Home » » Rahmah bersemangat niaga sejak kecil

Rahmah bersemangat niaga sejak kecil

Written By kall on Monday, 3 December 2007 | 09:31


Pelaburan khidmat kad kesetiaan Real Rewards berbaloi hasil pengorbanan, usaha gigih lapan tahun

MINAT berniaga mula dipupuk sejak kecil apabila saban hari beliau melihat kegigihan dan ketekunan ibunya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual barangan runcit, selain menerima tempahan kraf tangan yang diperbuat daripada daun mengkuang dan pandan.

Bermula daripada pendedahan itu, beliau mulai mewarisi bakat ibunya menganyam mengkuang untuk dijadikan kraf tangan seperti tikar, tudung saji dan beg duit untuk dijual kepada penduduk Kampung Assam Jawa di Kuala Selangor.

Hari ini, Datin Rahmah Kassim, 51, menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya dengan menerajui Electronic Commerce Technology Sdn Bhd (ECT) yang mengendalikan kad kesetiaan Real Rewards - membabitkan 4.3 juta pemegang kad di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif ECT itu berkata, beliau juga seperti ahli perniagaan lain yang perlu berkorban dan berdepan pelbagai rintangan sebelum menikmati kejayaan pada hari ini.

Sebenarnya, kata beliau, perniagaan adalah bidang yang mencabar, memerlukan kesabaran dan perlu bijak mengatasi serta mencari langkah penyelesaian bagi setiap halangan ditempuhi.
SEMAK: Rahmah memastikan setiap data yang disimpan tidak silap.

“Bagi saya, tidak ada perkara atau masalah yang tidak dapat diselesaikan, yang penting kita perlu tenang dan seterusnya mencari jalan keluar. Kita juga perlu terus bersikap positif dan menganggap setiap masalah adalah satu peluang,” katanya ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.

Berkat minat yang mendalam dalam perniagaan, akhirnya mendorong Rahmah meninggalkan jawatan pegawai bahagian insurans di Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1997 selepas berkhidmat hampir 20 tahun.

“Selepas berhenti daripada BNM, saya mempunyai masa fleksibel dengan keluarga dan diri sendiri. Dari situ, saya mula terfikir untuk bekerja sendiri dan merealisasikan impian.

“Bila peluang ada, saya bersama sekumpulan rakan duduk berbincang untuk menjalankan program berasaskan kad kesetiaan pada 1999.

“Pada 2000, kami memeterai perjanjian dengan Telekom Malaysia, iaitu rakan niaga pertama bagi program kad kesetiaan ini. Dari sinilah perniagaan syarikat berkembang dan kini ia sudah enam tahun beroperasi,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu, turut dibantu suaminya, yang juga Pengerusi ECT, Datuk Shamsuddin Hayroni. Mereka juga terbabit dalam bidang pembinaan dengan memajukan projek hartanah di Bangi dan Salak Tinggi.

Rahmah berkata, minat yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat (IT) mendorongnya menubuhkan ECT yang mengendalikan kad kesetiaan Real Rewards menerusi pengaplikasian teknologi IT.

Katanya, walaupun RealRewards berkonsepkan kad kesetiaan, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengendalikannya, kerana perniagaan itu perlukan kemahiran dan kepakaran IT.

“Justeru, kepakaran untuk mengendalikan Real Rewards dibangunkan secara tempatan dan ternyata ia berkesan dan mampu disesuaikan mengikut keperluan serta kehendak pelanggan iaitu rakan niaga kami seperti kemudahan menebus ganjaran,” katanya.

Rahmah berkata, konsep kad kesetiaan bukan perkara baru kerana ia sudah lama diamalkan di luar negara dan kebanyakannya amat berjaya seperti kad kesetiaan Nectar dari United Kingdom .

Katanya, kunci kejayaan bagi kad kesetiaan adalah menerusi rangkaian rakan niaga yang stabil dan kukuh bagi membolehkan ahli mereka mendapat manfaat ganjaran bagi setiap pembelian.

“Justeru, saya perlu mengadakan promosi berterusan. Buat masa ini kami mempunyai tiga trak penebusan bergerak yang bergerak di seluruh negara mengikut jadual yang ditetapkan.

“Dengan cara ini kami dapat mendekatkan aktiviti penebusan dengan ahli yang tidak dapat ke pusat penebusan kami di Mid Valley, Kuala Lumpur,” katanya.

ECT kini terus mendapat sambutan apabila keahliannya mencecah lebih 4.3 juta pelanggan berbanding 2.4 juta sejak mula beroperasi pada pada 2000.

“Saya selalu berpesan kepada lebih 100 kakitangan untuk bergerak 10 kali lebih pantas daripada saya kerana perniagaan ini memerlukan kita supaya sentiasa kreatif dan bijak mengatur strategi," katanya.

Ditanya bagaimana syarikat mampu meraih keuntungan daripada perniagaan seumpama itu, Rahmah berkata rakan niaga akan dikenakan bayaran bagi perkhidmatan yang disediakan syarikat.

“Perniagaan ini banyak peluang. Kami akan sediakan pelbagai barangan untuk tebusan pelanggan yang dibeli secara pukal antaranya dari China, Singapura serta pembekal tempatan,” katanya.


ECT wujud kad remaja tahun depan

ELECTRONIC Commerce Technology Sdn Bhd (ECT), pengendali kad kesetiaan Real Rewards, mensasarkan pemegang kadnya meningkat kepada enam juta orang menjelang akhir tahun depan daripada 4.3 juta ketika ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datin Rahmah Kassim , berkata syarikat akan memperkenalkan beberapa program baru bagi menarik lebih ramai ahli baru serta meningkatkan manfaat bagi pemegang kad sedia ada.

Katanya, ECT juga merancang menambah lima lagi rakan niaga tahun depan, sebagai tambahan kepada lebih 50 rakan niaga sedia ada, antaranya Petronas, Carrefour, Ambank, Bank Islam dan hotel.

“Kami akan terus memberi fokus untuk meningkatkan rakan niaga, pada masa sama mengekal dan mengaktifkan pelanggan sedia ada menerusi pelancaran program baru tahun depan," katanya ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.

Rahmah berkata, sebagai menghargai pelanggan setianya, syarikat akan menawarkan kad pembayaran pasca bayar kepada 20,000 orang daripada keseluruhan ahli Real Rewards yang paling aktif menggunakan kad itu, bulan depan.

Ketika ini, katanya kira-kira 50 peratus daripada 4.3 juta ahli dikenal pasti amat aktif menggunakan kad termasuk menebus mata ganjaran dan mempunyai keupayaan daripada aspek kewangan.

“ECT akan bekerjasama dengan AmBank dan MasterCard bagi melancarkan kad pembayaran pasca bayar ini. Dengan kad ini, ahli boleh membeli-belah atau berbelanja di semua 50 rakan niaga kami dengan syarat mereka perlu menambah nilai dari RM30 hingga RM10,000.

“Penambahan nilai ini boleh dilakukan di semua cawangan AmBank dan stesen e-pay yang memaparkan logo NexG Top-Up,” katanya.

Sementara itu, Rahmah berkata ECT juga merancang untuk memperkenalkan satu lagi konsep kad pembayaran pasca bayar untuk remaja dengan keistimewaan khusus, awal tahun depan.

Katanya, usaha yang akan dibuat dengan kerjasama dengan Ambank, itu melihat kepada potensi pasaran yang besar, khususnya remaja yang dikenal pasti mampu merangsang pertumbuhan Real Rewards.

0 comments: