Home » » Ibu tiga anak pengusaha cendawan

Ibu tiga anak pengusaha cendawan

Written By kall on Friday 21 March 2008 | 23:13

Peluang Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh majikan tempatnya bekerja tidak dibiarkan begitu saja.

Melihat anak-anak yang semakin meningkat remaja dan memerlukan lebih perhatian menyebabkan Zainon Ariffin, 46, tidak berfikir dua kali.

Selain menghabiskan masa memantau anak-anak di rumah, bekas penolong pengurus perkhidmatan pelanggan ini mula mengintai peluang perniagaan yang ada dengan menceburi projek menanam cendawan.

Walaupun menjalankan kerja-kerja menanam cendawan, beliau masih boleh menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah.

Berasal dari keluarga peniaga, Zainon mula menjinak-jinakan diri dengan penanam cendawan sebaik menerima tawaran VSS empat tahun lalu.

Tidak seperti orang lain, Zainon telah mendapatkan kontrak membekalkan cendawan daripada CIMA Agro sebelum memulakan penanaman.

Memulakan penanaman cendawan tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan, Zainon menggunakan duit simpanan semasa bekerja.

“Selepas mendapat kontrak barulah saya mula mempelajari bagaimana menanam cendawan daripada ‘tok guru’ saya Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian.

“Selain itu saya juga mempelajari kaedah menanam cendawan daripada CIMA Agro, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program siswazah menganggur dan penanam cendawan lain,” katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Sekolah, Batang Kali, Selangor.

Menanam cendawan kata Zainon, tidak boleh dikatakan mudah kerana ia memerlukan kawasan yang bersih, sejuk dan jauh daripada pencemaran.

“Bagaimanapun tanaman ini diprogramkan supaya kita boleh mendapat hasil pada masa yang ditetapkan,” katanya yang sehingga kini masih tidak memohon sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kewangan.

Mempunyai dua orang pekerja sambilan dan dibantu oleh ahli keluarga, Zainon memulakan tugas seawal lapan pagi.

Tugas mengisi media (campuran habuk kayu, dedak dan sebagainya untuk cendawan membiak) ke dalam polibeg dilakukan oleh pekerja sambilan yang mahir dan dapat mengisi media dalam 1,000 beg sehari.

“Sebelum itu saya, suami dan anak sulung akan menyediakan bahan-bahan untuk campuran media berkenaan,” katanya.

Selepas polibeg diisi dengan media, ia akan dikukus selama lapan jam bagi membunuh semua organisma mikro yang boleh menyebabkan pencemaran.

Proses mengukus polibeg banyak dibantu oleh bapanya yang amat menggalakkan Zainon menanam cendawan sejak awal lagi.

Polibeg berkenaan kemudian disejukkan sebelum disuntik dengan benih cendawan yang dibeli daripada pembekal.

“Masalah timbul apabila saya tidak mendapat benih yang sesuai bagi menghasilkan cendawan dengan saiz yang diperlukan di pasaran.

“Biasanya tugas menyuntik benih cendawan saya serahkan kepada anak bongsu saya yang sekarang ini amat mahir melakukannya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Zainon berkata, setiap seorang anaknya walaupun masih bersekolah menengah telah diajar berjinak-jinak dengan industri cendawan.

“Ini salah satu cara kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama sambil mengeratkan hubungan keluarga kerana menanam cendawan bukanlah satu tugas yang berat,” katanya.

Pada masa yang sama Zainon yang juga banyak menerima khidmat nasihat dan bimbingan serta merupakan projek contoh Perintis Agrotech Centre yang sering memberikan kursus berkaitan pertanian.

Buat masa ini Zainon mempunyai tiga buah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 12,000 polibeg setiap satu.

Tidak mahu hanya bergantung kepada pembekal benih cendawan, Zainon bercadang menghasilkan benih sendiri.

Minatnya terhadap cendawan membawanya ke sehingga ke selatan Thailand untuk melihat sendiri ladang cendawan dan menimba ilmu di sana.

“Saya akan berusaha mendalami ilmu penanaman cendawan bagi memperbaiki kaedah yang ada sekarang,” katanya.

Beliau kini dalam usaha mendirikan makmalnya sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan selewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, Zainon juga sedang menyediakan tempat latihan bagi mereka yang berminat dengan penanaman cendawan.

“Penanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah dan mereka yang berminat perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.

Berfikiran jauh, Zainon telah memikirkan mengenai lambakan cendawan di pasaran, beliau telah mula mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.

Bekerjasama dengan beberapa orang anak muda yang juga saudaranya, Zainon telah memasarkan produk hiliran cendawan secara kecil-kecilan.

“Buat masa ini kami telah menghasilkan begedil, popia inti cendawan, serunding, pau berinti cendawan dan tempura yang mendapat pasaran yang menggalakkan di sekitar bandar Kelang, Selangor.

“Apabila industri hiliran mendapat sambutan yang menggalakkan saya bercadang menambah tiga lagi rumah cendawan tahun ini,” katanya yang mendapat geran Groombig dari SIRIM bagi pelabelan dan pembungkusan.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai industri cendawan boleh menghubungi Zainon di 013-341 8202.

Pengusaha cendawan perlu ilmu mencukupi

Industri cendawan kini bukan sahaja terdiri daripada petani semata-mata tetapi melibatkan pelbagai golongan profesional.

Ini menunjukkan industri cendawan semakin mendapat tempat dalam masyarakat kerana konsep penanaman ringkas dan kemas serta memberikan pulangan lumayan.

Walaupun bilangan pengusaha cendawan semakin hari semakin ramai, namun tidak ramai pengusaha yang arif tentang teknik penjagaan cendawan dan pengurusan kewangan dan peka terhadap kesan pengabaiannya.

Dalam usaha merealisasikan pertanian sebagai perniagaan, pengusaha atau bakal pengusaha perlu mengetahui teknik penanaman serta konsep penjagaan cendawan yang betul.

Ini bagi membolehkan pengusaha cendawan mengurangkan kadar kerosakan cendawan selain mendapat keuntungan dan hasil maksimum.

Konsep penanaman yang dimaksudkan termasuklah teknik dan kemahiran penyediaan beg media (tempat membiak cendawan) tidak berpenyakit, pengukusan dan pemeraman sempurna, pengawalan penyakit dan kebersihan, pengudaraan rumah cendawan teknik penuaian serta pemasaran.

Namun bagi pengusaha yang ingin menjalankan perusahaan ini secara komersial, mereka perlu mendapat pendedahan tentang cara penggunaan mesin dan peralatan yang digunakan dalam industri ini seperti mesin penggaul, mesin pengisi beg media dan mesin pengukus.

Melalui latihan dan kursus bimbingan, pengusaha akan didedahkan tentang ramalan pendapatan yang bakal diperoleh oleh mereka.

Purata pendapat pengusaha cendawan kini boleh mencecah RM3,000 sebulan jika pengusaha memulakan penanaman cendawan sebanyak 12,000 beg media.

Ini menunjukkan pendapatan yang diperoleh oleh pengusaha setanding dengan perusahaan dan industri lain.

Bagi memberi pendedahan lengkap tentang teknik penanaman cendawan, beberapa kursus diadakan oleh pelbagai pihak di beberapa kawasan.

Antaranya kursus anjuran Perintis Agrotech Centre pada 30 Mac 2008 bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai Kursus Intensif Penanaman Cendawan ini boleh menghubungi talian 019-3311298 atau 019-6634527.

Satu lagi kursus asas pengeluaran cendawan tiram kelabu akan diadakan di Rumah Cendawan, Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti Putra Malaysia.

Kursus yang diadakan pada 5 hingga 6 April 2008 dianjurkan oleh Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi 03-8946 7286/87 atau 012-394 8719

Pusat Latihan dan Kajian Atiqah Trading Agrotech juga akan menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan pada 29 hingga 30 Mac 2008, di ladang Al-Fadtullah Mushroom Tanjong Malim, Perak.

Pada kursus tersebut, peserta akan didedahkan tentang cara penanaman cendawan dari segi teori dan juga praktikal oleh pemilik ladang Dr.Johari.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Dr. Johari dan atau di talian 05- 4541635 atau 019-3544888.

0 comments: