Home » » Sindiran rakan bakar semangat

Sindiran rakan bakar semangat

Written By kall on Wednesday, 6 August 2008 | 01:58


SEWAKTU pertama kali bersua muka dengannya, wanita bertubuh montel dengan palitan mekap ringkas di wajahnya ini bagaikan tidak sabar untuk berkongsi pengalaman manisnya bersama penulis.

Sambil melabuhkan punggung di atas kerusi rotan yang diletakkan di sisi meja makan cafe Terraza Brazzerie, Hotel Sheraton Subang, Selangor, pantas tangan dijabat, dan bermulalah epilog memperkenalkan diri.

Ternyata, wanita berketurunan Bidayuh, Sarawak ini tidak segan silu memulakan bicara awal tentang keperitan dan kesenangan hidup yang dialaminya, sebelum mengecapi apa yang diinginkan hari ini.

Bercerita mengenai penglibatan awalnya, Juddy Tambol, 39, adalah antara wanita yang boleh dikategorikan sebagai tiang kedua dalam sebuah keluarga.

Ini berikutan usaha yang dipamerkannya menerusi bidang perniagaan yang berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM), di bawah syarikat Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd. (Avon).


"Tidak terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk berkecimpung dalam mana-mana bidang perniagaan secara berperingkat, apatah lagi saya bukannya seorang yang gemar bersolek mahupun pentingkan penampilan diri.

"Cita-cita ini datang secara natural, tanpa ada sesiapa yang memaksa atau dipaksa. Ia bermula sewaktu saya bekerja sebagai chef di salah sebuah hotel ternama di bandar raya Kuching, Sarawak."

Begitulah lontaran kata yang diluahkan anak kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak ini bagi menguatkan lagi persoalan yang diajukan terhadapnya.

Menyingkap kisah hidupnya sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan, katanya, kesusahan yang ditanggung ibu dan bapanya bersama tujuh adik beradik lain telah memaksa beliau berhenti sekolah sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau kini dikenali Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

"Bagi membantu mengurangkan beban bapa yang merupakan seorang petani, saya bekerja sebagai tukang cuci di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching, Sarawak.

"Dengan imbuhan gaji yang tidak seberapa, saya tetap bersyukur kerana dapat membantu keluarga di kampung dan membiayai kos pelajaran adik-adik. Setelah hampir setahun bekerja, saya dinaikkan pangkat sebagai pembantu chef.

"Berkat usaha dan pencapaian yang dipamerkan, saya ditawarkan bekerja di salah sebuah hotel lain sebagai seorang chef dalam bidang pastri, dengan bayaran bulanan gaji kurang daripada RM1,000.

"Ketika itu, apa yang bermain di fikiran hanyalah masa depan ahli keluarga dan adik-beradik," jelasnya dalam nada tenggelam timbul sebaik sahaja memberitahu kesusahan yang dihadapi memaksa mereka makan ubi kayu dan gandum sebagai makanan utama suatu ketika dahulu.

Setelah lebih kurang 12 tahun menyandang jawatan sebagai chef, Juddy sekali lagi meletakkan keinginan yang besar untuk berjaya dalam hidupnya, lebih-lebih lagi setelah mendirikan rumah tangga.

Ditanya apakah yang mendorong beliau melibatkan diri dalam bidang perniagaan berkonsepkan MLM, ibu kepada dua orang anak perempuan ini, berkata, memandangkan kerjaya sebagai chef memerlukan masa yang pantas dan tidak fleksibel, keadaan itu telah mendorongnya menyertai perniagaan secara berperingkat.

"Saya mempunyai waktu kerja yang padat dari pagi hingga petang, dengan pendapatan tetap tetapi tidak cukup untuk menanggung persekolahan dua anak perempuan saya. Ini memaksa saya berkecimpung dalam dunia perniagaan tersebut.

"Bukan itu sahaja, memandangkan sepanjang hari, saya bekerja di dapur tanpa sebarang palitan mekap di wajah, membuatkan saya terfikir untuk mengubah penampilan diri seperti wanita lain yang pentingkan kecantikan.

"Bukan kerana saya tidak bersyukur dengan apa yang diberikan, tetapi saya mempunyai visi tersendiri untuk mengubah nasib keluarga dan diri saya," kata Juddy yang memberitahu, pendapatannya kini mencecah hampir RM6,000 sebulan.

Menurutnya, kerjayanya di Avon bermula pada tahun 2005 iaitu sewaktu beliau menjadi wakil jualan produk.

"Jujur dikatakan, saya seorang yang sangat pemalu dan jarang sekali bercakap dengan mana-mana orang yang tidak dikenali.

"Pernah sekali, disebabkan rasa takut yang keterlaluan ketika berhadapan dengan pelanggan pertama, saya terus menangis," katanya sambil tersenyum sipu dengan lirikan matanya yang sepet.

Berkongsi pengalaman pertamanya menceburi bidang MLM ini, Juddy memberitahu, dia terpaksa menelan pelbagai rintangan hidup demi merealisasikan impian yang diinginkan selama ini.

"Sewaktu kali pertama menyertainya, hati sering tertanya tentang bagaimanakah cara mencari rakan kongsi dan mengembangkan perniagaan.

"Seperti orang yang ditinggalkan suami...Waktu itu, pelbagai cara telah saya lakukan sehingga sanggup menghabiskan sepanjang waktu semata-mata ingin menelaah dan membelek buku-buku rujukan perniagaan," katanya yang begitu obses di dalam dunia perniagaan.

Ketika dirinya mula memahami rentak kerja yang dilakukan itu, suaminya pula tidak memberi restu.

"Pada mulanya, saya begitu sukar mendapatkan kepercayaan suami. Dia begitu marah. Kadang-kadang, saya cemburu melihat rakan-rakan lain yang mendapat sokongan suami.

"Apabila saya memutuskan untuk berhenti kerja, suami langsung tidak bertegur sapa dengan saya selama sebulan. Saya terasa dirinya begitu kejam sehingga tidak mahu mendengar alasan yang saya berikan," kata Juddy sambil menegaskan kemelut itu sudahpun berakhir apabila beliau telah membuktikan kejayaannya kepada suami tersayang.

Bukan setakat itu sahaja, minat yang mendalam dalam bidang perniagaan membuatkannya pernah disindir oleh rakan-rakan di tempat kerja.

"Kata-kata seperti 'buat promosi la tu...' dan 'awak seperti orang bodoh bila bawa risalah itu!' akan saya jadikan pembakar semangat dan motivasi kepada diri saya dalam mengembangkan perniagaan ini.

"Segala tohmahan yang dilemparkan telah saya jadikan penguat semangat untuk berjaya seperti hari ini," katanya yang kini menyandang jawatan sebagai Advanced Sale Leadership dengan berjaya menerima beberapa anugerah.

Dalam temu bual Kosmo!, Juddy memberitahu kehidupannya hari ini telah berubah sama sekali, semuanya kerana penglibatannya dalam dunia perniagaan MLM.

"Menceburi bidang ini begitu memotivasikan diri saya walaupun saya terpaksa berendam dengan air mata selama hampir empat tahun, semata-mata ingin mempertahankan cita-cita.

"Dengan usaha yang diketengahkan ini juga, saya berpeluang berkenalan dengan ramai kenalan dari seluruh pelosok negara dan berjaya mengubah kehidupan ahli keluarga.

"Secara tidak langsung, ia juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya serta motivasi diri seperti wanita lain," tambahnya ketika bercerita tentang perubahan diri yang berlaku kepadanya sejak berkecimpung dalam dunia perniagaan MLM.


sumber: kosmo.com.my

0 comments: