Home » » Usahawan Keropok Pak De

Usahawan Keropok Pak De

Written By kall on Saturday, 28 July 2007 | 09:23

‘KEROPOK Pok De’ bukan asing bagi penduduk Kampung Raja Chendering, Kuala Terengganu dan ia sudah lama berada di pasaran. Apabila namanya diubah kepada jenama KeroFish, orang ramai masih tetap memanggil perusahaan itu dengan nama ‘Keropok Pok De’, mungkin sudah biasa dengan jenama itu sejak berada di pasaran pada 1975 lagi.
Itulah perusahaan tradisi keluarga yang diwarisi Mohd Zaman Muda, 48, daripada bapanya yang bermula secara kecil-kecilan. Beliau mengambilalih perusahaan bapanya itu untuk diperbesarkan.

Bapa kepada 10 anak itu mula mengambil alih perniagaan pada 2003 selepas dua tahun bersara dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Dengan wang hasil pencen berjumlah RM24,000 ditambah dengan hasil jualan rumah di Taman Permint Jaya RM70,000, saya melabur dan menggunakan sebahagian wang diperoleh selepas ditolak baki pinjaman perumahan sebagai modal pusingan mengembangkan perniagaan warisan keluarga.

“Pada awalnya bapa hanya mengusahakan keropok tradisi Terengganu iaitu keropok lekor secara kecil-kecilan dan mula mengembangkan perusahaan dengan menghasilkan keropok kering pada 1989. Ketika itu tiada sebarang jenama diletakkan pada bungkusan keropok, tetapi orang ramai kenal dengan keropok diusahakan bapa dengan menggelarnya ‘Keropok Pok De’,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini walaupun teknik pembungkusan dan penjenamaan dilakukan dengan menggunakan jenama KeroFish, kebanyakan pelanggan masih mengekal dan menggunakan panggilan Keropok Pok De dalam berurusan.

Dengan bantuan teknikal Sirim bernilai RM22,000, Mohd Zaman berkata, produknya kini ditingkatkan dengan penggunaan teknik pembungkusan lebih menarik dan terkini.

Selain itu, beliau turut mendapat bimbingan berterusan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu selain sentiasa mengikuti kursus bimbingan keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta beberapa agensi kerajaan dalam memperkembang dan memperluaskan perusahaan keropoknya.

Mohd Zaman berkata, perusahaan yang dijalankan di Kampung Raja Chendering, Kuala Terengganu kini diusahakan menggunakan teknologi moden dan terkini hasil bantuan Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan banyak membantu memperkembang dan meningkatkan mutu produk, termasuk membantu menyediakan kelengkapan pemerosesan keropok dilengkapi dengan standard amalan pengeluaran baik (GMP).

Katanya, perancangan terbaru syarikatnya adalah membina sebuah kilang mengeluarkan secara perusahaan di Chendering.

“Saya sudah mendapatkan pinjaman RM50,000 untuk pembelian tapak dan kini sedang memohon pinjaman bagi mendirikan bengkel dan kilang baru. Selain itu, saya juga membuka pusat jualan yang turut dilengkapi kemudahan asas memproses keropok dalam kuantiti kecil,” katanya.

Mohd Zaman berkata, bagi memenuhi permintaan pasaran beliau memproses sekitar satu hingga dua tan ikan mentah sehari atau sekitar 40 hingga 45 tan sebulan untuk menghasilkan keropok Terengganu dan keropok kering.

Meskipun bersaing dengan syarikat lain di negeri itu dalam memasarkan produknya, Mohd Zaman lebih memberikan tumpuan kepada pelanggan tetap yang terdiri daripada pengusaha kantin sekolah dan peniaga kecil dari sekitar Kuala Terengganu.

“Biasanya keropok dibuat mengikut tempahan dan lazimnya keropok lekor mudah dipasarkan kerana dibuat berpandukan tempahan pelanggan berbanding keropok keping dibuat sepanjang masa,” katanya.

Beliau kini mempunyai seramai 24 kakitangan dengan separuh daripadanya adalah pekerja kontrak, manakala selebihnya kakitangan tetap yang menjalankan kerja pentadbiran dan teknikal.

Mohd Zaman berkata, harapannya kini adalah untuk mengembangkan perusahaan warisan keluarga menjadi rangkaian besar yang mampu mengetengahkan keropok Terengganu pada peringkat global.

FAKTA

# RM24,000 modal awal

# 40 hingga 45 tan ikan diproses seminggu

# 24 kakitangan

# RM50,000 pinjaman untuk membeli tapak baru

# Bermula sejak 1975

0 comments: