Home » » Lakukan itu atas dasar minat dan keikhlasan

Lakukan itu atas dasar minat dan keikhlasan

Written By kall on Thursday, 14 August 2008 | 19:05


I STATION Optometrist adalah cita-cita ibu muda kelahiran negeri Melaka Bandaraya Bersejarah yang telah berputik sejak beliau di bangku sekolah lagi dan akhirnya direalisasikan sebaik menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kira-kira empat tahun lalu.

Kini dalam tempoh tiga tahun bergelar usahawan, Anis Harnisah Haron, 29, telah mempunyai dua cawangan di Selangor.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, SHAHARANI SAIBI sempat berkongsi pengalaman beliau dalam menghadapi dunia perniagaan yang dimonopoli bangsa asing ini.

MEGA: I Station Optometrist di Seksyen 9, Shah Alam ini adalah cawangan kedua anda selepas pembukaan pertama kedai di Taman Subang Perdana pada 2005. Bagaimana timbul minat untuk mengusahakan perniagaan cermin mata ini?

ANIS HARNISAH: Sejak zaman persekolahan peringkat menengah lagi saya menyimpan tekad untuk menjadikan bidang berkaitan optometri sebagai pilihan kerjaya di masa depan.

Pada masa itu, bidang ini hanya di tawarkan di UKM, alhamdulillah permohonan saya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sana diterima.

Peluang menjejakkan kaki ke menara gading ini, tidak saya sia-siakan. Semenjak dari situlah saya menanam tekad dan cita-cita untuk membuka perniagaan yang berkaitan bidang yang diambil.

Lantas sebaik memiliki Sarjana Muda Sains Optometri (Kepujian) dari UKM, saya cuba bekerja makan gaji bagi menambah pengalaman.

Itupun tidak lama iaitu tidak sampai setahun sebelum memikirkan secara serius usaha membuka kedai cermin mata yang pertama di Taman Subang Perdana, Seksyen U3, Shah Alam, Selangor.

Alhamdulillah pada 2005 I Station Optometrist pertama berjaya dibuka dengan mengeluarkan sejumlah simpanan peribadi dan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kesemuanya berjumlah RM175,000.

Kemudian pada bulan Mei 2007, cawangan kedua pula dibuka di Seksyen 9, Shah Alam.

Kebiasaannya mengusahakan perniagaan yang dimonopoli bangsa asing adalah sesuatu yang berisiko tinggi sehinggakan ada yang terpaksa gulung tikar. Apakah strategi anda dalam menghadapinya?

ANIS HARNISAH: Ia adalah satu fenomena yang tidak dapat dinafikan. Hakikatnya, pada peringkat awal memanglah kami terpaksa menghadapi pelbagai cabaran terutamanya dalam usaha membina kepercayaan orang kita ditambah pula persaingan daripada bisnes bangsa asing yang sudah ada nama dan memang memonopoli bisnes ini.

Pun begitu, kelebihan kita umat Islam ialah rezeki itu adalah ketentuan Ilahi dan sebagai hambanya, janganlah kita cepat berputus asa dan sentiasa sabar serta berkeyakinan kepada-Nya.

Lantaran itu, saya selalu berpegang pada aspek penjagaan kualiti dan perkhidmatan yang terbaik. Alhamdulillah, boleh dikatakan 90 peratus pelanggan I Station merupakan orang Melayu daripada pelbagai status kehidupan.

Aspek tawaran harga yang berpatutan juga diambil kira kerana mereka yang menghadapi masalah penglihatan sebenarnya dialami oleh semua orang, baik susah, sederhana dan berada.

Sebab itulah, ada ketikanya kami akan menyediakan perkhidmatan bergerak di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi dan tidak terkecuali ke pejabat-pejabat kerjaan mahupun swasta.

Bagi mereka yang berminat diadakan perkhidmatan bergerak di tempat mereka boleh menghubungi talian 03-5880 1886.

Di samping, kami turut menyediakan perkhidmatan selepas pembelian kepada pelanggan.

Satu perkara yang menjadi pantang saya ialah pelanggan menyesal selepas membuat pembelian. Bagi saya, apa yang paling penting, pelanggan dapat apa yang diperlukan.

Dalam bisnes juga kita kena amalkan kejujuran dan amanah kepada pelanggan. Ini secara tidak langsung, membina kepercayaan serta keyakinan pelanggan serta dapat melaksanakan salah satu fardu kifayah.

Apakah kepuasan anda dalam dunia perniagaan ini?

ANIS HARNISAH: Apabila sesuatu yang kita lakukan itu atas dasar minat dan keikhlasan, tentunya kepuasan itu dirasai walau apa juga halangan yang melanda.

Bagi saya apa yang dilakukan ini bukanlah semata-mata atas niat untuk mengaut keuntungan tetapi yang lebih diutamakan ialah sumbangan dan bantuan kita kepada mereka yang bermasalah. Dalam kes saya, mereka yang menghadapi masalah penglihatan.

Sungguhpun telah ada dua cawangan, saya masih berusaha untuk meningkatkan kualiti serta memastikan produk-produk terkini serta pelbagai agar menepati cita rasa pelanggan.

Kejayaan saya ini tidak akan berjaya tanpa sokongan semua terutamanya suami, anak-anak dan dorongan dan sokongan ibu yang sentiasa membakar semangat saya untuk terus berusaha dan membina empayar perniagaan suatu hari kelak.

Orang kita selalu tersalah anggap soal mengumpul kekayaan terutamanya menerusi perniagaan. Bagaimana anda melihat hal ini.

ANIS HARNISAH: Bagi saya, umat Islam itu tidak akan kukuh dan maju serta dihormati tanpa kekuatan dari segi ekonomi khasnya.

Lantaran itulah, di dalam Islam sendiri berkecimpung dalam dunia perniagaan adalah digalakkan. Ini kerana kekayaan itu, bukanlah hak milik mutlak kita tetapi di dalam harta itu ada hak mereka yang lain. Contohnya menerusi kewajipan membayar zakat.

Selain itu, dengan kekuatan ekonomi yang kita ada, ia adalah aset untuk kita bersenang di dunia dan di akhirat. Sayangnya, banyak yang berlaku sekarang, orang kaya makin tamak dan kedekut. Mentaliti inilah yang perlu diubah kerana kekayaan itu adalah salah satu ujian di atas dunia.

Saya berharap sangat umat Islam yang mahir atau pakar dalam bisnes optikal ini agar bersatu atau bergabung demi mencari kekuatan sesama.

Contohnya, dengan penubuhan Persatuan Optikal Muslim, dari situlah, banyak yang boleh diusahakan agar bisnes yang dikendalikan ini mampu berdaya saing dan terus maju, sekali gus dapat menarik pelanggan Islam.

Sumber:utusan.com.my