Home » » Butik Chantique amalkan model al-Amin

Butik Chantique amalkan model al-Amin

Written By kall on Friday, 21 December 2007 | 09:41


DIAM-diam ubi berisi. Pepatah paling kena dengan pencapaiannya yang baru mencecah usia dua tahun. Kini memiliki tiga ruang pameran malah akan membuka tirai 2008 dengan pembukaan cawangan baru mereka di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Butik Chantique tidak sahaja menawarkan pembelian balik barangan kemas emas, berlian, batu permata, jam berjenama dan antik tetapi turut menjual serta menilai pada harga yang tertinggi dan menarik.

Ikuti temuramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, NASSIRUDDIN YAZID bersama Pengurus Besar, Cantik Jewellery Sdn. Bhd., Abdul Razak Abdul Kadir, 48, tentang rahsia kejayaan beliau mengukuhkan jenama Chantique.

Boleh saudara ceritakan bagaimanakah Cantik Jewellery Sdn. Bhd., bermula dan apakah urusniaga yang dijalankan?

ABDUL RAZAK: Cantik Jewellery Sdn. Bhd., dimiliki oleh Habib yang merupakan milik bumiputera sepenuhnya. Ditubuhkan pada 29 Disember 2005 dan diterajui oleh Pengerusinya, Datuk Habib Mohamd Abdul Latif. Manakala pengarah ialah Datuk Meer Sadik Habib Mohamed dan Datin Zarida Noordin.

Buat masa ini, Chantique mempunyai empat bilik pameran di sekitar Lembah Kelang iaitu di Lorong Mamanda 2, Ampang Point, Ampang, Selangor, di Ground Floor, Mydin Mall USJ, Persiaran Subang Permai USJ 1, Subang Jaya, Selangor, di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan akan dibuka di Perkarangan Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Aktiviti utama atau jenis perniagaan yang dijalankan oleh Butik Chantique ialah; Pertama, membeli semua jenis emas, berlian, batu permata, barangan kemas lama, jam berjenama dan antik dengan harga yang tinggi sama ada dengan wang tunai segera atau kepada barangan kemas baru.

Kedua, menjual semua jenis barang kemas emas, batu permata, jam berjenama, barangan kemas lama dan antik pada harga yang menarik.

Ketiga, kami juga pakar dalam menilai semua jenis barangan emas, berlian, batu permata, jam berjenama, barangan kemas lama dan antik.

Keempat, menerima tempahan untuk cenderahati korporat atau seumpamanya.

Di samping itu, kami juga menyediakan perkhidmatan ke rumah pelanggan.

Apakah pengalaman saudara sepanjang mengendalikan bisnes ini?

ABDUL RAZAK: Sebelum melibatkan diri dengan bisnes barang kemas, saya sebenarnya memiliki pengalaman selama 26 tahun dalam bidang perhotelan. Jadi, pada awalnya, sedikit sebanyak menerima kejutan, namun lama-kelamaan saya dapati prospek dan potensi bisnes ini adalah luas dan sangat baik. Apatah lagi, boleh dikatakan 70 hingga 80 peratus penggemar emas adalah orang Melayu kita.

Jadi di situ saya sudah nampak pasarannya untuk pergi jauh. Cuma kami ada strategi pemasaran yang unik dan kreatif bagaimana cara terbaik untuk pelanggan mendapat manfaat dan tidak lagi tertipu dengan skim pajak gadai yang majoritinya dimonopoli oleh bangsa asing.

Apa yang ditawarkan di mana-mana Butik Chantique adalah sesuatu yang telus dan menguntungkan kedua-dua belah pihak yang berurusniaga. Konsep pemasaran kami yang tidak tertumpu kepada penjualan barang kemas sahaja tetapi memberi peluang kepada mereka yang dalam keperluan mendesak dengan membelinya pada kadar jualan emas yang kami tawarkan iaitu setinggi 90 peratus daripada nilai emas semasa.

Seperti kita ketahui terdapat beberapa sebab mengapa orang terutamanya kaum wanita menggemari barangan kemas daripada emas, berlian atau batu pertama. Pertama untuk menghiasi diri dan kedua sebagai aset apabila berlaku kesempitan kewangan.

Kita di sini berusaha membantu pelanggan-pelanggan khasnya majoriti orang Melayu, iaitu sudah ada alternatif lain jika mereka memerlukan wang. Kalau sebelum ini, pajak-pajak gadai merupakan satu-satu jalan penyelesaian dalam mendepani masalah kewangan, tetapi mereka mengambil emas dengan kadar murah dan mengenakan sejumlah bayaran tertentu bagi mendapatkannya semula. Di situ, sudah dikira berlaku penipuan dan penindasan.

Berbeza di Chantique Jewellery, kami lebih menekankan urusniaga seperti yang dijalankan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. seorang yang terkenal dengan gelaran al-Amin (yang dipercayai).

Sementara itu, pembukaan Butik Chantique di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada September lalu pula menawarkan kaedah menjual barang kemas untuk simpanan haji kepada bakal-bakal haji. Mereka boleh melakukan urusan jual beli emas sebagai pelaburan untuk ke Mekah berbanding mengumpul simpanan wang yang mengambil masa lama.

Alhamdulillah, selepas empat bulan beroperasi telah nampak sambutannya yang begitu memberangsangkan. Boleh dikatakan 60 peratus diperoleh daripada pembelian.

Apakah cabaran yang saudara hadapi dalam bisnes ini?

ABDUL RAZAK: Senario yang jelas sekarang ialah anggaran 80 peratus pelanggan pajak gadai ialah orang Melayu meskipun terdapat beberapa alternatif lain yang menawarkan kaedah Islamik.

Justeru, untuk mengubah minda orang kita supaya menjual terus adalah lebih baik daripada alternatif pajak gadai, menjadi cabaran paling utama kami.

Ada segelintir itu, keberatan untuk menjual terus barang kemas mereka kerana ada nilai sentimental pada barang tersebut sebab itu memilih untuk ke pajak gadai. Saya tidak boleh terima alasan itu kerana sudah terang mereka akan ditipu serta ditindas.

Sebab itulah saya menggalakkan mereka untuk menjual kerana harga yang kami tawarkan adalah lebih tinggi dan urusniaganya juga telus di mana keuntungan yang kami peroleh diketahui pelanggan. Alasan sayang, ada nilai sentimental dan banyak lagi, adalah merugikan kerana apabila mereka mempunyai kemampuan, barang kemas yang serupa boleh ditempah semula atau dibeli dengan corak yang lebih terkini.

Apakah perancangan saudara dalam mengembangkan lagi perniagaan?

ABDUL RAZAK: Ketika ini syarikat lebih memfokuskan jenama sebagai langkah awal bagi menarik pasaran pengguna. Konsep kami yang terus kepada pengguna menerusi cawangan butik dan kiosk. Melalui pendekatan ini, kami membentuk kesetiaan pelanggan terhadap jenama Chantique, sekali gus ia lebih dikenali.

Di samping itu, kami tidak hanya melihat peluang pasaran di kawasan komersial tetapi membabitkan lot kedai dan ruang pameran. Ini kerana mereka yang memiliki barangan kemas tidak tertumpu di satu-satu tempat malah di luar bandar juga banyak.

Jadi, kami berusaha untuk sampai ke semua kawasan. Kami pernah mencuba jalin kerjasama dengan Pos Malaysia dengan membuka kiosk percubaan di Taman Melati, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, ada sambutan tetapi ia terpaksa ditutup sementara kerana menghadapi masalah menampung kos pengawal yang agak tinggi.

Perancangan terkini iaitu kami akan membuka satu lagi cawangan di lot kedai di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 3 Januari 2008.

Apakah kepuasan yang diperoleh dalam menjalankan urusniaga ini?

ABDUL RAZAK: Membantu orang kita agar tidak lagi tertipu dan tertindas itu sudah menggembirakan saya, lebih-lebih lagi dapat memberi ilmu yang dapat mengubah cara berfikir orang Melayu yang lebih mempercayai pajak gadai.

Dalam setahun meneraju Chantique Jewellery, alhamdulillah, perkembangannya memberangsangkan, sekali gus membuktikan penerimaan pelanggan dengan konsep yang kami perkenalkan.