Home » » Songket Teh Collections ke Amerika Syarikat

Songket Teh Collections ke Amerika Syarikat

Written By kall on Friday 5 August 2011 | 07:08



Roslina Maliki (kiri) dan Siti Khotijah menunjukkan kurung songket yang telah siap di Teh Songket.


SONGKET merupakan warisan yang menjadi kebanggaan orang Melayu. Lazimnya ia dipakai oleh pengantin atau ketika menghadiri majlis-majlis rasmi.

Bagaimanapun pada masa sekarang ramai kaum lelaki yang memakai samping songket dan lengkap berbaju Melayu terutamanya pada hari Jumaat.

Ini sekali gus dapat membantu usaha kerajaan meninggikan taraf pendapatan pengusaha songket.

Keindahan dan kehalusan tenunan songket terutama yang dihasilakn menggunakan tenunan tradisional menjadikan harganya tinggi.

Apatah lagi jika tenunan songket tersebut menggunakan benang emas.

Justeru, tidak hairanlah sehelai samping songket mampu mencecah harga puluhan ribu ringgit.

Bagi peminat songket, bakal pengantin atau pemilik butik, nama Teh Collections bukan sesuatu yang asing.

Lebih 17 tahun menjalankan perniagaan songket di premis yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Teh Collections masih tetap bertahan walaupun kedudukannya boleh dikatakan agak tersorok.

Bertemu dengan pemiliknya, Roslina Maliki dan adiknya, Siti Khotijah, mereka mengakui pemakaian songket kini telah dipelbagaikan dan bukan lagi khusus untuk pengantin sahaja.

''Tidak semestinya pengantin sahaja yang boleh memakai songket. Mereka yang menghadiri majlis perkahwinan juga boleh memakainya. Malah pemakaian songket oleh tetamu akan menambah seri sesuatu majlis,'' kata Roslina ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi memberi peluang kepada semua orang memiliki dan memakai songket, coraknya telah dikomersial dan dipelbagaikan.

Ukuran kain ini juga telah diubah supaya boleh dipakai oleh lelaki dan perempuan.

Setakat ini katanya, selain mendapat sambutan daripada pelanggan tempatan, songket Teh Collections turut mendapat permintaan daripada Persatuan Silat Gayung Amerika Syarikat untuk samping dan tanjak.

Dalam pada itu menjelang hari raya tidak lama lagi, Teh Collections menjual kain songket dalam ukuran bagi samping lelaki dan yang boleh dibuat baju wanita.

''Ukuran sebegini sesuai bagi suami isteri yang mahukan baju raya yang sedondon.

"Selain cantik dan eksklusif, baju songket ini juga tahan lama dan boleh disimpan untuk dipakai oleh anak-anak pula.

"Ini kerana kain songket tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

''Selepas raya, baju songket boleh pula dipakai ke pejabat pada hari Jumaat atau jika ada majlis-majlis tertentu," katanya.

Menurut Roslina, terdapat banyak pilihan warna untuk samping yang boleh dipadankan dengan baju Melayu seperti warna coklat, ungu, biru firus, oren dan lemak ketam.

''Pada masa kini pelanggan lebih sukakan warna-warna kontra. Contohnya baju Melayu biru dipakai bersama-sama samping warna merah. Berbeza dengan tahun-tahun dahulu di mana orang suka yang sedondon.

''Selain samping untuk lelaki dewasa, kami juga menyediakan samping kanak-kanak, kain pelikat dan kain batik sarung yang boleh dijadikan cenderahati atau sedekah,'' tambahnya.

Menurut Roslina lagi, bagi keselesaan pemakai, kain songket yang dijual di Teh Collections dibuat daripada fabrik kapas bercampur poliester yang selesa dan lembut.

Harganya juga amat berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua golongan.

"Ramai yang mahukan yang cantik dan murah namun terdapat juga pelanggan yang inginkan songket yang berkualiti tinggi walaupun harganya agak mahal,'' jelas Roslina yang banyak dibantu oleh, Siti Khotijah.

0 comments: