Home » » Dunia di ambang krisis kewangan lagi!

Dunia di ambang krisis kewangan lagi!

Written By kall on Saturday 6 August 2011 | 18:30


PASARAN saham di serata Asia jatuh teruk semalam (Jumaat). Khamis lalu, Dow Jones petunjuk untuk Bursa Saham New York jatuh sebanyak 4.31 peratus (%).

Bursa Malaysia setakat 3 petang Jumaat jatuh 1.75%, Korea jatuh 3.7%, Australia ASX jatuh 4.0%, Tokyo jatuh 3%.

Indek MSCI jatuh 3.99%. Begitu juga Hong Kong hampir 5% dan juga Shanghai sebanyak jatuh 2.75%.

Di Eropah - London jatuh 2.97%, Jerman Dax jatuh 3.8%. Di Amerika Latin, Bursa Brazil, Bovespa jatuh sehingga 6.0%.

Dianggarkan AS$4.4 trilion telah hangus.

Keadaan kewangan di Amerika Syarikat dan kebimbangan krisis hutang euro telah meresap kepada pengetahuan pelabur dan ini menyebabkan kita menyaksikan kejatuhan pasaran saham di merata dunia.

Di Amerika walaupun kerajaannya telah berjaya mengelak daripada gagal membayar bil-bil mereka dengan menaikkan had hutang kepada AS$2.3 trilion dalam masa 10 tahun, ini tidak memberikan banyak makna dari segi pemulihan ekonomi negara tersebut.

Kalau dibandingkan jumlah hutang sebanyak AS$14.3 trilion dengan KDNK yang berjumlah AS$14.66 trilion suatu nisbah yang hampir 1:1.

Angka petunjuk yang lain seperti hasil pengilangan menunjukkan kejatuhan, pengganguran di paras 9.2%. Perbelanjaan pengguna juga jatuh.

Amerika berkemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi.

Di Eropah, usaha Bank Negara Eropah membeli bon daripada negara-negara kecil berbanding membeli bon daripada Sepanyol dan Itali membimbangkan para pelabur kerana kedua-dua negara tersebut telah menunjukkan masalah defisit mereka selain Portugal, Ireland, Greece.

Perbezaan krisis pada 2008 dan sekarang ialah - dahulu krisis yang berlaku melibatkan sektor perbankan tetapi kali ini adalah krisis keyakinan.

Pelabur bimbang langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan di Amerika dan di Eropah dianggap tidak memadai menyelesaikan masalah hutang euro dan ekonomi di Amerika.

Apakah kesan sekiranya berlaku lagi krisis kewangan ini kepada negara kita. Pertama sekali kita wajar membezakan kerajaan Amerika dengan korporat Amerika.

Apa yang kita saksikan berlaku ialah kebanyakan pekerjaan untuk rakyat Amerika telah beralih kepada negara-negara yang syarikat-syarikat pengeluar Amerika atas nama mengurangkan kos telah melabur ke negara seperti China, India dan Vietnam untuk menghasilkan produk yang dulunya dibuat di Amerika.

Kini globalisasi yang diuar-uarkan telah mendatangkan padah kepada Amerika sendiri. Kalau kita lihat kerajaan Amerika berbahas berminggu untuk menaikkan had hutang sedangkan syarikat-syarikat Amerika mengaut untung yang tinggi kerana beroperasi di luar negara.

Jarang sekali kita melihat barang-barang dengan tanda Made in USA kerana IPhone dan IPad misalnya semuanya dibuat di China.

Amerika ialah rakan dagangan kita keempat teratas dan sekiranya berlaku kelemahan ekonomi termasuk perbelanjaan pengguna, tentu sekali eksport kita ke sana akan berkurangan.

Walaupun dagangan kita dengan negara-negara Eropah tidak setinggi negara-negara ASEAN, mereka juga penting untuk menampung dagangan kita. Sekiranya berlaku krisis, ini juga akan melibatkan dagangan kita dengan mereka.

Persoalan juga timbul sama ada program transformasi ekonomi kita akan tergugat sekiranya berlaku krisis kewangan ini. Sekiranya nilai dolar Amerika terus jatuh disebabkan kegagalan membendung masalah ekonomi mereka, ini akan ada kaitan dengan rizab negara kita yang sebahagian besar dalam dolar Amerika.

Kita difahamkan apa jua perancangan yang telah digariskan semuanya berjalan dengan lancar. Sama-samalah kita lihat.

0 comments: