Home » » Zakariah bangkit selepas muflis

Zakariah bangkit selepas muflis

Written By kall on Monday 17 December 2007 | 20:30






Kegagalan dalam perniagaan hartanah jadi ilmu bernilai latih ramai usahawan berjaya GAGAL sekali bukan bererti gagal selama-lamanya. Begitu juga setiap musibah yang dialami seseorang, lazimnya ada hikmah di sebaliknya.
Atas alasan itu, Zakariah Hassan, 49, yang pernah muflis ketika negara mengalami krisis ekonomi pada 1997, gigih membina semula kejayaan dalam dunia perniagaan. Pengerusi Eksekutif Akademi Frontline Sdn Bhd ini yang pernah mengecapi kehidupan sebagai seorang jutawan pada usia 33 tahun, tidak lagi mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan, sebaliknya menjadikannya sebagai iktibar untuk terus berjaya di masa depan. Anak kelahiran Klang, Selangor ini kini giat menganjurkan program mentor jutawan bagi melahirkan lebih ramai usahawan Melayu yang berjaya.




Menerusi Akademi Frontline yang ditubuhkan pada 2003, Zakariah memberi motivasi, latihan, bimbingan dan membuka peluang kepada orang Melayu untuk menyertai bidang perniagaan. Pengalaman kerugian berjuta ringgit susulan perniagaan hartanah yang diusahakannya merudum dan kehilangan harta benda akibat kemelesetan ekonomi sentiasa mengingatkan beliau bahawa untuk berjaya seseorang itu tidak boleh leka dan perlu sentiasa beringat. “Selepas bisnes hartanah merudum ketika itu, saya rasa teruk sangat. Tidur malam pun tak lena, duduk dalam bilik berhawa dingin pun boleh berpeluh. “Saya berfikir tiada siapa boleh membantu, kecuali Allah dan saya banyak berdoa kepadaNya. Saya lihat ramai orang yang berjaya pernah jatuh dan dan saya jadikan pengalaman mereka dan apa yang saya lalui dengan mengajar orang lain supaya berjaya,” katanya.







Menjadikan pengarang buku yang juga penceramah motivasi terkenal seperti Anthony Robin dan Steven Covey sebagai ‘role model’, Zakariah menghadiri kursus penceramah profesional bertauliah (CPT). Pada masa sama, beliau turut banyak membaca dan membuat kajian serta menghadiri pelbagai program motivasi dan seminar memanfaat pengalaman orang lain untuk dikongsi bersama. Daripada pengalaman menyertai pelbagai seminar, Zakariah berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta bersedia memberi tunjuk ajar kepada bakal usahawan yang mahu berjaya dalam dunia perniagaan menerusi program keusahawanan anjuran Akademi Frontline. Meskipun tidak lagi terbabit dalam industri hartanah, program keusahawanan yang dikendalikannya mewujudkan peluang perniagaan baru kepada Zakariah, di samping memberi peluang kepada lebih ramai Melayu untuk menyertai dunia perniagaan. Keunikan program anjuran Akademi Frontline, ia bukan saja memberi motivasi kepada peserta tetapi juga pakej perniagaan menerusi skim sewa beli dalam bidang perniagaan pelbagai peringkat (MLM), pinjaman dan latihan pemasaran menerusi seminar dan mentor-mantee. “Ia adalah satu program yang lengkap. Ia juga dikenali sebagai program mentor usahawan yang mana kami melatih peserta hingga berjaya. “Dalam berniaga kita tidak mudah gagal jika berusaha bersungguh-sungguh. Program ini juga dikenali sebagai program mentor usahawan yang mana mentor akan menjaga mantee,” katanya yang juga terbabit dalam bidang MLM. Jelas Zakariah, bidang perniagaan yang diceburi sekarang bukan saja membolehkannya menyelesaikan hutang yang ditanggung, malah mampu menjadikan hidupnya kembali mewah. Bukan setakat itu saja, beliau juga telah mewujudkan rangkaian usahawan yang berjaya di bawahnya. “Untuk berjaya, kita juga perlu melahirkan lebih ramai orang yang berjaya di bawah kita,” katanya. Zakariah bersyukur kerana dengan usaha yang gigih, beliau mampu membeli semula rumah yang dilelong, serta membina rumah untuk ibunya di kampung. Baginya, rezeki tidak datang bergolek tanpa ada usaha dan matlamat. Dalam hal ini, beliau mengamalkan tujuh langkah atau formula bagi memastikan matlamat untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan dicapai. Katanya, tujuh langkah itu ialah menetapkan matlamat dengan jelas, menyediakan pelan tindakan, mengambil tindakan konsisten, menjadikan kegagalan sebagai maklum balas, mencipta kuasa percaya dalam diri, nilai kehidupan sebagai kuasa penggerak dan tawakal sebagai kunci ketenangan hidup. “Tujuh langkah ini bukan saja boleh diguna pakai untuk berniaga tetapi juga boleh memberi motivasi kepada diri sendiri. Malah, ada juga ibu bapa yang memasukkan anak mereka dalam program ini bagi meningkatkan motivasi anak mereka. “Ia boleh dijadikan sebagai inspirasi dan juga diguna pakai oleh mereka yang berjaya,” katanya sambil menambah bahawa setiap usaha itu adalah tangga kejayaan. Beliau menyifatkan mereka yang gagal adalah disebabkan malas. Ketika ini, katanya Akademi Frontline telah melahirkan kira-kira 10,000 usahawan yang berjaya. “Akademi Frontline bukan hanya melatih peserta untuk menjual produk, tetapi juga mengajar mengenai teknik pemasaran yang berkesan. “Dalam bisnes, jika kita tiada teknik menjual, jangan bermimpi untuk berjaya,” katanya. Untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang sekali pun, seseorang itu mestilah yakin dengan kelebihan diri sendiri. INFO: Zakariah Hassan
Pernah menjadi jutawan pada usia 33 tahun
Beliau juga pernah muflis ketika negara mengalami krisis ekonomi pada 1997
Pengalaman kerugian berjuta ringgit susulan perniagaan hartanah yang diusahakannya merudum dan kehilangan harta benda akibat kemelesetan ekonomi
Menubuhkan Akademi Frontline pada 2003
Ia memberi motivasi, latihan, bimbingan dan membuka peluang kepada orang Melayu untuk menyertai bidang perniagaan
Keunikan Akademi Frontline ialah ia bukan saja memberi motivasi kepada peserta tetapi juga pakej perniagaan, pinjaman dan latihan pemasaran
Ia adalah satu program yang lengkap dan turut dikenali sebagai program mentor usahawan
Setakat ini, program ini melahirkan kira-kira 10,000 usahawan yang berjaya
Amalkan tujuh langkah atau formula bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan yang diceburi.