Home » » Doa ibu, restu suami kunci kejayaan

Doa ibu, restu suami kunci kejayaan

Written By kall on Friday 1 February 2008 | 10:13


BIARPUN perniagaannya cuma berskala kecil, itu bukannya kayu pengukur kepada kejayaan bagi wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Prinsipnya, selagi bernafas, apa yang dimulakan dengan tulang empat kerat tidak sekali-kali akan disia-siakan.

Malah rutin harian menjaga suami yang tidak sihat serta memastikan perniagaan yang kini menjadi periuk nasi mereka berdua tidak pernah melemahkan semangat Zaiton Alias, sekali gus menyimpan impian untuk membina jenama sendiri suatu hari kelak.

Melihat kecekalan dan ketabahan pemilik Zaiton Alias Collection (ID-Perempuan), wartawan utusan ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, MOHD. ZULASHRAFE ABDUL GHANI menemuramah wanita gagah ini berkongsi rahsia kejayaan beliau menguruskan butik bergerak busana Muslimnya.

MEGA: Bagaimanakah permulaan penglibatan puan dalam dunia perniagaan?

ZAITON: Menceburi bidang perniagaan busana Muslim dan aneka tudung sebenarnya bukanlah sesuatu yang dirancang. Kira-kira lapan tahun lalu, saya pernah mengendalikan perniagaan barang kemas, itupun secara kecil-kecilan.

Lima tahun kebelakangan ini itupun selepas memakai tudung, ramai kawan-kawan terutamanya yang sama-sama mengikuti kelas-kelas agama tertarik dan meminta saya membelikan tudung untuk mereka.

Bermula dari situlah saya membawa dua tiga helai tudung untuk ditunjukkan dan lama kelamaan, mula pula menjual busana Muslim yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Pada awalnya sekadar membantu mempermudahkan teman-teman tetapi apabila suami jatuh sakit, saya mula serius kerana ia menjadi punca pendapatan.

Alhamdulillah, kini saya sampai tidak menang tangan kerana memenuhi undangan bengkel teknik pemakaian tudung, pertunjukkan fesyen serta membawa koleksi busana Muslim ke kelas-kelas pengajian agama seperti di Damansara Height, Bangsar dan Subang Jaya.

Kita lihat penglibatan orang Melayu dalam bisnes busana Muslim bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Apakah rahsia Zaiton Alias Collection dapat terus bertahan?

ZAITON: Saya memang bersyukur walaupun dengan modal RM100 alhamdulillah apa yang diusahakan terus mendapat sambutan. Saya juga dikira bernasib baik dan bertuah kerana mempunyai pelanggan daripada golongan sederhana dan berada, jadi tidak menghadapi masalah dari segi bayaran.

Sebenarnya, dalam berniaga kita janganlah terlalu berorientasikan keuntungan sehingga tidak ada perasaan bertolak ansur. Bagi saya pelanggan adalah betul, sebab itulah saya sentiasa bersikap terbuka dengan mereka, waima barang yang dibeli hendak ditukar kepada pilihan lain.

Di samping itu, pendekatan yang bijak digunakan dengan pelanggan, komunikasi berkesan, sentiasa memberikan senyuman adalah perlu bagi seseorang peniaga itu. Kemahiran ini semua adalah penting dalam membina hubungan baik kita dengan pelanggan.

Sebagai seorang Muslim, seharusnya dalam berniaga kita perlu mengambil contoh keperibadian baginda Rasulullah s.a.w. dalam melakukan urus niaga. Walaupun begitu, kita boleh juga mengambil individu tertentu sebagai pemangkin semangat. Apa yang menjadikan saya berkeyakinan menjadikan perniagaan ini sebagai punca pendapatan utama atau serius menceburinya ialah melihat penglibatan adik lelaki, Zainalazlin dalam bidang perniagaan.

Beliau bermula dari bawah dan hasil daripada perniagaan itulah dia menyara keluarganya malah beliau semakin berjaya. Dari situ, saya mendapat kekuatan dan dorongan serta bukti nyata terhadap bidang perniagaan.

Malah saya selalu mengingatkan diri bahawa setiap hasil yang diperoleh mestilah dizakatkan sekiranya cukup haul, tidak lupa bersedekah kerana setiap anjuran Islam itu ada hikmah dan ganjaran daripada Allah yang tidak nampak oleh mata kasar manusia.

Bagaimana pula dari segi cabarannya. Adakah berniaga barangan keperluan asas itu kurang risiko yang terpaksa ditanggung?

ZAITON: Sebut sahaja berniaga mesti ada risikonya. Walaupun saya berniaga barangan yang dipakai setiap hari, ini tidak bermakna saya tidak menghadapi risiko. Ini kerana tanpa ilmu berniaga, apa yang diusahakan pasti menemui kegagalan, waima kita menjual makanan sekalipun.

Hakikatnya, cabaran itu perlu kerana dengannya kita akan berusaha lebih gigih, lebih kreatif dan sentiasa merapatkan diri dengan Allah.

Biar cabaran mendatang, saya berusaha mengatasi dan menghadapinya sebaik mungkin. Ini kerana saya berkeyakinan penuh bahawa pemakaian tudung dan perkembangan fesyen busana Muslim bukannya sesuatu yang statik, ia sentiasa berkembang dan semakin diterima ramai sama ada di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Senario ini bagi saya, secara tidak langsung menunjukkan tanda-tanda positif. Namun, kita perlu sentiasa berada di hadapan bukan sekadar mengikut perkembangannya, jika ingin terus bertahan dan mantap.

Saya juga merasakan kejayaan saya ini bukan semata-mata kerana kerja keras selama ini tetapi berkat doa ibu tersayang, Hasnah Nik Ismail dan restu suami tercinta, Mikail Iskandar Abdullah serta selalu bersolat malam itu jugalah yang telah membawa kejayaan kepada Zaiton Alias Collection.

Apakah perancangan seterusnya anda dalam bidang perniagaan ini?

ZAITON: Hajat di hati tu ingin juga membuka kedai sebagai bilik pameran suatu hari nanti. Ini secara tidak langsung dapat mencari pelanggan-pelanggan luar atau baru selain mengharapkan pelanggan tetap. Hasrat ini tidaklah terlalu mendesak, memandangkan saya sendiri yang menguruskan suami. Jadi, dengan beroperasi dari rumah, ia lebih memudahkan.

Kemudian itu, kalau dimurahkan rezeki teringin juga hendak memiliki jenama pakaian menggunakan nama sendiri. Buat masa ini, koleksi busana yang ada banyak saya ambil dan cari sendiri sama ada dari Dubai, India, Pakistan, China, Indonesia, Shanghai, Thailand dan banyak lagi.

Apakah saranan anda kepada kaum wanita khasnya, sekiranya mereka ingin menceburi bidang perniagaan?

ZAITON: Seseorang itu tidak boleh sentiasa dihantui perasaan takut atau bimbang berhadapan dengan pelbagai dugaan jika hendak berniaga. Kita perlu lihat pasaran, lihat kemampuan dan jangan berundur sebelum mencuba sedaya upaya.

Seseorang peniaga Islam juga mestilah sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia. Ini kerana kedua-dua itu banyak mempengaruhi kejayaan seseorang usahawan itu. Selain itu, keuntungan yang diperoleh juga mestilah sentiasa beringat dan jangan lupa diri kerana semua itu adalah ujian-Nya.

Dalam berniaga, kita juga kena melihat kecenderungan dan kelebihan kita pada bidang apa. Macam saya, minat kepada dunia fesyen telah wujud sebelum memulakan bisnes ini lagi, jadi dengan adanya minat, walau kesukaran melanda kita tahu mengatasinya dan sentiasa diberikan ilham untuk terus bertahan.