Home » » Dr Hassan lasak teroka khasiat gamat

Dr Hassan lasak teroka khasiat gamat

Written By kall on Monday, 17 March 2008 | 12:04


Pengasas Healwell Pharmaceuticals pelajari bidang farmakologi hasil produk kesihatan

HASIL penyelidikan dan pembangunan (R&D) institusi pengajian tinggi sering menerima kritikan kerana jarang dikomersialkan.

Namun, hakikatnya bukan semua hasil R&D itu terbiar begitu saja. Antara yang berjaya ialah yang berkaitan produk gamat.


Usaha Prof Datuk Dr Hassan Yaacob, pengasas Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd mengkomersialkan hasil R&D daripada hidupan laut itu adalah antara contoh terbaik.

Bekas pensyarah Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang pernah gagal dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (kini Sijil Pelajaran Malaysia) ketika kali pertama mendudukinya, berjaya membuka lembaran baru pengeluaran produk gamat secara saintifik dan menjana jualan berjuta ringgit.

Healwell Pharmaceuticals mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pelbagai produk formula berasaskan gamat keluarannya.

Antaranya Jelly Gamat, Gamat Plus, Pati Gamat Plus (Neutral), Pati Gamat Plus-Balckcurrent, Jel Gamat, Krim Gamat, Linimen Gamat, Gamarub, Gamalin Emulsion, dan Gamalin Plus-Orange.

Sasaran Hassan, anak kelahiran Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan ini adalah untuk mengembangkan rangkaian pengedaran produk keluaran Healwell Pharmaceuticals menerusi francais dan tempoh dua tahun dijadikannya sandaran untuk melaksanakan hasrat berkenaan.

Ketika ini, produk syarikat itu diedarkan menerusi pengedar bertauliah yang turut diberikan hak menggunakan jenama peruncitan utamanya, “House of Healin”.

Syarikat yang kini mempunyai 324 cawangan di seluruh negara dijangka meningkat kepada 400 menjelang akhir tahun ini.

Di luar negara, “House of Healin” boleh ditemui di beberapa negara di Asia Barat, seperti Dubai dan Arab Saudi serta di Brunei dan London.

Pembabitan Hassan yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Farmakologi dari Royal College of Surgeons of England, dalam pengeluaran ubatan dan makanan kesihatan berasaskan hidupan laut berjaya menukar tanggapan masyarakat terhadap industri perubatan tradisional.

Beliau mengambil masa lebih 10 tahun melakukan R&D terhadap gamat sebelum mengkomersialkan ekstrak hidupan laut itu secara besar-besaran.

R&D yang dilaksanakannya sejak 1990 adalah atas pembiayaan Skim Program Penyelidikan Mengikut Bidang Keutamaan (Irpa) dan ia diteruskan di Universiti of Kyushu dan Universiti of Toyamma Jepun antara 1995 hingga 1996.

“Pada awal pembabitan, kami hanya memiliki empat atau lima produk, tetapi kini bilangannya bertambah kepada lebih 40 yang dijual di dalam serta di luar negara,” kata Hassan.

Minatnya untuk meneroka keajaiban gamat dicetus secara kebetulan selepas neneknya sembuh dalam tempoh singkat selepas meminum air rebusan gamat selepas menjalani pembedahan.

Ia ditambah dengan nalurinya tinggi sejak kecil terhadap ubat-ubatan apabila beliau begitu kagum dengan keajaiban ubatan yang boleh menyembuhkan penyakit setiap kali dimakan.

“Walaupun agak lasak ketika kecil, tetapi saya boleh disifatkan sebagai ‘kambing hitam’ dalam keluarga kerana sering sakit, tidak kiralah selesema, demam atau apa saja penyakit dan saya juga mempunyai masalah kulit yang kronik.

“Apabila ditimpa penyakit, ibu akan beri ubat dan saya sering terfikir apakah yang menyebabkan saya sembuh setiap kali selepas mengambilnya,” kata Hassan, bekas pelajar Kolej Sultan Ismail yang cukup popular di Kelantan.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, bapanya yang bekerja sebagai ketua kerani pada zaman penjajahan British sentiasa memberikan penekanan terhadap pentingnya penguasaan bahasa Inggeris.

Ia menyebabkan beliau dan adik beradiknya berfikiran lebih terbuka dan menanam cita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Namun, pencapaian pendidikan peringkat menengah Hassan iaitu anak keenam daripada tujuh beradik yang tidak seberapa itu sebenarnya lebih disebabkan kenakalan dan sikapnya yang suka menghabiskan lebih banyak masa bermain daripada menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Pernah pada satu hari keluarganya terpaksa memanggil bomba untuk menurunkan beliau daripada pokok tinggi yang dipanjatnya semata-mata untuk melihat sarang burung.

Beliau juga pernah jatuh dari bumbung rumah serta lemas dua kali ketika mandi di sungai dan kejadian itu tidak pernah diceritakan kepada ibu takut dibelasah lebih teruk.

Namun, pengalaman lemas itu tidak membuatkan beliau fobia dengan air, sebaliknya beliau adalah penyelam bertauliah dan sering meluangkan masa untuk menyelam di dasar laut setiap kali bercuti.

Beliau gagal dalam MCE kerana tidak lulus Bahasa Malaysia dan mengulangi peperiksaan berkenaan sebelum menyambung pelajaran dalam bidang sains untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (ketika itu Higher School Certificate of Education).

Tamat tingkatan enam, beliau bekerja di syarikat American International Assurance Bhd selama tiga tahun sebagai Pelatih Pengurusan dan diberikan tanggungjawab sebagai penilai risiko perubatan dan tugas itu memberikannya pengalaman berguna berkaitan pengurusan dan pentadbiran.

Pekerjaan itu bagaimanapun tidak memberi kepuasan kepada beliau kerana hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di luar negara masih membuak-buak.

Dalam pada sibuk bekerja, beliau memohon pinjaman Mara untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang farmakologi.

Tamat belajar, beliau bertugas sebagai pembantu pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM).

Di universiti itu beliau dapat memakbulkan hasratnya untuk ke luar negara apabila mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran dalam bidang farmakologi dan terapeutik di Universiti of London pada 1983.

Beliau meneruskan pengajian hingga pada peringkat falsafah di Royal College of Surgeons of England.

Kembali ke tanah air pada 1989, beliau meneruskan karier sebagai tenaga pengajar di UM.

Pada 1995 beliau bekerjasama dengan ahli akademik Jepun untuk meneruskan kajian mengenai rahsia gamat.

Kerjasama dengan ahli akademik Jepun itu memberi anjakan paradigma dalam hasil kajiannya selama ini apabila mengesan kandungan asid amino dalam hidupan itu yang merangsang pembentukan sel baru dalam badan.

Penemuan itu turut menjawab persoalan bagaimana luka boleh sembuh, selain penemuan mengenai melambatkan proses penuaan sel dalam badan jika kandungan gamat diambil dalam dos tertentu.

Penemuan pada 1995 itu juga membuka langkahnya untuk menghasilkan produk komersial berasaskan gamat asli.

Pada 1999 beliau berhenti sebagai pensyarah dan penyelidik di UM.

Dengan modal RM50,000 beliau membuka makmal sendiri menerusi syarikat yang dikenali sebagai Hexagon Asia Sdn Bhd dengan lima produk dihasilkan untuk tujuan komersial.

Jenama “Healin” diperkenalkan pada 1996 yang kekal hingga ke hari ini.

Hassan berkata, Healwell Pharmaceuticals akan berpindah ke kilang barunya di Shah Alam tidak lama lagi membabitkan perbelanjaan RM13 juta.

FAKTA: Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd

  • Labur RM13 juta berpindah ke kilang di Shah Alam tidak lama lagi

  • Jenama Healin untuk produk makanan tambahan

  • Jenama AG200 untuk produk penjagaan kulit

  • 40 jenis produk di pasaran

  • Modal RM50,000 buka makmal hasilkan lima prod
  • 1 comments:

    Celular said...

    Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Celular, I hope you enjoy. The address is http://telefone-celular-brasil.blogspot.com. A hug.