Home » » Zaicorp sasar pasaran dunia

Zaicorp sasar pasaran dunia

Written By kall on Thursday, 7 August 2008 | 01:00


SEJAK kecil lagi setiap kali guru agama berkisah mengenai kelebihan golongan yang menceburi bidang perniagaan, hatinya meronta-ronta untuk ikut serta.

Seiring perubahan masa, saranan agama yang menekankan sembilan daripada 10 pekerjaan yang mulia itu adalah perniagaan cita-citanya semakin bulat untuk turut serta.

Melalui bidang tersebut, Raja Azly Zuhaimy Shah Raja Azhar Shah masak dengan kerenah pelanggan dan berhadapan dengan onak dan duri yang ada kala mencabar kesabaran.

Bagaimana pun Pengurus Besar Zaicorp Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan ini menganggapnya sebagai dorongan dan pembakar semangat untuk terus bertahan.

Menceburi bidang pembuatan dan pengeluar pelbagai jenis beg, dia bercita-cita mahu menawan pasaran hingga ke pelosok dunia dengan penampilan identiti bangsa yang merujuk kepada seni kraf tempatan namun masih bercirikan moden kontemporari.

Mensasarkan lima tahun lagi, dia yakin impian terlaksana kerana sekarang sudah terdapat enam cawangan di seluruh negara. Wartawan Utusan, RAHANA MD dan jurugambar ROSNI MASRI berkongsi wawasan Raja Azly Zuhaimy (RAZ) dalam empayar perniagaan yang dibina sejak sedekad lalu.

Mega: Apa yang mendorong saudara memilih perniagaan berkaitan pembuatan beg?

RAZ: Selepas melakukan pemerhatian, saya dapati perniagaan ini kurang diceburi oleh bumiputera dan kebanyakan hanya menjadi pengedar kepada syarikat-syarikat gergasi yang dimonopoli bukan Islam. Hakikatnya, potensi pasaran beg begitu luas malah boleh dieksport.

Apakah kelebihannya?

RAZ: Perniagaan ini mempunyai potensi untuk dimajukan kerana permintaan terhadap beg secara berulang-ulang.

Misalnya beg kepada peserta dalam seminar dan konvokesyen, kebanyakan penganjur akan menghadiahkan sekali beg untuk memudahkan peserta mengisi dokumen, kertas kerja dan sebagainya. Beg juga produk yang sentiasa mendapat sambutan di kalangan pelajar, golongan bekerja dan orang awam untuk mengisi pelbagai barangan.

Apakah jenis beg yang ditawarkan?

RAZ: Syarikat menawarkan lebih 15 pelbagai jenis beg antaranya, beg dokumen, sisi, perjalanan, sandang belakang dan yang terkini dan paling laris beg laptop dengan reka bentuk moden. Istimewanya beg tersebut mempunyai tiga cara pegangan yang berbeza, reka bentuk menarik dan mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan korporat.

Terdapat lambakan beg di pasaran, apa kelebihan Zaicorp untuk menarik perhatian pelanggan?

RAZ: Kelainan yang ditampilkan antara faktor Zaicorp mampu bertahan dalam pasaran. Misalnya beg dokumen yang mendapat permintaan tinggi dalam seminar dan konvokesyen lazim tampil mengikut cita rasa pelanggan.

Misalnya bahagian luar beg boleh ditampal atau dicetak selari dengan majlis yang berlangsung termasuk cetakan berunsurkan Islam. Penggunaan bahan-bahan mentah seperti kulit juga dijamin halal dengan reka bentuk beg terkini, pilihan warna-warna yang menarik.

Bagaimana proses pembuatan untuk mengekalkan kualiti?

RAZ: Kilang pengeluaran dan pemprosesan di Pengkalan Chepa, Kelantan mempunyai mesin berteknologi Jepun dan mampu mampu mengeluarkan sehingga 500 unit beg sehari. Dibantu 60 kakitangan, Zaicorp turut melakukan kerja-kerja terakhir secara manual seperti kemasan jahitan di bahagian luar dan menampal logo mengikut permintaan pelanggan.

Bagaimana dengan identiti produk?

RAZ: Beg keluaran syarikat bersifat global namun atas inisiatif membentuk identiti, Zaicorp menyelitkan elemen tempatan seperti penggunaan kain songket, pandan dan batik lukis di bahagian luar beg.

Elemen tradisi ini disuntik dalam reka bentuknya kerana menghargai produk tempatan agar kekal menjadi kebanggaan masyarakat. Selain itu, syarikat didorong atas permintaan pelanggan sendiri yang inginkan kelainan dalam reka bentuknya.

Syarikat juga menggunakan bahan yang terdiri daripada nilon, polyster dan kulit yang diimport sebagai bahan asas dan menjaga kualiti.

Bagaimana berhadapan dengan pesaing?

RAZ: Saingan paling rapat ialah produk import yang lebih mudah diperoleh dengan harga lebih rendah misalnya dari China dan membanjiri pasaran tempatan. Setakat ini, lambakan tersebut tidak memberi impak dalam perniagaan yang diusahakan namun syarikat semakin yakin pelanggan semakin bijak memilih.

Hakikatnya syarikat tidak mampu menyekat kemasukan produk luar dan menganggap satu persaingan positif. Sebagai langkah menyaingi, Zaicorp mempelbagaikan jenis beg serta mengubah reka bentuknya untuk mencuri tumpuan pelanggan.

Siapakah sasaran pelanggan?

RAZ: Syarikat mensasarkan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk agensi kerajaan, swasta dan perseorangan, golongan korporat, wakil dan pengedar serta sesiapa sahaja yang mahukan perkhidmatan dalam pembuatan beg.

Kebanyakan pelanggan dari seluruh negara kerana Zaicorp mempunyai enam cawangan untuk bahagian pemasaran di Sungai Petani, Kedah, Kuantan, Pahang, Ipoh, Perak, Johor Bahru, Johor, Subang Jaya, Selangor, serta kilang di Kota Bharu, Kelantan.

Apakah sumbangan lain syarikat?

RAZ: Syarikat menyediakan lebih 50 peluang pekerjaan khususnya penduduk tempatan bumiputera dan beragama Islam yang bekerja di kilang, pentadbiran dan pemasaran yang menjadikan syarikat sebagai tempat mencari rezeki.

Bagaimana dengan harapan terhadap perniagaan?

RAZ: Ekonomi negara terus kukuh bagi membolehkan rakyat menikmati hidup pada tahap seimbang dan berpeluang menggunakan produk buatan tempatan dengan lebih meluas. Syarikat juga bercadang mempelbagaikan variasi produk seperti mengeluarkan pakaian seperti kemeja T pada tahun hadapan.

Di samping meluaskan empayar perniagaan ke luar negara dan kini sedang menjalin usahasama dengan sebuah syarikat di London yang mempunyai pengaruh besar dalam memasarkan produk ke negara -negara Eropah.

Di manakah produk keluaran Zaicorp boleh diperoleh?

RAZ: Setakat ini pelanggan mendapatkan tempahan terus daripada pegawai pemasaran yang ada di enam cawangan seluruh negeri ataupun daripada pengedar yang dilantik. Syarikat memang bercadang menambah jumlah pengedar bagi memudahkan orang ramai mendapatkan beg Zaicorp. Sesiapa yang berminat hubungi talian 03-8024 0310 atau layari laman web http://www. geoticities.com/ zaicorp_industries.

sumber: http://www.utusan.com.my