Home » » Vastalux Enery Hebat!!

Vastalux Enery Hebat!!

Written By kall on Monday 25 August 2008 | 15:21


Nor Sabri mahu serlahkan potensi bidang kejuruteraan teknikal supaya boleh dimanfaat syarikat milik Bumiputera

MUNGKIN ramai yang bertanggapan sesebuah syarikat kejuruteraan teknikal, khususnya yang berkaitan minyak dan gas dipenuhi kakitangan dan jurutera profesional asing.

Namun tanggapan itu sama sekali meleset jika mengunjungi pejabat Vastalux Energy Bhd kerana hampir semua kakitangan syarikat itu adalah Bumiputera.

Lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui latar belakang pendidikan pengasas bersamanya, Nor Sabri Hamzah, 37, yang hanya memiliki segulung Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jelas, kejayaan sesebuah syarikat bukan bergantung kepada latar belakang pengasasnya, tetapi lebih kepada minat dan kecekalan beliau untuk maju dan menjadi peneraju dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburinya.

Nor Sabri selaku Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Vastalux, mengakui bidang minyak dan gas memang memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi, namun tidak ada perkara yang sukar jika ada keazaman dan keberanian untuk meneroka bidang itu.
“Dulu bidang minyak dan gas dikuasai bangsa asing, namun sekarang tidak lagi. Bumiputera juga mampu menguasai bidang ini.

“Pada awal tahun 90-an, tidak ramai tenaga mahir Bumiputera dalam bidang ini kerana ia dianggap amat sofistikated dan terlalu teknikal,” kata Nor Sabri ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, usaha kerajaan menerusi syarikat minyak negara, Petronas telah melahirkan ramai modal insan yang mahir dalam bidang itu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri itu di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

“Walaupun Malaysia kini memiliki ramai tenaga mahir, namun syarikat Bumiputera dalam bidang ini masih kecil kerana kebanyakan jurutera tempatan lebih selesa bekerja dengan syarikat minyak gergasi global.

“Kami mahu membuktikan bahawa ada potensi besar dalam bidang ini dan syarikat Bumiputera perlu mengambil peluang untuk membangunkan industri ini,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan asas dalam bidang kejuruteraan, namun kepakaran Nor Sabri dalam bidang yang diceburinya tidak pernah dipertikaikan oleh kakitangan dan rakan niaga Vastalux kerana pengalamannya lebih 13 tahun dalam sektor minyak dan gas menjadi sandaran dalam perniagaannya.

Perkara itu diakui sendiri kakitangannya, malah Nor Sabri menjadi sumber inspirasi pembangunan kerjaya mereka dalam bidang itu.

“Melihat Nor Sabri adalah satu cabaran. Kepakarannya ditimba sendiri menerusi pemerhatian dan pengalaman bekerja. Dia setaraf dengan jurutera minyak dan gas berpengalaman walaupun memiliki latar belakang pendidikan perakaunan,” kata salah seorang kakitangan syarikat itu.

Menceritakan detik awal permulaan kerjaya dan perniagaannya, Nor Sabri berkata, minatnya dalam bidang itu bermula pada 1993 selepas menyertai Maser Kenz Engineering Sdn Bhd, syarikat usaha sama bagi pelaksanaan projek Stesen Jana Kuasa Gas Turbin Serdang milik Tenaga Nasional Bhd.

“Selepas menjadi Pegawai Tadbir dan Perakaunan Projek bagi jana kuasa TNB Serdang, saya bertugas pula sebagai Eksekutif Perakaunan untuk projek fabrikasi untuk Sarawak Shell Bhd.

“Sebagai pegawai kewangan, saya bertanggung jawab menyediakan aliran tunai, tuntutan, kawalan kos dan akaun projek berkenaan. Untuk itu, saya perlu mendalami proses dan cara kerja sesuatu projek itu daripada sudut teknikal dan kejuruteraan secara sendirian,” katanya.

Pada 1996, Nor Sabri menyertai Total Equal Sdn Bhd yang terbabit dalam pengurusan kemudahan darat untuk Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan fabrikasi struktur bagi Stesen Jana Kuasa Kapar.

Katanya, Vastalux ditubuhkan pada 1995, namun hanya pada 1998, beliau dan seorang lagi pengasas syarikat itu, Mohamad Nor Abdul Rashid, memulakan perniagaan apabila mendapat kontrak sebagai subkontraktor kepada salah sebuah syarikat minyak tempatan.

“Pada masa itu, syarikat kami amat kecil, hanya ada tiga pekerja termasuk saya, Mohamad Nor dan seorang jurutera.

“Kami bertiga melakukan semua perkara termasuk kerja pejabat, perakaunan dan kejuruteraan. Saya tidak pernah terbayang syarikat kami akan berkembang daripada hanya tiga pekerja pada 1998 kepada 580 pekerja kini dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Katanya, Mohamad Nor banyak membantu dalam menjayakan syarikat itu untuk beralih daripada subkontraktor kepada kontraktor utama bagi pengendali minyak dan gas terkemuka termasuk Petronas cari gali Sdn Bhd, Carigali Hess dan Murphy Oil. Mohamad Nor kini adalah Naib Pengerusi Eksekutif Vastalux.

“Detik peralihan adalah apabila Vastalux mendapat Lesen Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal daripada Petronas pada 2002. Lesen itu membolehkan kami membuat bidaan projek sebagai kontraktor utama menyediakan perkhidmatan sambungan dan penyenggaraan luar pesisir bagi industri minyak dan gas di negara ini,” katanya.

Setahun selepas itu, Vastalux memperoleh kontrak pertama daripada Petronas Carigali bagi perkhidmatan sambungan dan penyenggaraan projek pembangunan Angsi Fasa III.

Susulan prestasi pelaksanaan kontrak yang baik, syarikat itu memperoleh satu lagi kontrak pada 2004 di bawah “konsep payung” daripada Petronas Carigali untuk tempoh tiga tahun.

“Hingga kini, kami memiliki sepuluh kontrak dalam tangan bernilai lebih RM900 juta dan hampir 40 peratus daripadanya telah disiapkan, sementara itu masih memiliki kontrak bernilai kira-kira RM400 juta untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Vastalux pada tahun lalu merekodkan pendapatan RM140 juta dan tersenarai di tangga ketujuh dalam bidang itu di belakang Petra Energy, Ramunia Fabricators, Tanjung Offshore, Sarku Engineering, Oil-Line, SAAG Consolidated dan Kencana Bestwide.

Kini, Vastalux dalam proses untuk disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur menjelang pertengahan September depan.

Nor Sabri berkata, modal yang dijana daripada penyenaraian syarikat itu akan membolehkan Vastalux mengukuhkan kedudukannya dan mengembangkan operasinya dalam bidang itu.

“Kami kini mensasarkan untuk meneroka pasaran minyak dan gas di peringkat global. Baru-baru ini kami sudah menubuh pejabat di Indonesia dan mendapat kontrak pertama pada Februari lalu menerusi anak syarikat kami, PT Vastalux Energy untuk memasang saluran paip gas yang dimiliki oleh PT Perusahaan Gas Negara.

“Pada Mei lalu, kami memperoleh kontrak kedua di Indonesia daripada PT Salwa Anugerah, manakala kami berhasrat untuk meneroka pasaran perkhidmatan minyak dan gas di Vietnam menerusi syarikat usaha sama, Vastalux-Alpha JV Co Ltd,” katanya.

Nor Sabri enggan mengakui pencapaian baik dan pembangunan pesat syarikat itu adalah hasil usahanya secara individu.

“Kami bekerja secara berpasukan. Masing-masing ada tanggungjawab dan kepakaran tersendiri di mana Setiap kakitangan termasuk pekerja am adalah aset kepada syarikat.

“Dalam perniagaan, kita tidak boleh cepat berbangga dan kecewa, perlu sentiasa memandang ke depan dan bersedia hadapi apa juga cabaran yang tiba,” katanya.

INFO:

  • Nama Syarikat: Vastalux Energy Bhd

  • Pengasas: Nor Sabri Hamzah & Mohamad Nor Abdul Rashid

  • Aktiviti: Perkhidmatan Industri Minyak dan Gas

  • Jumlah Kakitangan: 580 orang

  • Penyenaraian: Papan Kedua Bursa Malaysia

  • Tarikh Jangkaan Penyenaraian: 12 September 2008

  • Anak Syarikat: Vastalux E&C Sdn Bhd; Vastalux Offshore Services Sdn Bhd; Vastalux Onshore Services Sdn Bhd; Vastalux Capital Sdn Bhd; PT Vastalux Energy; Merak Utama Sdn Bhd; V-Factor Sdn Bhd; Vastalux Marine Sdn Bhd; Vastalux Fabricators Sdn Bhd.

  • Projek Dijalankan: 10 kontrak (RM1.01 bilion)

  • Nilai Projek Dalam Tangan: RM400 juta hingga 2010.

  • Bidaan Baru: 14 kontrak (RM775 juta).

  • bharian.com.my