Home » » Metamorf pasar raya halal

Metamorf pasar raya halal

Written By kall on Friday 17 August 2007 | 08:55

DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Peribahasa paling tepat menggambarkan kisah perjuangan anak kelahiran Pekan, Pahang, Nazilah Rahiman mengendalikan perniagaan pasar raya halal yang terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Di pasar raya Metamorf, pelbagai barangan makanan basah dan kering, juga produk keperluan harian ditawarkan. Pelanggan juga boleh mendapatkan keperluan harian mereka terutamanya produk keluaran bumiputera dan produk yang berstatus halal.

Menggunakan moto, Pasar Raya Halal Anda, ibu muda beranak empat ini menanam tekad mewujudkan pasar raya acuan sendiri iaitu sebuah pasar raya yang mengikut syariah Islam sepenuhnya, sekali gus menyahut seruan kerajaan untuk mempromosikan dan memasarkan produk-produk halal dan keluaran bumiputera Muslim.


KERJASAMA mantap pasangan suami isteri ini akhirnya membawa kejayaan kepada perniagaan mereka.


Wartawan, ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto, ABY BAIZURA HARUN menemu bual Pengarah Urusan Metamorf (M) Sdn. Bhd., Nazilah, 33, berkongsi perancangannya untuk terus memberikan harga barangan yang berpatutan dan perkhidmatan yang memuaskan.

MEGA: Boleh anda ceritakan bagaimana mula terlibat dalam perniagaan peruncitan ini?

NAZILAH: Selepas mendirikan rumah tangga dengan Rozaimi Yazi Mahmood, 34, yang juga selaku Pengarah Urusan Metamorf, saya tidak terlibat dengan urusan di kedai tetapi semuanya bermula apabila suami mengalami masalah dalam meneruskan perniagaan akibat masalah kewangan.

Pada mulanya saya hanya membantu dalam kerja-kerja pentadbiran tetapi lama-kelamaan sehinggalah saya turun padang sepenuhnya iaitu pada awal tahun 1991.

Bermula dari situlah saya mengetahui punca yang membelenggu suami. Rupa-rupanya kita ini sering terpedaya dengan kata manis pembekal-pembekal bukan bumiputera sehingga terpaksa berhutang dengan jumlah yang besar.

Bila melihat keadaan suami itu, ada semacam kekuatan yang hadir dalam diri untuk membantu suami keluar daripada kesusahan itu.

Malah saya pernah ditawarkan bantuan kewangan menerusi Tabung Usahawan Baru berjumlah RM400,000 pada 2002 tetapi bila mengenangkan ketidakmampuan untuk membayar balik, saya terpaksa menolaknya.

Sejak itu, kami tidak lagi mengambil barang daripada pemborong-pemborong tetapi saya akan mencari barang-barang sendiri di mana-mana pasar raya besar yang menawarkan harga promosi.

Alhamdulillah, pada 2005 lebih 90 peratus hutang suami dapat dilangsaikan. Pada 2006, kami mula menggunakan sistem kod bar, perjalanan syarikat semakin sistematik, terancang dan bertambah mudah diuruskan.

Bagaimana perasaan anda apabila berjaya menghadapi keperitan tersebut dan apakah pengajaran yang diperoleh dari situ untuk dikongsi kepada usahawan Muslim lain?

NAZILAH: Alhamdulillah, apabila kita berjaya membantu lebih-lebih lagi, kepada seorang suami daripada masalahnya, sudah tentu perasaan syukur dan gembira sukar digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi, niat kita pada masa itu adalah untuk membantu mengukuhkan serta memulihkan ekonomi keluarga, secara tidak langsung Allah permudahkan jalannya. Semua kesukaran yang dihadapi, ada sahaja caranya dipermudahkan oleh Allah.

Untuk berada stabil seperti sekarang bukanlah mudah apa lagi, dalam usaha kita membawa satu idea serta format perniagaan yang baru.

Banyak halangan yang dihadapi bukan sahaja daripada para peniaga bukan bumiputera yang jauh lebih kuat tetapi tidak kurang juga daripada sesama Islam sendiri. Pun begitu, selagi kita berpegang kepada tali Allah, semuanya dilorongkan dengan cara-Nya sendiri.

Selain itu, saya percaya apabila kita dalam situasi terdesak, kekuatan, keazaman dan kesungguhan itu akan hadir, sekali gus menjadikan kita lebih berkeyakinan untuk terus bertahan dan meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanakah aspek status halal produk serta barangan keluaran bumiputera Muslim mula dititikberatkan oleh anda?

NAZILAH: Semuanya bermula pada awal 2004. Kalau sebelum ini kedai kami sama seperti pasar raya lain yang menjual produk basah dan kering untuk keperluan seharian tetapi kemudiannya saya mula terfikir kenapa tidak saya sebagai seorang Islam membantu peniaga seagama dan sebangsa.

Kini kami memasarkan barangan keluaran bumiputera. Pelanggan boleh membeli secara runcit atau borong di pasar raya ini. Sekurang-kurangnya, kita dapat sama-sama membangun dan maju. Kejayaan ini secara tidak langsung memajukan ekonomi umat Islam itu sendiri.

Saya bukannya mengejar keuntungan semata-mata tetapi apa yang penting inilah sumbangan saya kepada agama. Meskipun ramai yang memperkecilkan impian besar saya ini, waima untuk berundur, tidak sekali. Inilah perjuangan saya kepada agama, bangsa dan negara.

Apakah harapan dan nasihat anda kepada pengusaha, pengguna Muslim dalam memastikan umat Islam terus cemerlang dan menjadi umat terbilang suatu hari nanti terutamanya dari segi ekonomi?

NAZILAH: Untuk mendidik masyarakat Islam terus menyokong produk bumiputera Islam bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi selama bertahun-tahun kita biasa dengan produk-produk yang tidak tentu soal halal dan haramnya.

Malah masih ramai yang membandingkan baik dari segi rasa, harga dan banyak lagi dengan produk yang sudah lama berada di pasaran.

Sebab itulah, harapan saya agar kalau tidak kita sendiri yang membantu, siapa lagi yang boleh diharapkan. Oleh itu, masyarakat Islam perlu memulakan langkah dan mengubah mentaliti menyokong produk keluaran umat Islam sendiri.

Pesanan saya kepada usahawan Muslim, jangan terlalu mengejar faktor material semata-mata sehinggakan apabila sudah berjaya, lupa kepada perjuangan hakiki atau apa peranan kita sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, ‘Melayu mudah lupa’ sewajarnya dijadikan peringatan kepada kita semua.

Saya juga berharap terutamanya kepada golongan muda seperti para graduan supaya tidak lagi menjadikan kerusi empuk, bilik berhawa dingin serta gaji tetap sebagai misi bila tamat pengajian kelak. Hakikatnya, wasiat Rasulullah iaitu 9/10 daripada punca rezeki ialah menerusi perniagaan perlu digali oleh mereka yang masih muda, bertenaga dan kreatif.

Produk apakah yang masih dicari untuk melengkapkan pencarian keperluan pengguna Muslim?

NAZILAH: Sehingga ini, kami mempunyai lebih 100 produk keluaran pengusaha bumiputera Islam. Saya amat berharap sekiranya ada pengusaha bihun, cendol, lobak masin, sabun, mentega kacang, suun, tepung kastard dan agar-agar rumpai air untuk menghubungi saya supaya dapat kita usahakan satu kerjasama.

* Saya boleh dihubungi di talian 03-2283 4771 atau layari laman web kami iaitu http://www.metamorf.com.my.

0 comments: