Home » » Mohd Azman 'saudagar' maya

Mohd Azman 'saudagar' maya

Written By kall on Monday 24 December 2007 | 13:53


Mavtrac jadi hab bekal bahan mentah projek pembinaan luar negara

SOGO Sosha merujuk kepada syarikat perdagangan am Jepun yang mengendalikan pengimportan serta pengeksportan barangan negara matahari terbit itu.

Di bawah konsep berkenaan, jika sesebuah firma Jepun mendapat kontrak pembinaan di luar negara, ia hanya perlu pergi kepada Sogo Sosha untuk mendapatkan pelbagai barangan atau perkhidmatan yang diperlukan.

Penubuhan Mavtrac Sdn Bhd, firma perdagangan maya yang menjadi pusat sehenti bagi kontraktor binaan mendapatkan bahan mentah penting bagi projek pembinaan adalah pembuka jalan kepada Malaysia untuk mewujudkan Sogo Sosha sendiri.

Itulah juga matlamat Ketua Eksekutifnya, Mohd Azman Sulaiman.

“Kita sudah ada Mitco (Malaysian International Trading Co) yang banyak terbabit dalam kontrak diperoleh Petronas di luar negara.




“Matlamat saya pula adalah untuk mewujudkan syarikat berasaskan model itu tetapi lebih mirip kepada syarikat perdagangan am Jepun, Sogo Sosha supaya apabila sebuah syarikat Malaysia mendapat kontrak di luar negara, mereka tidak perlu lagi mencari syarikat dari negara lain untuk mendapat bekalan sebaliknya mendapatkan sumber daripada syarikat Malaysia itu sendiri,” katanya.

Itulah kesungguhan dipamerkan anak kelahiran Parit, Perak yang bertanggungjawab mengemudi firma perdagangan maya yang mengkhusus dalam membekalkan bahan mentah untuk projek pembinaan, terutama yang dilaksanakan untuk menjayakan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Mohd Azman, 43, sedar tanggungjawabnya sebagai Ketua Eksekutif di Mavtrac, sebuah unit di bawah Kumpulan UEM bukan bermakna sekadar berkhidmat kepada syarikat itu.

“Mavtrac mempunyai banyak agenda dan bukan hanya melihat kepada aspek perniagaan.

“Kami ada tanggungjawab sosioekonomi iaitu membantu kontraktor kecil terutama Bumiputera mendapatkan bekalan tetapi tidak pernah meminggirkan bukan Bumiputera yang selalunya menjadi pembekal kerana Mavtrac tidak mengamalkan monopoli bahan binaan,” katanya.

Disebabkan itulah juga beliau sanggup menerima cabaran memikul tanggungjawab menerajui Mavtrac.

Beliau berkata, tanggungjawab yang diberikan itu bukan sekadar dilihat sebagai peluang meningkatkan kerjayanya di UEM yang disertai sejak 1993 tetapi sebagai peluang menyumbangkan bakti kepada negara.

“Penubuhan Mavtrac sebenarnya adalah untuk mengekalkan tradisi Malaysia yang sudah terkenal sebagai pusat perdagangan utama sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dulu.

“Tanggungjawab sebagai Ketua Eksekutif Mavtrac adalah untuk memastikan Malaysia dapat mengekalkan kegemilangan sebagai sebuah negara perdagangan terulung tanpa mengorbankan nilai kejujuran dalam menjalankan sesuatu perniagaan,” tegasnya.

Kegemilangan itu perlu diteruskan kerana menurut Mohd Azman lagi, sejak berabad lamanya, Malaysia telah mencipta tradisi dengan menjadi hab perdagangan dunia.

Sejak abad ke-15, Selat Melaka menjadi laluan utama kepada pedagang rempah, hinggalah awal abad ke-19 yang mana timah dan getah menjadi komoditi utama, Malaysia juga berkembang maju menjadi hab pertukaran kebudayaan dan peradaban antarabangsa.

Hari ini, sebagai pemangkin kepada pertumbuhan Asia Tenggara dan serantau, Malaysia telah menjadi hab perdagangan pelbagai produk dan perkhidmatan.

“Kejayaan untuk terus memelihara hubungan jangka panjang dan rangkaian dagangan yang luas menerusi penerapan nilai tradisi perdagangan akan dapat dikongsi bersama dengan adanya keinginan untuk terus memacu perkembangan yang berterusan,” kata Mohd Azman.

Kerajaan Malaysia, katanya, telah memacu untuk mewujudkan Mavtrac, syarikat perdagangan negara yang mengkhusus kepada bidang perdagangan dan pembekalan bahan binaan yang bertindak sebagai pusat perdagangan bagi bahan pembinaan dan pembangunan untuk industri tempatan.

Sebagai orang penting Mavtrac, Mohd Azman Sulaiman mempunyai rencananya yang tersendiri bagi mengembangkan syarikat diterajuinya.

PELANCARAN: Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendy Norwawi merasmikan Mavtrac diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Bhd Datuk Ahmad Pardas Senin (kiri); Pengerusi Kumpulan UEM, Tan Sri Tajuddin Ali (dua dari kanan) dan Mohd Azman pada 2 November lalu.



“Satu hari nanti, Mavtrac akan menjadi rakan dagangan virtual kepada syarikat di Malaysia yang berkembang merentasi sempadan perniagaan global,” katanya.

Perkataan ‘virtual’ dalam Mavtrac adalah bertujuan untuk menggambarkan satu entiti yang berintegrasi secara ‘virtual’ dalam komuniti perdagangan dan pembekalan yang menghubungkan pembekal dan kontraktor dengan mudah tanpa sebarang halangan.

Apa yang paling penting, katanya, Mavtrac akan memelihara hubungan jangka panjang yang dibina berasaskan keikhlasan, ketelusan dan keinginan yang kuat untuk mencapai kejayaan bersama-sama dengan rakan rangkaian pembekalan.

Mohd Azman memegang ijazah Sarjana Muda Sains daripada Universiti Malaya, Sarjana dalam Kejuruteraan Geoteknikal dari United Kingdom dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Australia.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 18 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan hartanah, minyak dan gas dan juga dalam sektor korporat.

Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik ke jawatan sekarang adalah Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan UEM.

Beliau juga menjadi teraju kepimpinan dalam merealisasikan model perniagaan VTC menerusi penubuhan Mavtrac.

(copypaste berita harian)

0 comments: