Home » » Pesara Guru Bina Bisnes Sendiri

Pesara Guru Bina Bisnes Sendiri

Written By kall on Saturday 4 August 2007 | 10:29

TUMBUHAN herba, misai kucing atau nama saintifiknya 'Orthosiphon Stamineus' dipercayai mula digunakan sejak puluhan tahun dulu di kebanyakan negara di Asia Tenggara, selain beberapa tempat di Australia.

Di Indonesia, misai kucing dikenali sebagai kumis kucing atau remujung, manakala di Thailand disebut ‘yaa nuat maeo’. Pokok misai kucing adalah pokok herba renek yang tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5 meter dan ia boleh didapati di tepi jalan serta mudah ditemui di kawasan tanah terbiar.

Kajian saintifik mendapati, daun dan bunga misai kucing mampu membuang dan mencuci darah daripada toksid berlebihan, merawat tekanan darah tinggi, kencing manis, memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang bagi membantu mengelak penyakit batu karang serta jangkitan saluran kencing.

Selain itu, ia membantu tubuh mengeluarkan bendalir berlebihan terutama dari sendi, mengurangkan kadar kolestrol dalam darah, mengelakkan gout malah membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan

Menyedari kelebihan herba terhadap kesihatan umum, sebuah syarikat tempatan Ya'acob Berkat Enterprise giat mengusahakan tanaman dan mengkomersialkan pelbagai produk makanan tambahan berasaskan pokok misai kucing sejak lebih setahun lalu.

Diusahakan pasangan suami isteri yang pernah berkhidmat sebagai guru, Yaakob Sharif, 70 dan isterinya, Hairani Mat, 60, sanggup mendalami ilmu berkaitan perubatan herba sehingga Jakarta semata-mata kerana minat dan yakin akan kelebihan tumbuhan herba terhadap dunia perubatan.

“Pada mulanya, tanaman herba seperti misai kucing, pegaga, hempedu bumi, mempahit dan roselle ditanam di sekeliling rumah seluas 1.2 hektar sebagai tanaman perhiasan dan mengamalkannya sebagai pemakanan harian. Selepas melihat tanaman itu tumbuh subur, kami sekeluarga bersepakat untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai khasiat tumbuhan herba khususnya misai kucing dengan mengeluarkannya sebagai produk makanan tambahan.

“Khasiat misai kucing bukan saja mampu merawat penyakit kencing manis, malah membantu menstabilkan tekanan dalam darah yang dihadapi pesakit darah tinggi. Selain itu, ia digunakan untuk memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang bagi membantu mengelak penyakit batu karang serta menyahtoksidkan asid berlebihan dalam badan.

“Keberkesanan akan dilihat dalam masa kurang dua minggu bergantung kepada tahap penyakit yang dihadapi tanpa sebarang kesan sampingan yang perlu dilalui, “ kata Yaakob.

Produk yang dihasilkan termasuk kapsul, serbuk teh, kordial serta minuman misai kucing yang kian mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat sekitar Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor selain memperolehnya dengan mudah di Bazar 24 Jam berhampiran Melaka Sentral.

Apa yang membanggakan ialah semua produk berkenaan dihasilkan pasangan itu secara sendirian tanpa menggunakan khidmat pekerja. Dengan menggunakan beberapa kemudahan mesin yang dibeli serta diberikan oleh Jabatan Pertanian Melaka, pasangan berkenaan mampu menghasilkan purata 220 botol minuman misai kucing dengan kandungan 310 mililiter dalam satu-satu masa.

“Kami turut memperoleh khidmat nasihat menerusi penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menambah baik produk keluaran syarikat kami. Produk dihasilkan menggunakan ramuan istimewa kerana menggunakan bahan asli dan tidak mengandungi campuran bahan kimia atau pengawet yang tidak dibenarkan,” katanya yang mengusahakan sehektar kebun ditanam kira-kira 1,000 pokok misai kucing berserta beberapa jenis herba lain.

Sejak membabitkan diri dalam industri herba, pasangan itu kini mampu tersenyum bangga dan berpuas hati apabila berjaya membantu majoriti pelanggan mereka yang menghidap darah tinggi dan kencing manis keluar daripada belenggu penyakit dihadapi, malah mereka terbabit mengagumi kaedah perubatan menggunakan tumbuhan herba.

Tumbuhan ini mula menarik perhatian pengkaji antarabangsa apabila ia mula diperkenalkan sebagai teh herba kesihatan yang terkenal di Eropah pada awal kurun ke-20, selain turut mengenalinya sebagai Java tea.

Terkenal dengan pelbagai khasiat kesihatan sejak turun temurun, pelbagai penyelidikan dan penanaman oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dijalankan dalam usaha menghasilkan baka tanaman herba bermutu tinggi dan tahan penyakit.

Tidak hairanlah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut mengumumkan pemilihan minuman misai kucing sebagai minuman rasmi kedua kerajaan negeri selepas jus Mangga Delite, baru-baru ini.

Menggunakan jenama MTea, produk itu juga kini boleh didapati di semua pasar raya besar Mydin di seluruh negara.
-berita harian

0 comments: