Home » » Rezeki ada di mana-mana

Rezeki ada di mana-mana

Written By kall on Friday, 7 December 2007 | 11:44





DALAM surah al-Jumu’ah ayat ke-10 Allah berfirman: Dan apabila selesai mengerjakan sembahyang, kamu boleh bertebaran di muka bumi dan carilah kurnia Allah yang memperlihatkan kepada kita bahawa sebagai umat Islam, mencari rezeki itu tidak boleh dipermudahkan, sama juga seperti menunaikan rukun Islam kedua iaitu sembahyang.

Merujuk kepada ayat di atas, nyata bahawa setiap manusia di muka bumi ini disaran supaya menggunakan masa sebaiknya untuk mencari rezeki dalam bidang masing-masing.

Oleh itu, soal perbezaan taraf hidup, kemiskinan dan sebagainya tidak boleh dipertikaikan oleh kita sebagai manusia yang bebas mencari rezeki dengan jalan yang halal.

Pelbagai pekerjaan boleh kita lakukan berdasarkan kemampuan kita. Pelbagai bidang boleh kita ceburi berlandaskan kelulusan yang kita miliki.

Bagi yang kurang bernasib baik dalam bidang akademik, mungkin mereka mempunyai kelebihan dalam bidang lain seperti kemahiran dan sebagainya.

Tidak mustahil juga mereka yang mempunyai kekuatan tenaga berjaya dalam hidup mereka asalkan ada keinginan untuk bekerja, gigih dan tidak memilih pekerjaan.

Yang menjadi masalahnya sekarang ialah kemiskinan atau kesusahan hidup itu berpunca daripada sikap kita sendiri. Ada yang mahu mencari keuntungan dengan cara yang mudah iaitu tanpa bekerja gigih. Ada yang sanggup menipu dan menindas orang lain. Malah tidak kurang juga yang asyik berpeluk tubuh sehingga peluang yang ada di depan mata direbut oleh orang lain.

Bagi negara yang penduduknya berbilang kaum seperti Malaysia, peluang mencari kesenangan hidup terbuka luas. Tidak kira apa kaum sekalipun, peluang mencari ilmu, meneroka bumi yang kaya dengan pelbagai hasil ini tidak terbatas asalkan apa yang diteroka itu merupakan milik mereka yang sah.

Ketidakseimbangan ekonomi dan taraf hidup antara kaum-kaum di mana-mana sahaja dapat dikesan daripada kelemahan sikap bangsa itu sendiri. Allah berfirman dalam al-Quran: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.

Malangnya, ada di kalangan kita yang sering menyalahkan kaum-kaum tertentu kerana lebih senang dalam kehidupan atau ekonomi mereka sedangkan kelemahan atau punca kekurangan itu terletak kepada kita sendiri. Rasa curiga terhadap kaum-kaum lain tidak digalakkan dalam Islam.

Jika kita asyik menyalahkan kaum-kaum lain yang lebih berjaya tanpa disertakan dengan usaha untuk cuba menyamai atau menandingi, sampai bila-bila pun kita akan ketinggalan. Lebih buruk lagi apabila ada rasa cemburu yang menguasai diri sehingga sanggup membelakangkan undang-undang.
Oleh: M. JASNI MAJED

0 comments: