Home » » Mahanom wanita besi Emartech

Mahanom wanita besi Emartech

Written By kall on Friday, 28 December 2007 | 11:05


(DARI kiri) Mahanom Mohammad, Razmy Razak dan Razim Razak rancak membincangkan projek-projek syarikat Emartech Resources Sdn. Bhd. di Taman Melawati, Kuala Lumpur.






RAMAI beranggapan menjalankan bisnes dengan ahli keluarga sukar untuk berjaya, apatah lagi dalam menentukan hala tuju perniagaan. Namun kejayaan syarikat Emartech Resources Sdn. Bhd. yang diterajui Mahanom Mohammad dan suaminya, Razmy Razak serta adik lelaki, Razim Razak menyangkal sama sekali tanggapan tersebut.

Malah akui Mahanom, 39, selaku Pengarah Perhubungan Korporat Emartech, selagi kita tidak mencampuradukkan urusan keluarga dengan bisnes, mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing, ia adalah resipi kejayaan mereka membangunkan perniagaan.

Ikuti temuramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ABD. RAHMAN SALEH bersama Mahanom di pejabat beliau yang terletak di No. 16, Jalan E1, Fasa 4, Taman Melawati, Kuala Lumpur berkongsi rahsia kejayaan mereka.

MEGA: Bagaimanakah perniagaan puan bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan ini?

MAHANOM: Sebenarnya, Emartech Resources Sdn. Bhd. dimulakan oleh suami saya, Razmy Razak yang juga merupakan Pengarah Urusan syarikat dengan fokus utama dalam bidang penyelenggaraan sistem hawa dingin. Komitmen syarikat membuahkan kepercayaan kepada pelanggan-pelanggan untuk terus melakukan pelbagai kerja pembaikan dan penyelengaraan sistem M & E bangunan milik mereka.

Dua tahun lalu, kami bercadang memulakan fasa baru dalam perniagaan ini dengan melakukan kerja-kerja kecil pembinaan dan naik taraf bangunan. Alhamdulillah, kami berjaya menyiapkan pelbagai projek yang diberikan oleh agensi kerajaan serta swasta.

Baru-baru ini, Emartech dilantik sebagai Pusat Latihan Bertauliah oleh Jabatan Alam Sekitar untuk sektor perkhidmatan penyejukan (Refrigeration Service Sector).

Kini, Emartech dikenali sebagai kontraktor untuk kerja-kerja sivil, mekanikal dan elektrikal.

Mengapa perniagaan ini yang dipilih?

MAHANOM: Secara kebetulan, setelah tamat belajar pada awal tahun 1990-an, saya dan suami bekerja dengan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri pembinaan. Selain sayangkan pengalaman yang telah ditimba, Emartech juga ingin memecahkan penguasaan bangsa lain dalam bidang ini.

Lantaran itu, dengan bergiat aktif, kami berharap dapat memulihkan tanggapan negatif banyak pihak mengenai kemampuan Kontraktor Kelas F, sekali gus bersama memajukan serta memartabatkan lagi industri pembinaan di negara ini.

Pendapat saya, apa jua bentuk perniagaan yang dipilih, kita mestilah fokus, berani dan komited untuk berjaya.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?

MAHANOM: Setiap projek yang kita dapat perlu dipikul sebagai satu amanah. Oleh itu, strategi yang dilakar perlulah kepada usaha untuk mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t..

Di samping itu, pemasaran akan diadakan dengan lebih proaktif. Mana-mana pihak yang berminat mendapatkan khidmat kerja Emartech, bolehlah menghubungi kami di talian 03-4107 2101.

Kita juga akan meningkatkan amalan kerja yang baik di tapak bagi memastikan hasil kerja lebih berkualiti. Kami juga akan memberi lebih tumpuan kepada penelitian kos binaan untuk menggelakkan pembaziran dan memaksimumkan margin keuntungan.

Selain itu, nilai kerja berpasukan akan terus dimantapkan selain memelihara hubungan dua hala yang baik dengan pelanggan, konsultan, pembekal, institusi kewangan dan pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dengan syarikat ini, bagi memastikan sokongan mereka kepada kami akan berterusan.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?

MAHANOM: Dalam sektor pembinaan, definasi kualiti adalah ukuran kejayaan sesuatu projek. Antara cabaran utama adalah memuaskan hati pengguna dengan memberi perkhidmatan yang berkualiti. Jadi sedaya upaya kita akan cuba memenuhi kehendak pelanggan.

Kenaikan harga bahan binaan yang tidak menentu sejak kebelakangan ini juga satu cabaran. Oleh itu, kami perlu lebih bijak dalam merancang progres kerja dan lebih cermat supaya tidak terbeban dengan kos.

Mendapatkan modal bagi memulakan projek juga satu cabaran. Alhamdulillah, Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) sentiasa menyokong kami dengan memberi kemudahan pinjaman bagi setiap kontrak.

Ini dapat memastikan kerja pembinaan berjalan lancar mengikut masa yang ditetapkan.

Cabaran lain adalah apabila industri ini mengalami kemelut ekonomi sehingga persaingan menjadi amat sengit. Untuk bersaing dengan baik, kita perlu sentiasa peka kepada perubahan teknologi dan berusaha mempertingkatkan kemahiran.

Kepuasan bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

MAHANOM: Adalah menjadi cita-cita setiap orang Islam untuk mencapai keredaan Allah s.w.t. dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

Sebagai usahawan dalam pembinaan, kita berpeluang mengejar pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t. dengan mengamalkan adab yang baik dalam menjalankan aktiviti perniagaan seperti memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Adalah satu kepuasan apabila dapat memberi pelanggan kegembiraan setelah projek siap lebih-lebih lagi apabila projek tersebut dapat memberi manfaat dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan puan berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

MAHANOM: Perniagaan adalah salah satu sumber rezeki yang diredai Allah. Agama Islam memang menggalakkan umatnya berniaga hingga terdapat beberapa petikan hadis yang membawa maksud sedemikian.

Bidang perniagaan juga diperakui dapat mengukuhkan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara. Berniaga juga adalah pekerjaan yang terbaik selepas pembuatan atau pengeluaran produk hasil dari tangan atau titik peluh kita sendiri.

Bidang ini sendiri pernah diceburi oleh Rasulullah malah isteri baginda, Siti Khadijah juga adalah seorang peniaga dan beberapa sahabat besar juga adalah usahawan yang berjaya.

Bagi saya, rezeki tidak boleh dinilai dalam bentuk wang ringgit sahaja. Melalui perniagaan, kita juga memperoleh rezeki untuk memperluaskan aktiviti syariat untuk ganjaran pahala yang lebih.

Dalam konteks perniagaan seperti Emartech, kami diberi rezeki untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat melalui kerja-kerja pembinaan atau penyelenggaraan.

Kami juga memperoleh rezeki menimba pengalaman mengurus syarikat, pengurusan kewangan, operasi, logistik dan lain-lain.

Selain itu, melatih diri menjadi lebih sabar apabila menghadapi kerenah pelanggan atau berhadapan dengan kemelut ekonomi juga boleh dilihat satu dari sumber rezeki.

Kegembiraan kerana dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kita juga adalah satu sumber rezeki yang patut kita syukuri.

Ramai yang berpendapat bahawa rezeki hanya dinilai dari wang ringgit, tetapi sebenarnya jika kita lihat konteks rezeki itu daripada pelbagai sudut seperti yang saya sebutkan, kita akan faham kenapa agama Islam menyarankan kita berniaga.

Alhamdulillah dengan kejayaan yang dicapai, bagaimana pula sumbangan puan kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling?

MAHANOM: Saya memang percaya kepada konsep, ‘memberi setelah menerima’. Melalui perniagaan kita berpeluang untuk berbakti kepada masyarakat dengan melakukan kerja amal kebajikan di sekeliling untuk mendapat keredaan Allah s.w.t..

Apabila kita melihat perniagaan sebagai satu ibadat, keuntungan adalah sebagai sumber pendapatan dan sifat bantu-membantu sebagai satu fardu kifayah, maka Insya-Allah, perniagaan kita akan diredai dan memberikan pulangan yang besar di dunia dan di akhirat.

Sentiasa meletakkan matlamat untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.. Setiap kejayaan perlu disyukuri. Dengan berbakti dan menyumbang ke jalan Allah, secara tidak langsung dapat menginsafkan diri kita betapa beruntung kita.

Sikap membantu ini juga dapat mewujudkan satu hubungan silaturahim antara kami dengan mereka di sekeliling dalam membentuk masyarakat yang penuh dengan kasih sayang.

Bila kita berkongsi kejayaan untuk mendapat keredaan, ia dapat membersihkan hati daripada perasan tamak haloba iaitu mengaut keuntungan bagi diri kita sahaja.

Apabila kita berada di atas, sentiasalah ingat keadaan kita semasa di bawah.