada yang berusia puluhan tahun seperti kerusi yang mencecah usia 60 tahun. Sementara, di sudut mencuci tangan, dihiasi cermin antik yang diimport dari China.

“Selain itu, kami juga ada menu-menu baru antaranya; Roti Delight, AusPie Delight dengan dua cita rasa, Nasi Delight iaitu persembahan tiga jenis nasi yang berbeza warna dan rasa (nasi lemak, nasi kunyit dan nasi ubi keledek) yang dihidangkan dengan kari ayam istimewa, acar dan keropok, aneka Mi Delight dan minuman,” cerita adik bongsu, Harry Chow yang sanggup kembali ke tanah air setelah lebih 21 tahun menetap di Australia.

Semuanya demi bersama-sama dua kakaknya meneruskan semula usaha ibu yang meninggal dunia pada November, tahun lalu.

Sementara itu, kakak sulung daripada empat adik-beradik ini, Kamilah berkata, Roti Delight adalah satu-satunya restoran yang menyediakan roti bersaiz besar serta makanan dan minumannya halal. Restoran mereka ini sedang dalam proses terakhir mendapatkan pengiktirafan logo Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sebagai seorang Muslim, saya rasa terpanggil untuk berkongsi keunikan resipi warisan keluarga kami, walaupun roti ini pada hakikatnya disediakan secara bersih dan halal.

“Seperkara lagi, sungguhpun kami menyedari bahawa makanan ruji masyarakat Malaysia ialah nasi namun roti juga sesuatu yang mengenyangkan lebih-lebih lagi, ia dilengkapi dengan hidangan kari ayam di bahagian dalam roti. Yang pasti, kedua-dua bahan ini bukanlah asing dengan cita rasa orang kita,” jelasnya.

Simbol penyatuan

Oleh itu, pembukaan restoran Roti Delight ini bukan sahaja bertujuan memenuhi permintaan peminat roti istimewa tetapi apa yang lebih penting, ia satu simbol penyatuan kepelbagaian agama dan bangsa di Malaysia.

“Berkemungkinan, ada yang masih was-was, tetapi insya-Allah penggunaan bahan mentah dan cara penyediaan adalah mengikut landasan syarak,” jelas Kamilah yang memeluk Islam pada September 1994 selepas setahun mengenali suami, Kamal Kuek Abdullah. Kamal dilahirkan dalam keluarga Islam yang berasal dari Tanah Besar China.

Menurut Kamilah, sebelum ini, roti ciptaan tradisi keluarga mereka hanya boleh didapati di restoran Kim Yoon di Seremban sejak 10 tahun lalu. Melihat kepada sambutannya yang semakin baik terutamanya dari Kuala Lumpur dan Selangor, maka pembukaan restoran Roti Delight di Kuala Lumpur dirasakan satu langkah bertepatan serta memudahkan pelanggan agar tidak perlu lagi berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban.

Akuinya lagi, kerjasama serta kefahaman adik-adiknya untuk menyediakan makanan dan minuman yang menepati konsep halal seharusnya menjadi contoh dan ikutan ramai. Ini kerana, apa yang terdapat di dalam Islam itu selari dengan fitrah manusia. Sikap keterbukaan itu adalah kerana mereka memahami Islam menerusi cara yang betul bukan dari sisi negatif.

Ini terbukti lagi apabila Harry dan Kim Yoon tidak keberatan menerima kehadiran 30 imam muda dari China untuk bacaan doa selamat sebelum majlis perasmian restoran yang dilakukan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia atau Macma, Datuk Mustafa Ma pada 26 Mei lalu.

Pada hari itu juga, beberapa kenalan Kamilah turut menunjukkan sokongan dengan sama-sama hadir memeriahkan majlis tersebut.

Ditanya bagaimana hidayah Ilahi menerpa dalam sanubarinya, Kamilah tidak malu mengakui bahawa dirinya menerima hidayah menerusi perkahwinan.

Baginya, mengapa perlu ada perasaan malu dengan kenyataan tersebut, kerana sejarah penyebaran Islam dahulu pun bermula dengan faktor perkahwinan. Pokok pangkalnya, waima apa cara sekalipun penerimaan hidayah itu, bagaimana kita mengekalkan serta menghayatinya itu jauh lebih penting dan bermakna.

Berkongsi kisah awal mendalami ilmu agama, cerita Kamilah, beliau bertuah kerana mempunyai suami yang begitu penyabar dan sentiasa memberi sokongan serta tunjuk ajar terutamanya dalam memantapkan ilmu kerohanian.

“Saya belajar secara berperingkat-peringkat dan melakukan sesuatu ibadah itu mengikut kemampuan diri. Apabila teringat bagaimana saya mula-mula membaca surah al-Fatihah, boleh tergelak dibuatnya.

“Saya juga menghadapi sebagaimana mualaf lain iaitu dari segi tentangan keluarga. Namun, itu semua saya lalui dengan penuh kesabaran dan akhirnya mereka merestuinya.

“Malah, sebenarnya, orang bukan Islam tidak mendapat gambaran jelas tentang agama Islam menyebabkan timbul persepsi negatif, sekali gus mewujudkan rasa takut serta tidak suka dengan Islam,” cerita beliau.

Hasil perkahwinan Kamilah dengan Kamal, seorang pengamal akupuntur pada 1994, dikurniakan seorang anak lelaki bernama Yuhan Kuek Kamal, 8. Yuhan bersekolah di Sekolah Islam Adni yang terletak di Ukay Height, Jalan Hulu Kelang.

Harapan Kamilah, semoga ketibaan Ramadan sedikit masa lagi, orang ramai terutamanya umat Islam boleh mencuba hidangan yang terdapat di Roti Delight terutamanya roti gergasi berlaukkan kari ayam.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang cuba mengambil makanan yang tidak terlalu berat sama ada sewaktu sahur mahupun berbuka puasa.

Mereka yang mahu mencubanya datanglah ke restoran Roti Delight di 25 G, Jalan Pandan Indah 1/23B, Pandan Indah, Kuala Lumpur. Nikmatilah hidangan istimewa Roti Gelight, Nasi Delight dan Mi Delight untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Restoran ini dibuka dari pukul 10.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Oleh ZUARIDA MOHYIN utusan

0 comments: