Home » » Zubaidah 'tukang kemas' profesional

Zubaidah 'tukang kemas' profesional

Written By kall on Friday 21 March 2008 | 12:42

Buktikan kerjaya housekeeping mampu berkembang, punya masa depan


PENGEMAS atau Housekeeper dalam industri perhotelan jarang dilihat ramai sebagai kerjaya yang menjanjikan masa depan cerah. Tanggapan salah mengaitkan kerja ini dengan ruang lingkup yang sempit secara tidak langsung menyebabkan ia dipandang sebagai kerjaya berkelas rendah.

Eksekutif Housekeeper, Sheraton Subang Hotel & Tower, Zubaidah Haniffa, berkata bidang housekeeping menjanjikan prospek lebih tinggi dan berdaya maju. Malah, mereka yang berminat dan bersungguh-sungguh menjalankan tanggung jawabnya boleh mencapai kedudukan atau pangkat lebih tinggi pada peringkat profesional seperti pengurusan, pengarah atau perunding housekeeping dengan pendapatan lumayan.


“Ia lebih daripada sekadar mengemas bilik atau mencuci tandas. Kerjaya ini memerlukan anda bertanggung jawab menguruskan kebersihan dan mengekalkan keindahan hampir setiap ceruk hotel. Peranan housekeeper cukup besar, bermula daripada lobi yang menerima tetamu, bilik, hiasan bunga, dobi sehinggalah kawasan awam, semuanya berada di bawah tanggung jawab housekeeper.

“Ia adalah kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan dan kenaikan pangkat lebih tinggi. Tanpa housekeeper, sesebuah hotel itu tidak akan mendapat keuntungan kerana produk utama yang dijual adalah bilik. Bilik yang sentiasa kemas bakal mengundang kembali tetamu yang secara langsung bermakna memberi ‘bisnes’ kepada hotel,” katanya.

Ibu kepada tiga anak berusia antara lapan hingga 18 tahun itu turut mengakui dirinya sendiri terpaksa bermula daripada bawah ketika menyertai bidang berkenaan sejak 20 tahun lalu, sebelum mencapai kedudukan selesa seperti hari ini. Anak kelahiran Pulau Pinang itu melanjutkan pelajaran di kolej swasta dalam bidang perhotelan, di peringkat diploma selama dua setengah tahun sebelum bergelar Pelatih Pengurusan di Pangkor Laut Resort selama enam bulan.