Home » » Jutawan Bermula Dengan RM1000

Jutawan Bermula Dengan RM1000

Written By kall on Friday, 14 December 2007 | 16:17


LOGAN ‘Melengkapi Keperluan Ibadah Muslim’ dan ‘Pasar Raya Produk Halal Pilihan Muslim’ sudah cukup meyakinkan pelanggan, terutamanya yang beragama Islam. Tambah pula ia beroperasi 24 jam, memberi kemudahan kepada pelanggan kota yang sentiasa sibuk.

Inilah antara kreativiti yang menjadi prinsip Pengarah Urusan Shamensi Clothing Sdn. Bhd., Hishamudin Mohamad, 37, dan salah satu rahsia beliau membina nama serta bertapak kukuh dalam dunia perniagaan.

Ikuti temuramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurugambar, HARUN OSMAN dengan usahawan muda yang berasal dari Klang, Selangor ini tentang perjuangannya membangunkan ekonomi umat Islam menerusi penubuhan Koperasi Pengedaran Produk Muslim (M) Berhad., baru-baru ini.

MEGA: Bagaimanakah saudara mula melibatkan diri dalam dunia perniagaan?

HISHAMUDIN: Sebenarnya penglibatan saya dalam dunia perniagaan berasaskan busana bermula pada 1992. Pada masa itu saya masih belajar dalam tahun dua jurusan Sains Komputer di Universiti Malaya.

Apabila kakak, Jamaliah terpaksa meninggalkan perniagaan kedai jahitannya yang mengambil tempahan jubah wanita, saya dapat melihat potensi besar di situ untuk berkembang maju.

Saya juga dapati, ruang pasaran untuk pakaian jubah wanita masih belum diteroka secara komersial oleh sesiapapun pada masa itu. Apatah lagi bila melihat sentuhannya dalam setiap rekaannya, praktikal dan menepati tuntutan syarak.

Maka dengan suntikan modal RM1,000 yang diperoleh daripada wang biasiswa, saya cuba berikan nafas baru kepada perniagaan asal iaitu secara tempahan dan telah dikomersialkan kepada pakaian jubah siap (ready made) dan digelar busana Muslim.

Apabila permintaan semakin meningkat, setahun kemudian saya telah membuka sebuah bengkel jahitan di Klang, Selangor dengan kekuatan lima tukang jahit serta memanggil semula kakak menguruskan bengkel tersebut.

Dari 1995 hingga 1997, Shamensi telah mempunyai 2,000 orang pengedar dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei yang memasarkan hampir 50,000 helai jubah setahun. Kami kemudian membuka sebuah kilang dengan 30 orang pekerja tanpa membuat sebarang pinjaman dari mana-mana institusi kewangan.

Pada 1997, syarikat memindahkan operasi utamanya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan menjadikan kedai di Taman Kosas sebagai cawangan. Ini kerana kedudukan Bandar Tun Razak lebih strategik.

Operasi kilang jahitan kemudiannya dipindahkan ke kilang yang dibina di atas sebidang tanah pemberian ibu di Cheras, Selangor. Pengeluarannya pula dipelbagaikan dengan menghasilkan pakaian sekolah, baju Melayu, tudung, telekung dan juga busana haji dan umrah.

Selain terlibat dalam perniagaan busana Muslim, saya juga menceburi bisnes peruncitan. Apabila ayah meninggal dunia pada 1998, perniagaan kedai runcitnya semakin merosot.

Pada 2000, saya telah memberi nafas baru seperti beroperasi 24 jam, menawarkan harga yang kompetitif dan mewujudkan pasar segar. Nilai tambah yang terdapat di Pasaraya Pak Aji ialah kita cuba mengetengahkan produk-produk halal Muslim.

Bagaimana saudara mendepani segala cabaran dan cara mengatasinya?

HISHAMUDIN: Ujian getir yang terpaksa dihadapi ialah sewaktu negara dilanda kegawatan ekonomi pada akhir 1997. Detik itu pada hakikatnya mencabar daya ketahanan Shamensi. Tambah mengeruhkan keadaan apabila berlaku lambakan produk-produk busana dari negara-negara luar. Pada masa itulah, syarikat kehilangan ramai pengedar mengakibatkan jualan syarikat jatuh merudum.

Namun, tanpa berputus asa dan usaha yang gigih, langkah awal yang kami ambil ialah dengan mengecilkan operasi untuk mengurangkan perbelanjaan serta mengeluarkan produk pakaian secara minimum.

Seterusnya, Shamensi menukar strategi perniagaannya dengan tidak hanya tertumpu pada busana Muslim tetapi produk jualan dipelbagaikan kepada bermacam-macam keperluan ibadah Muslim termasuk tudung, telekung, sejadah, buku agama, kaset, cakera padat (CD)/ video cakera padat (VCD), keperluan ibadah haji dan umrah. Ia secara tidak langsung menjadi pusat sehenti atau one stop centre.

Alhamdulillah penukaran slogan Shamensi dari ‘Fesyen Busana Muslim’ kepada ‘Melengkapi Keperluan Ibadah Muslim’ telah berjaya memberi satu petunjuk baru dalam meneroka ruang pasaran.

Jualan bermusim seperti jualan ‘keperluan pakaian sekolah’ dan ‘jualan sempena hari raya’ turut memberi sumbangan besar kepada kemajuan syarikat kerana ia dikeluarkan menerusi kilang sendiri.

Kini, Shamensi mempunyai lima cawangan iaitu di Bandar Tun Razak, Taman Kosas, Bandar Tun Hussein Onn, Greentown Nova, Ipoh dan Greentown Mall, Ipoh.

Lumrah perniagaan yang diusahakan masyarakat Melayu Islam, perlakuan seperti, dengki, khianat, ilmu sihir masih dipraktikkan, sedangkan Islam melarang perbuatan sebegini. Bagaimana saudara melihat perkara ini?

HISHAMUDIN: Dalam perniagaan mesti kena ada persaingan malah saya sendiri suka kepada persaingan, tetapi biarlah ia secara sihat bukannya dengan menggunakan cara-cara yang tidak baik dan tidak menurut landasan Islam.

Persaingan itu perlu kerana dari situlah akan wujudnya kreativiti, inovatif dan dinamik malah persaingan itu merangsang pasaran.

Selama terlibat dalam bidang perniagaan, saya banyak diuji dengan perkara-perkara sebegitu. Namun bagi saya, itu semuanya sangkaan-sangkaan sahaja. Saya percaya jatuh bangunnya sesebuah perniagaan itu terletak kepada kreativiti seseorang usahawan itu dalam menguruskan pelbagai aspek dalam bisnes yang diusahakan.

Sebaik-baiknya, janganlah ada mentaliti menuding jari ke arah orang lain atas kegagalan kita itu. Ini merupakan satu helah untuk lari daripada mengakui kelemahan diri.

Kalau melihat kepada perkembangan pasaran busana Muslim masa kini, rekaan yang ditonjolkan oleh negara-negara jiran lebih berani sehinggakan tidak begitu praktikal dan memerlukan belanja yang agak besar untuk memilikinya. Apa pandangan saudara dalam hal ini?

HISHAMUDIN: Konsep di Shamensi ialah fesyen pakaian yang praktikal dan menepati syarak. Jika kita lihat perkembangan busana Muslim sekarang ini, aspek-aspek berkaitan tuntutan agama, amat kurang diambil perhatian seperti menggunakan jenis tekstil yang jarang atau mengikut potongan badan.

Ini kerana, ia telah dieksploitasi oleh para pereka yang bukan Islam. Lantaran itu, Shamensi rasa terpanggil untuk memberi alternatif busana Muslim kepada penggemar jubah terutamanya umat Islam.

Di samping itu, kami juga bukan sahaja menjual busana Muslim tetapi mendidik masyarakat dengan cara mengetengahkan busana Muslim yang mengikut syariat.

Pun begitu, saya tidaklah menolak perlunya adanya kepelbagaian rekaan yang cantik dilihat tapi kurang praktikal dipakai kerana dari aspek ini juga menimbulkan satu pandangan bahawa busana Muslim juga ada cita rasa tersendiri. Secara tidak langsung, mereka lebih berkeyakinan dan mulai meminati busana Muslim.

Oleh itu, kami juga dalam perancangan untuk memperkenalkan pakaian-pakaian yang eksklusif kepada para pelanggan. Ini adalah satu cara untuk bersaing dengan pereka-pereka lain.

Apakah perancangan akan datang saudara dalam bidang perniagaan?

HISHAMUDIN: Sekarang ini, saya sedang dalam usaha untuk membangunkan sistem francais di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan kalau tidak ada apa-apa masalah, ia akan dimulakan pada awal 2008.

Mengapa saya bangunkan sistem ini? Pertama, kerana permintaan yang menggalakkan dan kedua, kerana sistem perniagaan yang sedia ada boleh diaplikasikan. Apa lagi, sistem francais telah terbukti berjaya.

Selain itu, kami juga sedang membangunkan laman web yang akan mula beroperasi pada Januari 2008. Pelanggan hanya perlu melayari www.shamensi.com.my dan mereka boleh membuat pelbagai urusan seperti tempahan menerusi e-katalog.

Kami juga sedang mencari ejen-ejen jualan yang sebelum ini pernah diwujudkan. Uniknya mereka menggunakan e-katalog. Bagi mereka yang berminat sama ada untuk melakukannya sepenuh masa atau secara sambilan, bolehlah menghubungi talian 03-9171 6634.

Menerusi laman web ini juga, akan diadakan forum busana Muslim di mana ia dijadikan satu platform untuk mengumpulkan pereka-pereka fesyen yang terlibat dalam industri busana Muslim sama ada tempatan dan luar negara mengetengahkan rekaan masing-masing.

Pihak kami juga mendapat respons positif daripada pelanggan pasar raya, lantaran itu kami sedang dalam proses akhir untuk mengaplikasikannya.

Tujuh tahun dalam urusniaga pasar raya 24 jam, saya dapati ada satu peluang yang boleh digerakkan iaitu mengumpulkan pengilang dan pengeluar produk di bawah satu pengurusan. Oleh itu penubuhan Koperasi Pengedaran Produk Muslim (M) Berhad bertujuan mencapai hasrat ini.

Sebenarnya banyak yang akan diusahakan menerusi koperasi ini terutamanya dalam membantu usahawan produk Muslim dari segi pemasaran dan pengedaran. Malah insya-Allah akan diwujudkan pula mini hab halal di setiap rangkaian. Sekarang ini kita sedang giat mendidik pengguna untuk menyokong keluaran Muslim.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini.

HISHAMUDIN: Ini adalah satu fardu kifayah. Kita tidak mahu berlaku di mana orang Islam sendiri terpaksa mendapatkan kelengkapan ibadat daripada peniaga bukan Islam.

Kedua, dapat mengembangkan perniagaan selain dapat membantu memantapkan ekonomi keluarga, pekerja, ejen seterusnya ummah.

Manakala menerusi sistem francais pula, kita berharap ia boleh diaplikasikan demi kebaikan semua pihak.

Apakah pesanan saudara kepada mereka yang berminat dalam bidang perniagaan?

HISHAMUDIN: Kunci utama ialah kena ada kesabaran, tekun dan jangan mudah putus asa. Kerana ini faktor daya tahan dan daya juang kena seiring.

Di samping itu, hubungan dengan Allah juga perlu dijaga supaya kita memperoleh rezeki yang berkat. Tanggungjawab mengeluarkan zakat juga perlu dilaksanakan.

Berbalik semula kepada soal kreativiti mesti ada dalam setiap yang bergelar usahawan. Kalau kita buka perniagaan itu baru 20 peratus dan selebihnya terletak kepada faktor kreativiti, inovatif, dinamik, berdaya saing, berani berjuang dan banyak lagi. Barulah berhasil perniagaan tersebut.

Selain itu, saya yakin orang Islam akan membantu sesama Islam. Namun, dalam bisnes seseorang usahawan itu tidak boleh terlalu mengaitkan dari segi emosi. Ini kerana, aspek-aspek lain seperti kualiti, harga murah dan halal kena menjadi keutamaan juga dalam menarik pelanggan Muslim.

0 comments: