Home » » Bisnes kerepek modal RM20

Bisnes kerepek modal RM20

Written By kall on Thursday, 11 August 2011 | 18:00


Kini Rizal boleh berbangga dengan kejayaan kedua-dua ibu bapanya dalam membangunkan RJ Sepang.


BERMULA hanya dengan modal RM20, pada tahun 1989 Mokinah Sirat, 63, membeli barangan keperluan untuk menjual kerepek ubi dan pisang.

“Semuanya kerana kepayahan hidup dan sebagai suri rumah, saya terpanggil untuk meringankan beban suami menyara keluarga,” katanya .

Dia ditemui pada semasa lawatan rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke kilang RJ Sepang Sdn. Bhd. di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Pada peringkat permulaan, Mokinah hanya menjual kerepek di gerai bawah pokok manakala suaminya Jamaludin Singah, 63, membawa kerepek ke pejabat, kedai runcit dan sekolah sekitar Sepang.

Keenakan kerepek buatan Mokinah memikat ramai pelanggan sehingga ke pengetahuan pihak FAMA.

“Dua kali pegawai FAMA datang berkunjung ke rumah tetapi saya sembunyi di rumah jiran kerana bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya menyingkap kembali kenangan bagaimana Mokinah mula mengkomersialkan kerepek ubinya dengan bantuan FAMA.

Akhirnya dia terpaksa juga bertemu pegawai FAMA tersebut yang datang ke rumahnya secara mengejut buat kali ketiga.

Setelah mendapat pengesahan bahawa FAMA berminat membantunya mendapatkan tapak pasar tani berhampiran, dia menarik nafas lega. Pertemuan itu sebenarnya telah membuka lembaran baru dalam usahanya menjual kerepek.

Pengalaman berniaga di pasar tani menjadikan Mokinah semakin matang dalam bidang pemasaran dan bagaimana untuk berhadapan dengan pelanggan.

“Di pasar tani, saya bukan saja berniaga tetapi juga belajar menangani kerenah pelanggan dan menguruskan akaun.

“Malah menjelang musim perayaan dan cuti sekolah saya mendapat tempahan yang banyak berbanding hari biasa,” katanya.

Dengan bantuan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain FAMA yang menyediakan tapak pasar tani, Mokinah menerima pelbagai bentuk bantuan.

Jabatan Pertanian dan FAMA memberikan geran bagi peralatan seperti kawah untuk menggoreng kerepek bagi menggantikan kuali yang digunakan sebelum ini.

Ditanya bagaimana dia berjaya memikat hati pelanggan dengan pelbagai jenis kerepek keluarannya, Mokinah berkata, kualiti menjadi keutamaannya.

“Kami hanya menggunakan ubi kayu yang bermutu. Lagi satu kami juga memastikan minyak masak yang digunakan untuk menggoreng berkualiti.

“Saya akan memastikan kerepek ubi yang dihasilkan menepati cita rasa pengguna,” katanya.

Mengenai penglibatan anak-anaknya dalam dunia perniagaan, Mokinah berkata, daripada lima orang anaknya, empat orang mengikut jejaknya dalam perniagaan.

“Sekarang RJ Sepang diuruskan oleh anak bongsu saya Rizal Jamaludin. Kini saya hanya memantau mengenai kualiti kerepek ,” katanya.

Dengan kejayaan yang dicapai setakat ini, dia boleh berbangga kerana semuanya bermula dengan kepayahan.

Malah dengan kurniaan rezeki yang semakin melimpah-ruah semua 13 orang pekerjanya disediakan tempat tinggal dan makanan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.


Berniaga cara Nordin


Kesibukan Nordin Ashaari dan isterinya Zaini Hassan tidak membatasi kerja-kerja memeriksa tempahan yang diterima daripada pelanggan.


MELIHAT kepada persekitaran dalaman dan kesungguhannya bekerja bersama lima kakitangan, barangkali sesiapa sahaja yang singgah di kedai NBA GTiga Enterprise di Jalan Muar -Tangkak, Johor pasti tidak dapat membayangkan bagaimana ia dibangunkan.

Dengan kedudukan barang jualan yang tersusun, ia pasti memberi gambaran bahawa pemiliknya mempunyai pengetahuan mendalam dalam perniagaan, mempunyai dana kewangan yang besar dan segalanya diurus dengan baik.

Namun di sebalik semua itu, pengusaha terbabit Nordin Ashaari, 51 terpaksa melalui pelbagai liku keperitan, mengatur langkah daripada bawah dan belajar daripada pengalaman untuk menjadi seorang usahawan.

Nordin ketika ditemui bersyukur dengan pencapaiannya sekarang dan ia perlu dikembangkan.

Selepas sekian lama berusaha memajukan perniagaan dia tidak pernah lupa bagaimana semuanya bermula.

Tanpa segan silu dia berkongsi pengalaman , bagaimana segalanya di mulakan hingga ke tahap sekarang.

Nordin menamatkan persekolahan hingga tingkatan lima pada 1981. Ketika itu minatnya dalam perniagaan begitu memuncak.

Bermula dengan menjadi jurujual barangan elektrik dari rumah ke rumah, selepas tiga bulan dia mampu membeli sebuah motosikal.

Dengan berkenderaan sendiri, dia meneruskan perniagaan di pasar-pasar lambak.

Berkat kerajinan itu, Nordin akhirnya mampu membeli sebuah kereta berharga RM2,500.

Kejayaan membeli kereta itu memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba perniagaan lain.

Berbekalkan semangat ingin mencuba, Nordin menjual pakaian terpakai sebelum beralih kepada perniagaan makanan.

Tidak ada rasa letih dan istilah gagal dalam kamus hidupnya. Malah cita-citanya sebagai peniaga tetap tersemat dalam hati dengan mencuba pula perniagaan kerepek. Pada masa sama dia turut berniaga kad raya.

Sepanjang tempoh antara 1982 hingga 1993 , langkahnya semakin jauh dalam perniagaan selepas dia mencuba berniaga di pasar malam sekitar daerah Ledang sehingga ke Negeri Sembilan.

Dia kemudian mencuba perniagaan kedai makan tetapi atas faktor tertentu ia terpaksa ditutup. Selepas itu Nordin menjadi ejen insurans dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Tidak lama lepas itu dia menyahut pelawaan seorang rakan untuk mengambil kontrak menjahit langsir dan cadar serta keperluan hospital.

Meskipun minatnya dalam perniagaan kerepek tetap tersemat dalam hati.

‘‘Minat dalam dunia perniagaan tidak pernah surut meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan,’’ katanya ketika ditemui semasa mengikuti rombongan Agrobank di Muar baru-baru ini.

Apabila diberi peluang membuat pinjaman Agrobank selepas menghadapi masalah banjir pada 2006 , Nordin memanfaatkan pinjaman tersebut untuk melunaskan hasratnya sebagai peniaga kerepek yang terpendam sejak sekian lama.

Dia juga menjual kedainya di Bukit Kangkar untuk dijadikan modal membangunkan perniagaanya sekarang.

Nordin menyambung, dia lebih suka menggunakan pendekatan menggerakkan perniagaan daripada pusingan modal meskipun terpaksa melakukan segala-galanya.

Dengan keringat, air mata dan berbekalkan keazaman serta tekad dia berusaha hingga mencapai tahap yang dinikmati sekarang.

‘‘Bohong kalau dikatakan berniaga tidak kena ada modal,” ujarnya ringkas penuh makna

Menceritakan lebih lanjut, Nordin yang ditemani isterinya, Zaini Hassan berkata, perniagaannya sering berubah mengikut masa dan keperluan tetapi prinsipnya ialah kerajinan.

‘‘Satu ketika saya betul betul keputusan wang sehinggakan duit makan pun tidak ada,’’ katanya.

Bagaimanapun menurutnya, berkat kesabaran, Nordin bangkit berniaga kuih batang buruk. Satu perkara yang selalu menjadi pegangannya sejak dahulu ialah selalu mempercayai rakan termasuk dalam perniagaan.

Sebab itu, dia tekad untuk membangunkan apa yang telah dimulakan iaitu menjadi pemborong makanan atau produk industri kecil dan sederhana (IKS) daripada pengeluar dan membungkus dan menjualnya semula.

Pada musim perayaan ini, Nordin menawarkan banyak jenis produk IKS termasuk kerepek dan biskut. Dian juga menerima tempahan baulu, baulu gulung dan kek.

Mereka juga menawarkan pelbagai jenis produk lain yang boleh dijadikan juadah Aidilfitri antaranya kerepek ubi kayu, belinjau, maruku, keropok udang dan lain-lain.

0 comments: