Home » » Ariffin buka syarikat demi nasib anak

Ariffin buka syarikat demi nasib anak

Written By kall on Monday 13 August 2007 | 12:51




Pelbagai masalah harta pusaka tidak diwasiat cetus idea penubuhan Wasiyyah Shoppe
KISAH mengenai kesukaran yang dihadapi masyarakat Islam di negara ini dalam pembahagian harta pusaka selepas berlaku kematian dalam sesebuah keluarga sudah banyak kali kita dengar.

Perselisihan faham sesama ahli keluarga dan antara adik-beradik kerana berebutkan harta peninggalan si bapa juga sering dijadikan tema drama Melayu.
Malah, umum mengetahui masalah utama dalam membangunkan tanah bernilai kira-kira RM40 bilion di Kampung Baru di Kuala Lumpur adalah disebabkan masalah dalam pembahagian hartanah di kalangan waris di situ.

Semua masalah itu disebabkan kekurangan pemahaman mengenai ilmu perancangan dan pengurusan harta secara Syariah di kalangan umat Islam di negara ini sejak dulu lagi.Menyedari betapa sukarnya proses pembahagian harta itu sendiri jika tiada dokumen wasiat yang sempurna dibuat si mati telah mencetuskan idea kepada Ariffin Sabirin bersama ahli keluarganya yang lain menubuhkan Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd, sebuah syarikat khusus dalam perancangan harta secara Syariah.

“Melihat permasalahan itu dan banyak peristiwa berkaitan masalah harta pusaka di negara ini telah membawa kepada penubuhan syarikat ini pada Jun 2004,” kata Ariffin Sabirin, Ketua Eksekutif, Wasiyyah Shoppe.

Ahli perniagaan berusia 37 tahun itu berkata, idea penubuhan syarikat itu juga tercetus apabila beliau memikirkan apa yang akan terjadi kepada nasib tiga anak perempuannya jika beliau meninggal dunia dan tidak menulis wasiat.

“Tanpa wasiat, harta saya akan dibahagikan mengikut struktur faraid yang mana ia akan diwarisi adik-beradik lelaki saya,” katanya.

Daripada situlah katanya, beliau mula memikirkan betapa pentingnya menyediakan dokumen undang-undang yang sah bagi mewarisi harta peninggalannya kepada anak-anaknya.
Menyedari potensi perniagaan pengurusan harta itu jugalah yang telah mendorong beliau bersama empat lagi adik lelakinya dan bapa saudaranya menubuhkan Wasiyyah Shoppe.

“Selain itu, ramai yang tidak mengetahui cara-cara menuntut harta yang menjadi hak mereka. Mereka juga tidak tahu apakah proses yang perlu dilalui dan apakah hak waris. Di sinilah kami memainkan peranan,” katanya.

Ariffin berkata, bertitik-tolak daripada situlah beliau menyedari betapa pentingnya usaha untuk membantu masyarakat Islam di negara ini dalam soal pengurusan harta secara Syariah yang menjadi perniagaan teras Wasiyyah Shoppe.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam pengajian undang-undang, ia tidak menjadi penghalang kepada Ariffin menerajui syarikat itu.

“Syarikat ini mempunyai panel penasihat Syariah dan undang-undang yang mantap. Tugas saya adalah untuk membawa saya mencapai matlamat perniagaan dan ia tidak memerlukan saya mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai aspek undang-undang,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Kelas Kedua Atas dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Ariffin berkata, pengalamannya bekerja di Citibank sebaik tamat pengajian pada 1994 membolehkannya mengutip sedikit pengalaman dalam perniagaan.

Pada 1996 pula beliau menyertai RHB Unit Trust Management Bhd sebagai Perunding Pelaburan dan berjaya mencapai status “Million Dollar Achiever” selama tiga tahun berturut-turut.

Selepas itu, beliau menyertai Crestcom International Ltd sebagai Naib Presiden Pembangunan Perniagaan.

Bersama-sama organisasi itu beliau telah didedahkan dengan ilmu pengurusan terkini oleh pakar pengurusan barat seperti Zig Ziglar, Jack Trout, Nido Qubein, Dr Jim Hennig, Bob Pike dan Patricia Fripp.

Bagaimanapun katanya, bekerja makan gaji ada kalanya menyebabkan ideanya terbatas dan tidak diterima pakai organisasi tempat dia bekerja.

“Saya jenis orang yang tidak suka duduk diam dan statik. Disebabkan saya ingin mendapat ganjaran daripada idea yang diberikan membuatkan saya memutuskan untuk memulakan perniagaan sendiri,” katanya.

Sejak itu katanya, beliau tidak lagi menoleh ke belakang. Cabaran sekarang adalah untuk mencapai wawasan syarikat menjadi syarikat perancangan dan pengurusan harta secara Syariah utama di Malaysia yang memberikan perkhidmatan peribadi cemerlang dengan menyebarkan maklumat yang telus, tepat dan mudah kepada masyarakat.

Di awal penubuhannya, Ariffin mengakui cabaran utama yang dihadapi syarikat itu adalah untuk meyakinkan orang ramai mengenai peranan yang dimainkan Wasiyyah Shoppe.

“Di peringkat awal orang ramai agak kurang yakin sejauh mana kami dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Namun kini ujarnya, masalah itu sudah dapat diatasi hasil daripada kempen pemasaran dan kesedaran agresif Wasiyyah Shoppe.

Setakat 31 Disember lalu, Wasiyyah Shoppe telah membantu kira-kira 7,000 orang Islam di negara ini menyediakan wasiat Islam dan lebih daripada 1,000 hibah.

“Ini adalah satu kejayaan hasil kerja kuat semua pihak dalam syarikat ini yang kini sudah mampu membuat pendapatan kira-kira RM2.5 juta setahun berbanding modal awal RM15,000,” katanya.


Wasiyyah Shoppe mahu perkenal sistem francais

WASIYYAH Shoppe Sdn Bhd, penyedia khidmat wasiat dan hibah, akan memperkenalkan skim francais kepada usahawan yang berminat dijangkakan dalam tempoh enam bulan akan datang sebagai usaha meluaskan lagi perniagaannya.

Ketika ini, Wasiyyah Shoppe sedang berbincang dengan pihak berkuasa termasuk Persatuan Francais Malaysia mengenai rancangan berkenaan.

Disebabkan itu, syarikat itu belum dapat menetapkan yuran francais yang akan dikenakan kelak.

Ketua Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin, berkata langkah itu dijangka membolehkan kumpulan meluaskan operasi dan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan dan pada masa sama, memberi peluang perniagaan kepada usahawan lain.

Ini kerana, katanya, modul operasi dan perniagaan yang dilaksanakan Wasiyyah Shoppe berdaya maju, menguntungkan dan sesuai untuk dikembangkan ke seluruh negara secara francais dengan usahawan lain tanpa dibebani kos modal.

“Boleh dikatakan operasi Wasiyyah Shoppe di seluruh negara bergerak menerusi ejen atau pemegang lesen yang ketika ini berjumlah kira-kira 2,700 orang dan setiap satu daripadanya membawa purata nilai jualan kepada kumpulan kira-kira RM40,000.

“Justeru, dengan membuka francais kepada usahawan atau ejen sedia ada, kami yakin nilai jualan yang akan disumbangkan kepada pendapatan Wasiyyah Shoppe lebih tinggi lagi berbanding sekarang,” katanya.

Ariffin berkata, langkah membuka peluang francais juga membantu membina keupayaan Wasiyyah Shoppe dalam menyediakan khidmat wasiat dan hibah secara bersepadu.

Sementara itu beliau berkata, syarikat itu juga akan meningkatkan lagi prasarana perniagaannya bagi meningkatkan daya saing syarikat itu.

“Tumpuan juga akan diberikan dalam kegiatan pengiklanan dan promosi bagi meluaskan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2006, Wasiyyah Shoppe sudah mengendalikan sebanyak 7,000 dokumen wasiat dan 1,000 dokumen hibah sejak ditubuhkan pada 2004.

Katanya, 90 peratus daripada pelanggan Wasiyyah Shoppe ketika ini adalah individu manakala selebihnya koperasi dan badan bukan kerajaan (NGO).