Home » » Buku Cerita Untuk Tidor

Buku Cerita Untuk Tidor

Written By kall on Friday, 14 March 2008 | 12:46


BUDAYA membacakan bed time story atau amalan bercerita sebelum tidur merupakan satu yang baru buat masyarakat kita, sungguhpun ia satu kebiasaan ibu bapa dan penjaga di Barat.

Oleh kerana asalnya adalah budaya luar maka secara tidak langsung, kita terpaksa bergantung dengan bahan- bahan bacaan daripada kisah-kisah dongengan dari negara luar, walaupun menyedari perbezaan antar mereka dan kita amat ketara sama ada dari segi kebudayaan, cara hidup dan latar suasana.

Menyedari akan kekosongan dan keperluan mendesak itu, maka PTS One Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menerbitkan buku berjudul Bacakan Saya Satu Cerita bagi memberi alternatif kepada ibu bapa, sekali gus mendedahkan kanak-kanak dengan cerita tempatan yang lebih sesuai dengan budaya Malaysia.

Baru-baru ini bertempat di Menara Cenderawasih, Keramat, Kuala Lumpur satu majlis ramah mesra di antara pihak penerbit, penulis buku dengan media dibuat dalam suasana yang cukup sederhana tetapi meriah.

Majlis ini adalah atas idea salah seorang daripada 15 penulisnya iaitu Kusyi Hirdan.

“Pada asalnya saya hanya menyuarakan cadangan untuk diadakan satu sesi fotografi para penulis memandangkan antara kami masih belum saling mengenali. Alhamdulillah, biarpun hanya lapan penulis yang hadir, ia sudah begitu memadai kerana ada di antara mereka ini sanggup datang dari luar Lembah Klang.

“Biarpun buku ini sudah berada di pasaran sejak November tahun lalu, saya menaruh harapan tinggi agar mana-mana pihak terutamanya ibu bapa untuk mendapatkannya sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun dijadikan hadiah atau cenderahati,” katanya.

Mengapa setiap rumah perlu mempunyai buku ini? Ini kerana buku yang mengandungi sebanyak 162 cerita ini sesuai untuk kanak-kanak antara usia lima hingga lapan tahun. Malah penggunaan gaya bahasa yang mudah difahami serta persembahan menarik menerusi lukisan berwarna menjadi faktor penarik pembaca.

Namun apa yang lebih ditekankan penerbitnya ialah kepada pengisian bahan-bahan cerita.

Buku ini adalah cerita dari orang kita untuk generasi kita. Cerita-ceritanya sesuai untuk semua golongan masyarakat tanpa sempadan agama dan bangsa. Pada setiap kisah yang diutarakan mempunyai pengajarannya yang tersendiri.

Izzah Ahmad, seorang penulis bebas yang merupakan penyumbang paling tinggi dalam buku ini iaitu sebanyak 19 cerita berharap ibu bapa menggunakan medium buku sebagai satu cara membina hubungan erat serta mendidik anak-anak.

“Sebenarnya, impak yang diperoleh menerusi kaedah pembacaan adalah jauh lebih berkesan dan mendalam. Apatah lagi, yang meluangkan masa singkat itu adalah ibu atau bapa.

“Idea dan ilham menghasilkan sesebuah cerita itu diperoleh dalam rutin harian saya bersama anak-anak. Kadang-kadang sifat kanak-kanak yang suka bertanya serta mengaitkannya dengan benda sekeliling menjadi modal cerita saya,” katanya.

Buku Bacakan Saya Satu Cerita dijual dengan harga RM49.90 senaskhah dan mereka yang berminat boleh menghubungi 03-4142 7413 atau layari laman web www.pts.com.my.

0 comments: