Home » » Kejayaan losyen mustajab

Kejayaan losyen mustajab

Written By kall on Friday 12 August 2011 | 05:31

Kisah Rushdi penggemar halia



MELIHAT empayar bisnes kecantikannya semakin berpengaruh dan dikenali, hati Rushdi Abdullah berbunga puas. Selaku Pengasas Dunia Herbs Sales & Marketing, beliau telah berjaya merealisasikan impian ribuan wanita yang mendambakan tubuh yang langsing dan menggiurkan.

Bagaimanapun ujar lelaki yang berusia 41 tahun itu, untuk mengecapi impian tersebut, pelbagai onak dan cabaran terpaksa diharunginya. Hal itu kadangkala membuatkan beliau hampir berputus asa.

Ketika membutirkan setiap pengalamannya kepada Kosmo!, ada kesedihan yang begitu mencengkam jiwanya.

Beliau bercerita : “Sejak kecil saya membantu ayah berniaga di kedai dan ketika berumur dalam lingkungan 20 tahun, saya mengambil alih perniagaan kain bapa saya, bila duit di depan mata, saya boros.

“Impaknya, pada tahun 2008 iaitu ketika umur saya 25 tahun, saya kehilangan semuanya dalam erti kata lain, bankrap. Kedai, kereta dan rumah semuanya lenyap, bukan saya saja yang terkena tempiasnya tapi ia turut melibatkan seluruh ahli keluarga.”

Enggan mengalah, percaturan Rushdi diarahkan kepada bidang hartanah. Sayangnya, itu juga tidak menjadi. Rushdi mengakui, fikirannya berserabut dalam merencana semula perjalanan hidupnya yang semakin bercelaru itu.

Sama ada suratan atau kebetulan, pertemuannya dengan seorang saudara lelakinya yang berjaya mencorak sisi positif dalam kerjayanya.

Namun kata ahli perniagaan yang kreatif itu, beliau tidak pernah terjangkau dek fikirannya yang beliau akan bergelar penjual kuih char kue.

Mengapa? Jawabnya, dulu beliau menganggap berniaga di tepi jalan sungguh tidak berprestij.

“Ya, saya akui dulu saya ego dan pernah terdetik di hati bahawa saya tak mahu berniaga di tepi jalan tapi Tuhan itu Maha Kaya,” katanya menginsafi sikapnya dulu.

Rahsia halia


RUSHDI (tengah) dan pegawai-pegawainya sentiasa berbincang mengenai strategi-strategi tertentu perniagaan.


Kata anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu, selama dua tahun berniaga di sebuah tapak kecil di Kampung Baru, beliau berjaya mengumpul sejumlah wang yang diyakininya dapat dimanfaatkan dalam melebarkan perniagaannya.

Rushdi begitu melankolik dalam meneruskan penceritaan tentang titian perjalanan hidupnya.

Melihat situasi itu, beliau terus disogok beberapa soalan. Bagaimanakah idea mengusahakan bisnes kecantikan itu boleh timbul? Mengapakah beliau memilih untuk mengembangkan bisnes losen dan tidak kepada produk lain?

Ahli perniagaan itu memberitahu, beliau sebenarnya adalah seorang penggemar halia.

“Saya suka halia, namun saya lihat penggunaan halia agak terhad di pasaran, jadi saya terfikir mengapa usahawan Melayu tidak mempelbagaikan penggunaan halia selain untuk memasak saja.

“Justeru, atas bantuan daripada pihak tertentu, saya menjalankan penyelidikan dan sememangnya halia mempunyai kaitan rapat dengan kecantikan tubuh,” katanya yang pernah mendapat pendedahan awal memasarkan produk-produk kesihatan yang lain sebelum itu.

Berkat usahanya, pada 6 September 2005, tertubuhlah Dunia Herbs Sales & Marketing yang memasarkan produk kecantikan dan kesihatan berkualiti yang berasaskan herba.

Anak kedua daripada enam beradik itu masih ingat, seawal memulakan perniagaan losen menggunakan pati halia, beliau hanya mempunyai tiga pekerja dan mempunyai kedai yang kecil saja.

Produk pertama


KELUARAN TERKINI. Rushdi memperkenalkan produk-produk terbaru keluaran syarikat Dunia Herbs.


Dari aspek pemasaran pula, pasukannya mempromosikan produk mereka dari rumah ke rumah dan mengiklankannya secara kecil-kecilan di akhbar.

Tanpa disangka, inisiatif itu sangat berhasil. Kata Rushdi, beliau menerima panggilan yang tidak putus-putus daripada orang ramai.

Mustahil Rushdi tidak gembira apabila produk Losyen Mustajab Pati Halia yang merupakan produk pertama keluaran syarikat Dunia Herbs laris hingga jualannya mencecah 100,000 unit sebulan.

“Saya betul-betul tak sangka, ramai yang ingin tahu dengan produk baharu yang kita hasilkan ini, kepada yang telah mencuba, semuanya memberi respons yang positif.

“Perkembangan itu memberi saya semangat untuk menghasilkan inovasi-inovasi terbaru,” katanya penuh semangat.

Dunia Herbs kata lelaki itu terus mengorak langkah. Aspek pengiklanan terus diberi penekanan. Bahkan, iklan losen mustajab menguasai ruang-ruang iklan media cetak mahu pun elektronik.

Melihat senario itu, syarikat itu memperluaskan lagi kerjasama penyelidikan dengan badan-badan seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Bhd., Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Bukankah sudah tiba masanya, jenama Dunia Herbs yang semakin kuat di Malaysia menjengah pasaran antarabangsa dalam kapasiti yang besar?

“Itu sudah pasti, kita sasarkan untuk pasarkan produk kita ke negara-negara Asia Tenggara, China, India termasuk Turki dalam tempoh lima tahun lagi,” balasnya.

Produk tiruan

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan itu memang lumrah. Rushdi yang menaungi sebuah empayar kecantikan juga tidak terlepas daripada sebarang musibah.

Mengulas mengenainya, katanya, pendiriannya sangat mudah. Ujar lelaki itu tanpa menunjukkan riak kecewa: “Dalam berniaga ini, pasti ada pesaing, mengenai produk tiruan sebenarnya itu tak patut berlaku.


RUSHDI (kiri) dikenali sebagai bos yang sangat disenangi dalam kalangan pekerja-pekerjanya.


“Tapi itu tak mengganggu saya sangat, apa-apa pun kita adalah perintis (produk losen berdasarkan pati halia) dan berdasarkan kualiti, produk kita adalah yang terbaik.”

Rushdi memberitahu Kosmo!, beliau menyimpan satu azam yang cukup besar.

“Matlamat jangka panjang saya ialah setiap rumah punya satu botol losen mustajab pati halia,” ujarnya bersungguh.

Daripada seorang pembantu kedai, kemudian jatuh bankrap sekelip mata, beliau bangun semula menjadi penjual char kue dan akhirnya Rushdi berjaya memiliki sebuah empayar kecantikan yang termasyhur di negara ini.

Kejayaan Rushdi itu juga membuktikan bahawa seseorang mampu cemerlang walaupun mereka tidak mempunyai latar pendidikan yang tinggi.

“Alhamdulillah, bila Tuhan kurniakan kesusahan kepada kita, sebenarnya ia adalah indikator supaya kita sedar lebih awal. Selepas melewati saat-saat getir, barulah saya tahu apa erti syukur,” katanya.

Walaupun sudah berada puncak tertinggi dalam karier dan kini melebarkan sayap bisnesnya dengan menubuhkan Bumidotcom Sdn. Bhd., Rushdi menegaskan, beliau sama sekali tidak akan lupa asal usulnya.

Malah ujarnya, sehingga saat ini beliau masih mengingati secara jelas bagaimana untuk menghasilkan char kue yang merupakan satu entiti yang sangat sentimental dalam dirinya.

0 comments: