Home » » Ibu bapa berdosa izin anak berdating

Ibu bapa berdosa izin anak berdating

Written By kall on Friday, 7 March 2008 | 09:41


INI copy paste dari utusan.... ditanya tentang hukum ibu bapa mengenai anak nya...
bukan mudah nak didik anak denagn trend yang ntahhapehape skrang niiih....apa-apapun segala hukum Allah itu hanya untuk kebaikan manusia jua.Jawapan ini di jawab oleh Ustaz Farid Ravi.

bu bapa berdosa izin anak berdating

SOALAN
BERDUA-DUAAN antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Apakah pula hukumnya ibu bapa yang mengizinkan anak perempuan mereka keluar dengan teman lelaki sama ada berjalan-jalan atau menonton wayang?

JAWAPAN
Keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram adalah ditegah dan hukumnya haram. Apatah lagi menonton wayang bersama teman lelaki juga adalah haram.

Perbuatan ibu bapa yang mengizin anak perempuan mereka keluar rumah bersama lelaki yang bukan mahram juga haram. Dalam hal ini kesemua yang terlibat berdosa. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang merestui anak perempuannya melanggar perintah Allah s.w.t.

Ibu bapa sepatutnya menjadi contoh dan bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka yang diamanahkan kepada mereka. Ibu bapa yang mengkhianati amanah ini pasti akan mendapat balasan seksa dua kali ganda kerana mereka merestui malahan menghalalkan apa yang telah jelas haram di sisi Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka…. (al-Thagabun: 14).

Dalam ayat lain, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32).

Ibn Kathir berpendapat maksud zina di sini ialah: “Apa sahaja jalan yang membawa kepada maksiat”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, jld:3, hlm: 55).

Dalam surah al-Thagabun Allah s.w.t. menjelaskan bahawa anak-anak itu dikurniakan kepada manusia kemudian diuji dengannya. Kadangkala anak-anak ini menjadi penawar hati kadang- kadang menjadi musuh kepada kedua- dua ibu bapanya.

Anak-anak lahir ke atas bumi ini dalam keadaan suci dan bersih seperti mana hadis Rasulullah s.a.w. menjelaskan yang bermaksud: Setiap anak Adam itu lahir ke atas bumi ini dalam keadaan fitrah (suci jiwanya ), maka ibu bapa yang menjadikan dia Nasrani, Majusi atau Yahudi… (riwayat Bukhari no. 1385).

Kesimpulannya, ibu bapa yang mencorakkan anak-anak itu menjadi seorang yang baik atau menjadi seorang derhaka kepada Pencipta dan kedua-dua ibu bapa.

Masyarakat perlu faham kadang-kadang perbuatan mereka mengundang musibah yang lebih besar. Apabila seorang lelaki mendampingi seorang wanita yang bukan mahram makhluk yang ketiga yang bersama mereka ialah syaitan.

Tugas syaitan yang dimaklumi ialah sentiasa membisikkan kejahatan dan kemungkaran dalam telinga anak Adam. Berdua-duaan antara lelaki dan perempuan adalah seperti kapas yang berhampiran dengan api, bila-bila masa boleh terbakar. Akhirnya, si anak perempuan terdedah kepada zina. Mungkin juga membawa pulang perut yang berisi anak luar nikah sebagai ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada kedua ibu bapanya yang merestui perbuatan anaknya. Ketika itu, ‘nasi sudah menjadi bubur, arang sudah disapu ke muka.’ Yang paling berharga bagi manusia juga sudah tercemar iaitu maruah keluarga.

Justeru, Islam meletakkan kaedah ‘menghalang daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik adalah lebih baik daripada merawat’. Ingatlah sesungguhnya menjaga dan membesarkan anak perempuan adalah lebih besar tanggungjawabnya kerana menjaga mereka seperti menggenggam bara api.

Nabi s.a.w. menjanjikan syurga bagi ibu bapa yang mempunyai dua orang nak perempuan atau lebih dengan balasan syurga. Balasan itu bersyarat. Syaratnya mesti mendidik mereka dengan agama, ajarkan mereka akhlak yang mulia, apabila mereka dewasa, kahwinkan mereka dengan lelaki yang soleh.

0 comments: