Home » » Jutawan Maajun

Jutawan Maajun

Written By kall on Monday 6 August 2007 | 20:24





Pengarah urusan pernah diarah jaja herba, minyak urut jenama Petani ke seluruh ceruk rantau

SYARIKAT Zulkifli Bamadhaj Sdn Bhd memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan beroperasi dari belakang rumah pada 1965. Didaftarkan sebagai sebuah syarikat pada 1972 dengan hanya mengeluarkan enam produk, syarikat itu kini menghasilkan lebih 60 jenis produk yang diedarkan di lebih 2,000 kedai dan cawangan niaga di seluruh negara.

Syarikat yang bertapak di Pagoh, Muar itu turut menjual produknya di Farmasi Pusrawi dengan membuka sebuah kaunter pameran di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang
Produk keluarannya termasuk Maajun Petani; Maajun dan kapsul Kacip Fatimah; Manjakani Plus untuk wanita; Maajun dan kapsul Ubijaga Tongkat Ali Plus untuk lelaki

Ia turut menghasilkan Minyak Urat Petani, Minyak Panas Petani, Minyak Pati Gamat Langkawi, Salap Petani, Rokok Resdung dan Ubat Periuk Petani yang semuanya berasaskan herba dan dihasilkan menggunakan resipi sendiri.
Jenama Petani yang digunakan sejak awal keluaran syarikat berkenaan, begitu terkenal di kalangan warga tua khususnya untuk minyak kegunaan mengurut dan Maajun yang diadun menggunakan resipi tradisi keluarga.

Kini syarikat berkenaan turut mensasarkan pasaran baru, menerusi produk baru sesuai dengan permintaan generasi muda dan kegunaan masa kini.

Pengarah Urusan Syarikat Zulkifli Bamadhaj, Zulkifli Khalid, menerajui syarikat berkenaan, selepas mengambilalihnya daripada bapanya, Khalid Ahmad yang kini berusia 72 tahun.

Mengimbau pembabitannya dalam perniagaan itu, Zulkifli berkata, beliau diberi dua pilihan ketika mengambil keputusan untuk bekerja sendiri, iaitu sama ada mahu meneruskan perniagaan mengeluarkan ubatan tradisional dan herba, ataupun menjadi peladang dengan mengusahakan tanah sawit, juga milik bapanya.

Beliau yang juga satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dua beradik itu, tidak sanggup mengerjakan ladang sawit yang dirasakannya begitu berat, memilih untuk mengendalikan Syarikat Zulkifli Bamadhaj.

“Saya tidak ada pilihan. Kedua-dua tawaran bapa tidak menarik, tetapi lebih baik menjadi penjaja ubat daripada terpaksa membanting tulang bekerja di ladang mengait buah sawit,” katanya mengenang kembali zaman awal pembabitannya pada 1995.

Keputusan yang dibuatnya bukan bermakna Zulkifli mewarisi terus sebuah syarikat yang sarat dengan wang dan aset berjuta, sebaliknya beliau diberikan sebuah van yang dimuatkan dengan produk yang dikeluarkan syarikat milik bapanya, tanpa wang sesen pun untuk memulakan perniagaan.

Berbekalkan van yang separuh penuh dengan muatan berisi maajun dan minyak urat itu, Zulkifli membuat perjalanan hampir setiap hari dan dengan tunai yang diraih, beliau gunakan sebagai modal pusingan setiap hari untuk menambah barangan yang kehabisan stok, sebelum meneruskan perjalanan untuk hari-hari seterusnya.

Bunyinya bagai sebuah drama, tetapi itulah perjalanan yang dilalui Pengarah Urusan Syarikat Zulkifli Bamadhaj Sdn Bhd, yang berumur 35 tahun itu pada peringkat awal mewarisi perniagaan bapanya sebagai pengeluar dan peniaga ubatan tradisional serta herba.

“Bapa kata, di mana ada jalan, di mana ada lorong, di mana ada kedai, kau pergi masuk dan jual barang yang kau bawa,” katanya yang melaksanakan seperti yang disyorkan bapanya hinggalah ke hari ini.

Walaupun perit, Zulkifli begitu bersyukur dengan pendekatan yang diambil bapanya, Khalid Ahmad, yang mendorong beliau untuk berusaha sendiri, tanpa mengharapkan sebarang bantuan hingga ke hari ini hingga selepas mengambil alih sepenuhnya perniagaan bapanya itu ketika berumur 23 tahun.

Sebenarnya perniagaan ubatan itu juga bukan pilihan tetapi terpaksa dibuat selepas gagal mencari pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan di Kuala Lumpur.

Zulkifli yang pernah merantau ke Kuala Lumpur selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dengan hajat untuk mencari pekerjaan tetap di kota raya dan membeli sebuah kereta, tinggal tidak sampai setahun selepas gagal mendapat gaji yang mampu menampung hidupnya.

Beliau ke Kuala Lumpur dengan alasan untuk mengambil Diploma Pemasaran Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR), sebaliknya, selepas enam bulan beliau berhenti belajar dan bekerja sebagai pegawai jualan di syarikat pembuat alatan menyembur cat bagi kilang Proton, tanpa pengetahuan bapa.

Zulkifli bagaimanapun hanya menerima gaji RM600 sebulan sepanjang bekerja di kilang berkenaan, walaupun sebenarnya khidmatnya telah menyumbang jualan lumayan kepada syarikat.

“Saya minta gaji lebih sikit bagi menampung bayaran sewa rumah dan tambang bas ulang-alik dari rumah sewa di Seksyen 10 Wangsa Maju ke kilang di Klang, tetapi majikan memberi pelbagai alasan.

“Untuk meneruskan hidup, saya terpaksa buat dua pekerjaan, dengan bekerja di restoran makanan segera di sebelah malam hingga jam dua pagi untuk mengumpul duit buat beli kereta, tetapi masih gagal mendapatkan wang yang mencukupi.

“Justeru, disebabkan tidak tahan dengan tekanan yang dihadapinya, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk membantu perniagaan ayah,” katanya sambil menjelaskan pilihan itu juga dibuat kerana mahu meneruskan kesinambungan perniagaan bapanya yang telah bekerja keras untuk membangunkan jenamanya sendiri, juga tanpa bantuan sesiapa.

Jenama Petani dihasilkan oleh Ahmad pada 1965 ketika beliau bekerja sebagai pemutar filem di sebuah panggung wayang di Muar.

Bagi mencukupkan perbelanjaan keluarga, Ahmad membuat perniagaan sambilan menghasilkan minyak urut yang diberi jenama Petani dan dijual di depan panggung wayang setiap hari.

Jenamanya Petani diciptanya sendiri dengan menggambarkan dirinya yang pernah menjadi petani di sebuah perkampungan kecil, sebelum berhijrah ke bandar Muar.

Modul perniagaan Ahmad juga amat mudah. Beliau menghasilkan sendiri produk atas jenama berkenaan yang terdiri daripada minyak urut dan Maajun, dan setiap hari beberapa orang kampung akan datang ke rumahnya membawa raga dan mengambil barangan untuk dijaja, dengan berjalan kaki.

Setiap penjaja akan diberi komisyen daripada hasil jualan.

Bagaimanapun, pendekatan perniagaan itu kini sudah berubah, dan Syarikat Zulkifli Bamadhaj memiliki pasukan pemasarannya sendiri yang dianggotai enam kakitangan dan bergerak di seluruh negara menggunakan kereta milik syarikat.

Syarikat itu juga membuat penghantaran setiap hari menggunakan dua van dan lima kereta. Kerja kerasnya untuk membawa syarikat ke satu tahap perniagaan yang baru dipacu oleh Zulkifli yang mendapat pendidikan rendah di sekolah Cina Chung Hwa, di Joned, Muar.

Memandangkan begitu sukar mencari wang, dan jauh sekali mendapat bantuan daripada bapanya, Zulkifli menggunakan hasil jualan dengan cermat, dan hanya berbelanja ketika perlu.

Ketika pertama kali membuat keputusan untuk membina sebuah kilang pada 2008, beliau yang memerlukan wang sebanyak RM50,000, cuba mendapatkan bantuan beberapa agensi kerajaan dan institusi perbankan komersial, tetapi tidak satu pun yang berjaya kerana rekod perniagaan yang tidak meyakinkan.

Akhirnya, kilang itu dibuka juga selepas ibunya bersetuju memberikan bantuan sebanyak RM20,000. Dengan keluasan kilang 70,000 kaki persegi, di Pagoh, Muar, Zulkifili memberanikan diri membuat pelaburan dengan membeli mesin, bagi memudahkan pengeluaran selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat.