Home » » Fariz ketepi takut bangunkan Chelos

Fariz ketepi takut bangunkan Chelos

Written By kall on Tuesday 21 August 2007 | 17:13

MRN ditubuhkan di Bandar Baru Bangi bagi jalankan aktiviti latihan, pendidikan bidang bakeri




WALAUPUN penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri makanan dan minuman (F&B) masih kurang menonjol serta perlu bersaing dengan syarikat yang sudah lama bertapak dalam industri itu, ia tidak menghalang seorang lulusan undang-undang untuk mengusahakan perniagaan roti, pastri dan kek secara francais.

Berbekalkan falsafah “di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan” Fariz Abu Bakar, 40, yang juga Pengerusi Chelos Sdn Bhd (Chelos), syarikat francaisor Chelos Bakeri & Kafe itu, mengetepikan segala “takut” dan “keraguan” yang sering menjelma dalam fikirannya, sebaik mula menceburi perniagaan itu pada 2003.

Beliau berkata, usahawan Bumiputera tidak perlu takut dengan persaingan sehingga menjejaskan keyakinan dalam menjalankan perniagaan, sebaliknya terus meningkatkan mutu perkhidmatan terhadap pelanggan.

“Pasaran ini adalah cukup besar dan bagaimana untuk merebut pasaran ini, bergantung kepada cara kita meletakkan kedudukan syarikat.

“Saya tidak takut dengan persaingan kerana itu semua pemikiran cara lama. Apa yang penting adalah tahap perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan sasaran,” katanya sambil menambah semua faktor itu akan menjadi penentu kepada kejayaan perniagaan.

Chelos yang dimiliki Medas Corporation Sdn Bhd ditubuhkan pada 2003 dan menceburi industri F&B dengan memperkenalkan Chelos Donut dan rangkaian produk bakeri. Sejak dua tahun lalu, Chelos mengorak langkah dengan memperkenalkan konsep francais menerusi rangkaian Chelos Bakeri & Kafe.

Kini, Chelos membuka empat cawangan di Bandar Baru Bangi dan Shah Alam yang diuruskan sendiri manakala Senawang dan LRT Ampang oleh francaisi. Selain produk roti dan pastri, Chelos turut menawarkan makanan ala carte seperti nasi lemak dan makanan barat yang dijual pada harga berpatutan.

Dalam usaha menyokong operasi Chelos, Medas yang diterajui bapanya, Datuk Abu Bakar Lajim menubuhkan Master Reach Network (MRN) untuk menjalankan aktiviti latihan dan pendidikan dalam bidang bakeri bertempat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Bermula dari situ, ramai anak muda daripada kalangan anak peneroka Felda dan Felcra serta mereka yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian dibantu dengan menyertai latihan giat bersiri selama enam bulan.

Fariz berkata, MRN bertindak sebagai penyedia latihan dalam program teknikal dan pengurusan, selain memastikan bakal francaisi mendapat tenaga kerja berkemahiran di cawangan Chelos mereka.

Katanya, MRN juga akan membantu bakal francaisi yang berpotensi untuk mendapatkan sumber pembiayaan daripada badan kerajaan sebelum menjalani program latihan intensif.

“Setakat ini, sebahagian daripada lebih 300 pelajar itu telah diserap menyertai empat cawangan Chelos dan ada yang sudah membuka dan menjalankan perniagaan sendiri.

“Ada orang bertanya, kenapa MRN hendak melahirkan orang yang akan bersaing dengan kita (Chelos). Kami menjelaskan, kami ada cara perjuangan yang berbeza untuk membantu generasi muda Bumiputera menceburi bidang perniagaan.

“Kami yakin mereka boleh berjaya jika diberi latihan dan pendedahan. Kami juga yakin kalau kita bantu orang, duit (rezeki) akan datang,” katanya yang meneruskan perniagaan bapanya yang kini lebih banyak bertindak sebagai pembimbing dan penasihat Medas serta syarikat yang bernaung di bawahnya.

Selain Chelos dan MRN, Medas turut mengendalikan ABL Security Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan elektronik dan sistem pengawasan serta Tuah Guard (M) Sdn Bhd dalam perkhidmatan sekuriti.

Jika dilihat daripada aspek rantaian nilai dalam bidang bakeri, Fariz berkata kebanyakan yang mengawal barangan mentah seperti seperti tepung, perasa atau inti adalah bukan Bumiputera.

“Namun, jika dilihat dengan betul, penggunaannya membabitkan ramai Bumiputera dan inilah yang anehnya. Jadi, kami membuat perancangan untuk menjalankan perniagaan bakeri dan memperkenalkan konsep francais.

“Dengan ini, kita boleh kendalikan perniagaan dan menguasai sedikit rantaian nilai dalam proses makanan dan bahan mentah,” katanya.

Mengimbas kehidupan Fariz, beliau belajar di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur sehingga tingkatan tiga. Memasuki usia 16 tahun, bapanya menghantar anak sulungnya itu ke Geelong Church of England Grammer School, Victoria, Australia.

Selepas itu, Fariz meneruskan pengajian dalam jurusan undang-undang di University of Wales, England Abersytwyth atas saranan ayahnya mengikut jejak langkah bekas pemimpin negara, Tun Ghazali Shafie, rakyat Malaysia pertama menuntut di universiti itu pada 1940-an.

“Ketika itu bapa saya sakit di hospital kerana asma dan dia bertanya apakah jurusan yang akan saya ambil di universiti kelak. Saya sememangnya minat dalam pemasaran kerana ia membabitkan soal strategi dan jualan.

“Namun, dia (bapa) tidak bersetuju dengan pilihan itu dan memberi tiga pilihan sama ada peguam, jurutera atau doktor. Jika tidak, sama ada menjadi despatch atau pemandu di syarikatnya,” katanya.

Fariz dengan berat hati memilih jurusan undang-undang walaupun hatinya lebih cenderung kepada bidang pemasaran. Namun, baginya perkara itu tidak pernah melemahkan semangatnya kerana dia tahu bapanya mahukan yang terbaik buat dirinya.

Malah, ketika itu ada perjanjian di antara mereka selepas Fariz tamat pengajian dalam jurusan undang-undang, beliau bebas untuk memilih karier yang diminatinya. Keperibadian Fariz dibentuk dengan cara tersendiri. Beliau mengakui bapanya sangat tegas dan menggelarnya 'Tarzan' (sewaktu kecil) kerana akan menjerit kerana tidak mahu melihat anaknya lambat bangun tidur, malas atau membuang masa.

“Bapa kata, orang bodoh boleh diajar dan kalau lambat boleh dilatih supaya cepat. Tetapi kalau malas, itu penyakit yang susah hendak diubatkan,” katanya dengan menegaskan kata-kata itu dijadikan sebagai prinsip kehidupannya.

Pada 1992, selepas tamat pengajian Fariz mula bekerja di bahagian sektor kewangan korporat Bumiputra Mechant Bankers Bhd dan mengakui banyak perkara perlu dipelajarinya memandangkan bidang itu berlainan dengan undang-undang sehingga terpaksa bekerja selama 15 jam sehari.

Selepas tiga tahun dalam bidang berkenaan, bapanya kemudian meminta beliau untuk menyertai perniagaan syarikat yang diuruskannya kerana ketika itu merancang untuk menyenaraikan Medas di Bursa Malaysia.

“Atas desakan bapa, saya akhirnya bersetuju untuk menyertai syarikat selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuk merasakan ia adalah tanggungjawab yang saya perlu pikul kerana adalah anak lelaki sulung daripada empat beradik,” katanya.

Dalam rancangan memperluaskan perniagaan ke luar negara, Fariz tidak mengambil masa terburu-buru untuk berbuat demikian kerana baginya apa yang lebih penting sekarang adalah membina jenama Chelos dan memelihara kualitinya.

“Kami mempunyai strategi yang lain dan merancang pengembangan perniagaan francais hanya akan dilaksanakan selepas suku kedua tahun depan setelah kami lebih bersedia.

“Ketika ini kami mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana institusi pengajian yang boleh menghasilkan roti atau bahan pengawet yang lebih terjamin dari aspek kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, resipi roti dan pastri Chelos dirumus oleh kumpulan chef yang berpengalaman dengan dirunding bersama pihak pengurusan dari masa ke semasa dalam usaha mengekalkan cita rasa yang enak dan berkualiti.

Katanya, syarikat membeli bangunan tiga tingkat, Wisma Chelos berharga kira-kira RM12 juta di Bandar Baru Bangi menerusi pembiayaan sendiri pada 2003.

Syarikat kembang francais ke Asia Barat, Indonesia

CHELOS Sdn Bhd (Chelos), syarikat francaisor Chelos Bakeri & Kafe, merancang mengembangkan perniagaan francaisnya ke Asia Barat dan Indonesia tahun depan berikutan permintaan yang memberangsangkan untuk francaisi dari negara berkenaan.

Pengerusinya, Fariz Abu Bakar, pihaknya menerima permintaan untuk mewujudkan 48 cawangan Chelos Bakeri & Kafe di Asia Barat dan perkara itu masih dalam perbincangan.

Katanya, syarikat perlu merumuskan strategi untuk aktiviti perniagaan luar negara dengan mendalam supaya ia terus maju untuk jangka panjang.

Beliau berkata, syarikat merancang memperluaskan perniagaan berasaskan roti dan pastri Chelos menerusi kerjasama francais dengan syarikat dari negara berkenaan pada suku kedua 2008.

“Perbincangan dengan beberapa syarikat telah diadakan ketika misi perdagangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ke Dubai sempena Pameran Francais Antarabangsa Dubai 2005,” katanya ketika ditemui di Bangi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fariz berkata Chelos merancang membuka 16 cawangan Chelos Bakeri & Kafe di sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun ini selaras usaha mengembangkan rangkaian francaisnya.

Katanya, empat daripada cawangan baru berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Chelos, manakala 12 lagi ditawarkan kepada francaisi.

Beliau berkata, ketika ini syarikat mempunyai cawangan di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi yang diuruskan sendiri, manakala di stesen LRT Ampang Park dan Senawang oleh francaisi.

“Menjelang akhir tahun ini, kami akan membuka enam cawangan dengan empat daripadanya diuruskan sendiri membabitkan pelaburan kira-kira RM1 juta.

“Kami sentiasa membuka peluang untuk meningkatkan penyertaan usahawan terutama Bumiputera dalam menjalankan perniagaan francais, sekali gus mengembangkan jenama Chelos Bakeri & Kafe,” katanya.

Sebelum ini, Chelos hanya menjalankan perniagaan roti dan pastri, tetapi kini memperkenalkan konsep kafe untuk membolehkan pelanggan menikmatinya, selain memperkenalkan menu sampingan seperti pasta dan nasi lemak.

Fariz berkata, syarikat membelanjakan RM2 juta untuk menaik taraf cawangan sedia ada, mengguna pakai konsep baru dan lebih moden.

Katanya, Chelos percaya konsep francais itu mempunyai peluang untuk berkembang dan syarikat melabur lebih RM2 juta tanpa memperoleh pembiayaan dari mana-mana agensi atau badan kewangan untuk membina Unit Pengeluaran Berpusat (CPU) di Bandar Baru Bangi.

0 comments: