Home » » Jakel peneraju tekstil bumiputera

Jakel peneraju tekstil bumiputera

Written By kall on Friday 3 August 2007 | 09:32


Bermula dengan sebuah kedai perniagaan tekstil secara kecil-kecilan di Segamat, Johor. Ketika itu tiada modal untuk menjalankan perniagaan ini. Namun minat yang mendalam dalam dunia tekstil dan mengimpikan perniagaan yang berdaya saing menjadi pembakar semangat kepada Mohamed Jakel Ahmad sehingga berjaya ke hari ini.

Kini kejayaan Syarikat Jakel terus ulung dengan kesinambungan usaha anak-anak meneruskan perjuangan ayahanda tercinta. Konsep kejujuran dan ketabahan yang diamalkan oleh ayahanda diteruskan dan hasilnya sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t sehingga perniagaan ini berjaya.

Wartawan Utusan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto, FAIZAL ABU HASSAN berkongsi pengalaman dengan Pengarah Urusan JAKEL Mohamed Faroz Mohamed Jakel, 36, yang menyambung usaha perniagaan ayahnya dalam perniagaan tekstil di Wisma Jakel di Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Bolehkah saudara ceritakan bila perniagaan ini bermula?

MOHAMED FAROZ: Syarikat Jakel ditubuhkan pada tahun 1985 di sebuah premis di Segamat, Johor. Pada ketika itu, kami berniaga secara kecil-kecilan dan runcit di samping menjalankan kerjasama dengan sebuah syarikat tekstil di Singapura bagi mendapatkan bekalan kain berkualiti untuk dipasarkan di negara ini khususnya di sekitar Segamat.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Malah Jakel merupakan sebuah syarikat pertama pelopor industri usahawan bumiputera yang menjana ekonomi dalam perniagaan ini. Para pelanggan kami terdiri daripada masyarakat Melayu dan berbilang bangsa. Hampir beberapa tahun mengusahakan perniagaan ini, alhamdulillah akhirnya syarikat mendapat pulangan yang baik.

Dengan itu, syarikat merancang memperluaskan operasinya dengan menambah utiliti serta ruang kedai dalam memperbesarkan perniagaan ini. Ke semua ini merupakan hasil dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi daripada pelanggan-pelanggan kami yang sentiasa memberi sokongan sehingga ke hari ini.

Teras kepada usaha kejayaan ini apabila kami menjual produk tekstil yang pelbagai mengikut cita rasa masyarakat setempat dan material yang unik dengan rekaan-rekaan menarik. Kesesuaian ini bergantung kepada harga yang kami tawarkan dengan berpatutan. Faktor ini merupakan penguat kepada kejayaan syarikat pada hari ini.

Apakah produk tekstil yang dijual oleh Syarikat Jakel?

MOHAMED FAROZ: Buat masa ini, syarikat menjadi pengimport dan penjual utama produk tekstil untuk pasaran dalam negeri mahupun luar negara. Kami mengimport tekstil berkualiti dan berjenama daripada pengedar-pengedar terkenal di seluruh dunia.

Produk tekstil merangkumi kain pakaian dan langsir yang direka oleh pakar-pakar rekaan tekstil syarikat Jakel sendiri. Pakar-pakar ini mencorakkan pelbagai rekaan untuk semua tekstil kain dari harga yang murah sehingga ke eksklusif seperti jenama Valentino, Pierre Cardin, Zegna, Armani, Lorenzo Riva, Ungaro dan Solstiss.

Rekaan dan corak yang telah siap diserah kepada pengusaha kilang jenama terkenal ini untuk proses cetakan tekstil. Ia juga meliputi kualiti manik-manik yang dihasilkan mengikut piawaian dan ketentuan syarikat antarabangsa ini. Produk tekstil ini dijamin mutu dan keasliannya. Kerjasama ini membolehkan Jakel menawarkan harga yang lebih rendah kerana syarikat kami berurusan dengan pengedar dan pengimport tanpa melibatkan orang tengah.

Oleh itu, kami tidak ada masalah untuk meletakkan harga murah dan berpatutan kepada pelangan-pelangan kami. Dalam soal ini, kami menjamin kualiti kain dengan pengesahan yang diperoleh dari syarikat antarabangsa ini dalam menentukan tahap kepuasan dan keselesaan kepada pelangan.

Kami juga menjual tekstil kain jenama terkenal lain seperti sutera Itali, sutera Korea, sutera Organza, Kain sutera satin, sutera chifon georgette, sutera Thai, sutera Shangtun, sutera Dupian, Viccose, sutera cotton dan himpunan sutera washable.

Selain daripada itu, adakah perniagaan tekstil ini boleh membawa pulangan yang baik di pasaran Malaysia?

MOHAMED FAROZ: Pada pandangan kami, perniagaan tekstil adalah perniagaan yang menyasarkan khususnya golongan wanita dan seisi rumah. Apabila kami melihat pasaran di Malaysia dimonopoli oleh bangsa lain, kami terpanggil menjadi salah satu penyumbang dan pengusaha yang berdaya saing.

Di sini kami melihat usahawan bumiputera amat kurang menceburkan diri dalam bidang ini terutama dalam menerajui dunia tekstil hari ini. Kami melihat ini sebagai prospek besar kerana permintaan pembeli semakin hari semakin meningkat lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

Oleh itu, Jakel mengambil inisiatif membuka banyak cawangan perniagaan tekstil dalam memberi pilihan kepada pelanggan-pelangan. Sehingga hari ini Jakel mempunyai l5 cawangan seluruh Malaysia yang terdiri dari Salem Aziz Tekstill (Kelantan), Alamoda Silk House (Pahang), Casamoda Gedung Tekstil (Negeri Sembilan), Bumiputra Silk House (Selangor), Riamoda Silk House (Perak), Prima Moda silk House (Johor), Salem Aziz Tekstil (Kelantan), Laila Rawas Silk House (Terengganu), Astana Moda Silk House (Melaka). Kini syarikat kami merancang membuka cawangan di Ipoh, Alor Setar dan Sungai Petani. Kami hanya memfokuskan di bandar-bandar besar.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh saudara dalam menerajui empayar perniagaan tekstil ini?

MOHAMAD FAROZ: Kami mengakui banyak cabaran yang terpaksa dilalui. Namun semua itu adalah lumrah dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila terlibat dengan dunia perniagaan.

Bukan senang untuk senang pada hari ini kerana kami terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat tekstil lain. Kami terpaksa bersaing khususnya untuk mendapatkan bekalan tekstil berkualiti. Namun ia menjadi lumrah alam apabila pesaing kami menguji kemampuan serta cuba merosak dan memburukkan imej kami di mata pembekal dan pengimport.

Namun kami reda dan berserah kepada Allah s.w.t kerana kami yakin kepada Tuhan yang esa dalam menghadapi ujian dan rintangan. Semua itu juga menjadi pembakar semangat kami untuk terus berusaha dan berjaya dalam perniagaan tekstil ini.

Hasrat dan cabaran itu didokong dengan cita-cita dan impian membangunkan syarikat. Jika syarikat lain boleh berjaya tidak mustahil kami juga boleh berjaya seperti orang lain. Allah s.w.t memberi akal dan fikiran kepada umatnya untuk berfikir dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Perkara utama ialah kekuatan, kesabaran dan kejujuran merupakan aset penting dalam menguruskan perniagaan ini.

Bagaimana pula pendekatan perniagaan Islam yang diserapkan oleh syarikat Jakel?

MOHAMED FAROZ: Kami merupakan sebuah syarikat usahawan bumiputera dan beragama Islam. Faktor ini adalah perkara yang perlu ditekankan apabila sesebuah perniagaan itu telah berjaya, amalan bersedekah dan mengeluarkan zakat adalah perkara utama yang perlu dilaksanakan.

Ini kerana zakat khususnya zakat perniagaan wajib ditunaikan selain zakat harta dan individu. Hal ini supaya perniagaan mendapat keberkatan Allah s.w.t. Dalam soal lain pula, kami membina perniagaan ini bukan sekadar mendapatkan keuntungan tetapi melaksanakan perniagaan dengan jujur tanpa prejudis dan tidak mengambil kesempatan daripada pelangan kami.

Perkara yang paling penting ialah menerapkan unsur-unsur disiplin dalam diri setiap pekerja. Malah sebagai majikan pula, komitmen untuk berada di premis merupakan penguat hubungan supaya majikan dapat berinteraksi dengan pekerja dan pelangan-pelangan.

Sentuhan peribadi yang mulia menjamin kebahagiaan dan kesenangan semua pihak. Penjelasan dan penerangan yang tepat kepada pelanggan mengenai produk tekstil syarikat merupakan satu pendekatan baik supaya pelanggan mengetahui tanpa rasa prasangka mengenai produk ini.

Selain itu, syarikat menawarkan potongan harga istimewa kepada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kain-kain dan langsir untuk program kebajikan.

Apakah perancangan Syarikat Jakel dalam memperluaskan empayar perniagaan dalam tempoh lima dan 10 tahun akan datang?

MOHAMED FAROZ: Harapan kami ialah syarikat Jakel menjadi syarikat tekstil usahawan bumiputera utama. Ia bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat Malaysia khususnya kaum wanita dan ibu dalam membeli kelengkapan isi rumah.

Di Jakel, kami menawarkan potongan harga istimewa untuk keperluan tekstil pelbagai rekaan pakaian, set pakaian perkahwinan, langsir dan kelengkapan rumah mengikut cita rasa setiap lapisan peringkat masyarakat dengan potongan harga sehingga 70 peratus.

Di samping itu, kami menyediakan barang keperluan-keperluan asas dan peralatan untuk kegunaan semua produk yang berkaitan dengan tekstil. Golongan sasar atau pelanggan kami terdiri daripada golongan menengah sehingga kepada golongan eksekutif.

Buat masa ini di Wisma Jakel di Masjid India dan cawangan-cawangan lain, kami menawarkan harga tekstil bermula dari harga RM2 semeter sehingga RM9 ribu semeter.

Dalam pada itu, kami sedang melebarkan sayap untuk meluaskan perniagaan di Jepun, Korea, China, Pakistan, Indonesia dan Taiwan. Kami turut mendapat tawaran syarikat-syarikat besar dunia untuk menjalinkan kerjasama.

Apakah nasihat saudara kepada usahawan bumiputera yang berminat melibatkan diri dalam dunia perniagaan tekstil ini?

MOHAMED FAROZ: Kami menasihatkan supaya usahawan bumiputera sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain dan menyokong perniagaan yang dijalankan.

Sebagai contoh pelanggan-pelanggan bumiputera sendiri harus menyokong perniagaan yang dilaksanakan oleh usahawan kita. Perkara ini secara langsung membantu usahawan bumiputera untuk berdaya saing dengan peniaga bangsa lain.

Dalam pada itu, usahawan bumiputera mesti cekap mengurus syarikat dan menghormati kehendak pelanggan kerana mereka adalah raja yang menentukan bangun atau jatuhnya syarikat. Selain itu, pengurusan masa merupakan faktor utama dalam melaksanakan semua perkara.

Apabila perniagaan telah maju semangat juang perlu juga ditingkatkan. Kuatkan semangat dengan daya ketabahan yang tinggi di samping amalan jimat cermat dalam menguruskan syarikat.

1 comments:

Anonymous said...

saya sudah dua kali ke jakel d jb...tapi sya berasal dr penang...sya suka akan mutu2 kain di jakel,tetapi sukat utk saya membelinya krna tiada cwngn di penang...