Home » » Beli nama Ideal nyata bawa tuah

Beli nama Ideal nyata bawa tuah

Written By kall on Monday 30 July 2007 | 13:20


produk kesihatan jenama Idealcare milik Dr Haminnuddin kini dipasar di 12 negara
"HAMPIR dua tahun saya bekerja keras memasarkan produk keluaran syarikat saya, tetapi hasilnya kurang memuaskan. Selepas jenamanya ditukar, barulah ia mendapat sambutan menggalakkan dan dapat dipasar ke peringkat antarabangsa," kata Dr Haminnuddin Abd Hamid, 54, mengimbau susah payah ketika memulakan perniagaan mengeluarkan produk perubatan pakai buang dan peralatan kesihatan lapan tahun lalu.

Beliau ialah seorang daripada 19 pemenang Tokoh Usahawan Cemerlang Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2007 (APEA2007) yang disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, baru-baru ini.

Haminnuddin berkata, ketika mula mengusahakan pengeluaran produk perubatan pakai buang dan peralatan kesihatan, syarikatnya, Ideal Healthcare Sdn Bhd (IHSB) yang ditubuhkan pada 1999, menggunakan jenama 'Mutiara' yang dipilih berdasarkan nama syarikat pertamanya, Mutiara Medical Enterprise.

Ketika itu sukar baginya menembusi pasaran walaupun produk yang dihasilkan setanding dari segi kualiti dengan produk import yang menguasai sepenuhnya pasaran bekalan produk kesihatan.

Beliau kemudian memutuskan menukar jenama kerana ‘Mutiara’ mungkin kurang sesuai dan langsung tidak menggambarkan jenis produk.

Pencarian jenama sesuai untuk produk syarikatnya membawa Dr Haminnuddin hingga ke Eropah dengan membeli jenama 'Ideal' daripada sebuah syarikat di Jerman hingga pada harga AS$40,000 (RM138,000).

Namun, jenama Ideal itu tidak dapat didaftarkan di negara ini kerana sudah ada syarikat lain mendaftarkannya dan ia memaksa beliau memikirkan jenama terbaik yang lain.

“Maka, lahirlah jenama ‘Idealcare’ yang juga adalah singkatan gabungan nama syarikat syarikat baru saya iaitu Ideal Healthcare,” katanya.

IHSB mengkhusus dalam pengeluaran produk urologi, anasthesia dan pernafasan tetapi juga membekal peralatan makmal, pembedahan dan peralatan pergigian.

Kini jenama Idealcare bukan saja peneraju dalam pasaran produk kesihatan pakai buang dan peralatan kesihatan di negara ini, malah dieksport ke 12 negara di rantau Asean, Asia Barat dan Afrika Selatan dengan jualan tahunan kira-kira RM45 juta.

IHSB yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah kini berkembang sebagai sebuah kumpulan dengan tiga anak syarikat, Ideal Healthcare Manufacturing Sdn Bhd, Mutiara Medical Enterprise serta Indonesia CV Harizka yang mengendalikan kilang di republik itu.


Kumpulan dengan 135 kakitangan itu kini boleh berbangga mengeluarkan 48 jenis produk termasuk kerusi roda, `Blood Pressure Sphygmomanometers' dan `Stethoscopes' yang sebahagian besarnya dibekalkan ke hospital kerajaan.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam perniagaan, Dr Haminnuddin berkata, beliau memutuskan untuk memulakan perniagaan sendiri selepas 25 tahun menimba pengalaman berkhidmat dengan dua syarikat multinasional yang ternama dalam bidang produk perubatan iaitu Rusch Asia Pasific, Jerman dan Baxter Healthcare, Amerika Syarikat.

Pengalaman memegang pelbagai jawatan hingga ke peringkat pengurusan tertinggi syarikat terbabit memberi banyak pendedahan dan input berguna untuk memulakan perniagaan.

"Mula-mula saya tubuhkan Mutiara Medical pada 1996 yang menjalankan perniagaan perdagangan produk kesihatan.

"Waktu itu, saya banyak mengimport produk dari luar negara, tetapi krisis ekonomi kira-kira setahun kemudian memberi kesan terhadap nilai tukaran mata wang, sekali gus menjejaskan perniagaan.

"Akhirnya, berbekalkan modal sendiri sebanyak RM300,000, saya memberanikan diri menubuhkan IHSB pada 1999 untuk mengeluarkan sendiri produk kesihatan,” katanya.

IHSB memulakan operasinya dengan sebuah kilang kecil di Sungai Petani yang mengeluarkan hanya tiga produk dan dibantu 18 kakitangan.

Produk yang dihasilkan juga adalah berasaskan pengalaman Haminnuddin ketika berkhidmat dengan syarikat multinasional terbabit.

Tempoh tiga tahun awal adalah cabaran besar buat Haminnuddin yang terpaksa berkerja keras memasarkan produk dan meyakinkan pelanggan terhadap kualiti produk keluarannya, apatah lagi belum ada syarikat tempatan yang mengeluarkan produk perubatan seperti yang dihasilkan kecuali yang diimport.

Namun, anak kelahiran Kajang, Selangor ini tidak mudah mengalah dan tanpa sokongan mana-mana pihak, beliau terus meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatannya selain berusaha mendapatkan sijil pengiktirafan antarabangsa termasuk ISO 9001:2000, ISO 14001:2004 dan status piawaian Eropah (CE) untuk produknya.

Dengan sijil pengiktirafan antarabangsa, produk IHSB mula menerima sambutan dan pada 2005 barulah beliau mula mendapatkan bantuan meningkatkan perniagaan bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.

Haminnuddin mengemukakan cadangan kepada SME Bank (ketika itu Bank Pembangunan) untuk pinjaman RM2.8 juta di bawah program usahawan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk memperbesarkan operasi dan membuka sebuah lagi kilang di kawasan Kompleks Kilang Bimbingan, Sungai Petani.

Berikutan prestasi perniagaannya yang memberangsangkan dan berpotensi, pinjaman itu diluluskan, sekali gus memberi galakan besar baginya untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“2005 boleh dianggap titik peralihan buat perniagaan saya yang mana IHSB berjaya mendapat kontrak membekalkan produk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang bernilai RM12.5 juta.

“Dengan kontrak pertama daripada kerajaan itu, kami sudah boleh menumpukan perhatian terhadap mengembangkan pasaran.

“Dari situ, kami berjaya mengembangkan operasi ke Indonesia setahun kemudian hingga membawa kepada kejayaan seperti yang dikecapi hari ini dan memperluaskan pasaran eksport,” katanya sambil menjelaskan kontrak kerajaan yang dimiliki anak-anak syarikat IHSB kini bernilai RM27 juta setahun.


INFO
Nama: Dr Haminnuddin Abd Hamid
Tarikh lahir: 26 Oktober 1953
Asal: Kajang, Selangor
Pendidikan: Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan, PhD Pengurusan Perniagaan (Industri Getah dan Plastik) dari University Rustington/Sussex, United Kingdom.
Pengalaman/pencapaian:
- Pengurus Pengeluaran/Perniagaan di Baxter Healthcare, Amerika Syarikat selama 22 tahun
- Pengarah Urusan di Rusch Asia Pasific, Jerman selama 3 tahun
- Pengasas Pertubuhan Pembekal-Pembekal Alatan Perubatan dan Makmal Bumiputera Malaysia
- Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pengilang-pengilang Malaysia(FMM)
- Ahli Jawatankuasa Pengurusan Perindustrian Negeri Kedah (IPMC)
- Ahli Jawatankuasa Pengurusan Alam Sekitar Negeri Kedah (UPEN)
Info tambahan: Mutiara Medical Enterprise ( ditubuh pada 11 Ogos 1996)
Ideal Healthcare Sdn Bhd ( ditubuhkan pada 1 Jun 1999)
Ideal Healthcare Manufacturing Sdn Bhd (ditubuhkan pada 1 Januari 2005)
CV Harizka (ditubuhkan pada 3 Ogos 2006)
De Tiara Collection ( ditubuhkan pada 1 Jun 2007)
Pendapatan semasa syarikat : RM45 juta
Peningkatan Jualan bagi 2007 : 10 peratus (RM50 Juta)
Modal Permulaan : RM300,000 dan modal berbayar semasa : RM1,000,000



IHSB tinjau pasaran Eropah, Jepun, AS

IDEAL Healthcare Sdn Bhd (IHSB), pengeluar produk perubatan pakai buang dan peralatan kesihatan mensasarkan pertumbuhan pendapatan 10 peratus tahun ini kepada RM50 juta, disumbangkan perniagaan barunya iaitu pakaian dan kosmetik serta meningkatkan pasaran eksport.

Pengarah Urusannya, Dr Haminnuddin Abd Hamid, berkata, perniagaan pakaian adalah usaha pertama syarikat mempelbagai keluarannya selain produk perubatan pakai buang dan peralatan kesihatan yang mana syarikat menubuhkan syarikat baru dinamakan De Tiara Collection yang akan memasarkan pakaian dan kosmetik dengan jenama D' Tiara bulan depan.

Beliau berkata, De Tiara Collection yang akan diterajui oleh anak perempuan sulungnya, Nur Hazirah Haminnuddin, 22, akan memfokus kepada fesyen terkini yang diminati dan cuba memasarkannya di negara ini di bawah jenama D'Tiara.

“Penubuhan De Tiara Collection ialah strategi untuk mempelbagaikan produk, manakala pengembangan destinasi eksport sebagai sebahagian daripada strategi pengukuhan jangka panjang untuk produk sedia ada,” katanya.

Haminnuddin berkata, kumpulan itu yang kini mengeksport kira-kira 40 peratus keluarannya ke 12 negara, sedang meninjau peluang meneroka pasaran Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat dalam tempoh terdekat.

“Permintaan produk perubatan pakai buang terutama yang dibuat daripada getah adalah cukup baik dan kami melihat ia menyediakan peluang pasaran besar kepada IHSB.

“Dengan memperoleh status piawaian Eropah(CE) kami yakin produk IHSB mampu bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya

0 comments: