Home » » Tourist For Malay Etnic

Tourist For Malay Etnic

Written By kall on Friday 13 July 2007 | 09:31


Wan Rosmawati mahu popularkan pelancongan warisan etnik Melayu

Memperkenalkan budaya warisan nenek moyang Malaysia di persada antarabangsa menjadi misi dan matlamat sebuah syarikat usahawan bumiputera ini. Semuanya untuk menjadikan Malaysia destinasi utama untuk dilawati di dunia.

Atas rasa tanggungjawab itu, Pengarah Eksekutif Redland Holiday Travel & Tours Sdn. Bhd., Datin Wan Rosmawati Wan Hussin memilih pendekatan layanan mesra dalam mempromosi budaya serta etnik negara ini dengan informasi yang tepat dan padat.

Wartawan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN berkongsi pengalaman dengan usahawan bumiputera yang mengusahakan perniagaan pelancongan baru-baru ini.

UTUSAN: Dalam menerajui sektor pelancongan, apakah faktor utama yang mendorong penubuhan syarikat ini?

WAN ROSMAWATI: Industri ini dilihat mempunyai potensi nilai tambah yang memberansangkan. Faktor utama mendorong saya menubuhkan syarikat ini adalah hasil pengalaman menarik ketika melawat negara asing.

Pendekatan pengurusan kerja yang mereka lakukan terlalu berbeza kerana agensi pelancongan negara luar ini begitu konsisten dengan tatatertib.

Juru pandu pelancongnya juga dilatih dengan kemahiran komunikasi dan pendedahan yang tinggi. Perkara ini membuatkan saya dan keluarga begitu teruja di atas layanan mesra pelancong oleh agensi itu.

Teknik pengendalian yang dilaksanakan seolah-olah berada di alam fantasi ketika melawat tempat-tempat bersejarah dan etnik mereka. Bahan-bahan bacaan tentang kehidupan di alam semesta, sejarah dan geografi disediakan dengan begitu lengkap.

Bermula dari situ, timbul perasaan bahawa setiap percutian itu memberi makna dan inspirasi yang kekal abadi dalam ingatan. Namun yang peliknya bukan disebabkan faktor melawat tempat yang menarik di sana tetapi kehebatan layanan mereka yang memberi impak besar untuk saya dan keluarga terkenangnya tempat itu.

Di sana, mata saya terbuka kerana walaupun dengan kemajuan fizikal moden, masyarakatnya tidak lupa akan warisan dan sejarah mereka. Bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah dan ciri kebudayaan dipelihara dengan baik dan rapi.

Walaupun masyarakat di sana hebat dengan sains dan teknologi, namun mereka amat maju dalam industri pelancongan dan warisan kerana bidang ini merupakan faktor penyumbang kepada aset dan sumber pendapatan negara.

Bilakah perniagaan ini bermula dan apakah jenis khidmat kerja yang ditawarkan?

WAN ROSMAWATI: Perniagaan ini sebenarnya baru ditubuhkan awal tahun ini. Ia diusahakan hasil kajian dan penyelidikan. Sepanjang penubuhannya syarikat ia diterajui oleh beberapa tenaga kerja profesional yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dengan dunia pelancongan.

Dari situ, kekuatan saya timbul untuk memulakan perniagaan ini hasil daripada kepakaran yang menyakinkan dan harapan untuk membantu dan memperluaskan empayar perniagaan ini. Pengalaman mereka menjadi aset syarikat dan penyumbang dalam memajukan perniagaan.

Dalam pada itu, usaha kerajaan Malaysia yang begitu rancak menggiatkan promosi dalam menjana perkembangan sosio-ekonomi negara dalam sektor pelancongan menjadi penyumbang menerokai bidang ini.

Dengan semangat dan iltizam itu, saya terpanggil untuk bersama-sama menyahut seruan kerajaan. Ia bagi membantu serta merangka beberapa aktiviti yang sesuai untuk menarik dan memberi perkhidmatan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia.

Sasaran saya ialah mempromosi etnik budaya Melayu khususnya dari segi kebudayaan negeri Kelantan, makanan, pakaian dan tarian yang kini menjadi aset untuk diketengahkan di peringkat global. Syarikat juga menyasarkan kebudayaan negeri Sarawak dan Sabah yang mempunyai nilai estetika dan budaya masyarakat yang sesuai untuk tatapan para pelancong.

Selain itu, apakah visi dan matlamat syarikat ini dalam memperkemaskan perkhidmatannya?

WAN ROSMAWATI: Sejak menceburi bidang ini, saya merasakan bahawa ia sebenarnya merupakan satu bidang perkhidmatan tambah nilai sosial. Contohnya untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran penyampaian bagi perkhidmatan dalam memberi informasi berguna kepada pelancong dengan maklumat dan nilai cerita serta sejarah yang menarik tentang Malaysia.

Kebanyakan pelancong asing menggemari nilai sejarah dan warisan budaya Malaysia kerana itulah faktor yang membezakan negara ini dengan destinasi pelancongan lain di dunia. Dengan itu mereka lebih menghargai coretan perkembangan negara yang dikatakan mempunyai nilai warisan bangsa yang perlu dipaparkan di peringkat antarabangsa.

Dalam mengembangkan bidang ini, segala usaha telah diambil dengan menerbitkan rencana, merangka promosi dan menjalinkan kerjasama dengan entiti pelancongan di dalam dan luar negara. Banyak pihak yang berurusan dengan syarikat ini dalam menjana perniagaan pelancongan dengan hubungan di antara negara.

Agensi kami turut menghubungkan dengan pelancong dari negara luar. Ia dibuat melalui teknologi perkhidmatan secara talian yang disediakan oleh pihak syarikat dalam memproses penempahan penerbangan, hotel dan kemudahan-kemudahan yang lain.

Buat masa ini sistem ini dalam peringkat penambahbaikan untuk memudahkan pelanggan untuk berurusan secara on-line yang boleh dilayari melalui red_hday@streamyx.com.

Apakah perancangan syarikat untuk beberapa tahun khususnya dalam membangunkan industri ini?

WAN ROSMAWATI: Saya dan ahli pengurusan syarikat kini dalam proses mengambil alih Pantai Emas Tour di Gold Coast, Australia untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan syarikat.

Pendekatan yang digunakan ialah untuk membangunkan pusat komuniti kebudayaan Malaysia yang dikenali sebagai Golden Legend Restaurant. Di sini bakal mengetengahkan pelbagai variasi pakaian, tarian dan restoran makanan melayu halal untuk mempromosi Malaysia.

Pelbagai kemudahan disediakan seperti pentas persembahan dan ruang pameran pakaian tradisi masyarakat. Melalui pendekatan ini, diharap masyarakat di sana dapat mengenali Malaysia dan secara langsung datang melawat ke Malaysia melalui agensi kami.

Kini kami sedang menggiatkan operasi perniagaan di beberapa buah negara seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara Islam di Asia barat.

Apakah perancangan untuk mengekalkan permintaan produk dan perkhidmatan pelancongan terhadap usaha menarik pelancong asing melawat Malaysia?

WAN ROSMAWATI: Perancangan syarikat pada ketika ini lebih bertumpu kepada peningkatan jalinan ilmu dan kerjasama. Ia dibuat dengan penglibatan semua pihak untuk bersama-sama turun padang dalam mempromosi Malaysia ke persada antarabangsa sebagai sebuah destinasi pelancongan perlu dilawati.

Usaha ini dibuat secara progresif dalam menjamin kedatangan pelancong-pelancong asing ini terus meningkat dari tahun ke tahun melalui perkhidmatan yang sentiasa menambah nilai. Sebagai syarikat dan individu yang menitikberatkan soal mutu perkhidmatan, kami merasakan kerjaya sebagai pelopor industri produk dan perkhidmatan pelancongan menjanjikan prospek yang menguntungkan sambil membantu menarik ramai pelancong.

Selain itu, kami turut membuat kajian dan penyelidikan berdasarkan keperluan dan harapan kerajaan untuk membantu memajukan sektor ini.

Apakah langkah-langkah syarikat mempromosi negara ini di persada antarabangsa?

WAN ROSMAWATI: Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan tanah air, saya merasakan itu adalah tanggungjawab yang perlu dipikul dengan menerangkan tentang kehebatan-kehebatan negara ini.

Antara langkah yang diambil oleh syarikat ialah menghebahkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa walaupun negara ini adalah negara Islam tetapi ia mendaulatkan keamanan sejagat melalui kewujudannya sebagai negara yang aman, maju dan tiada pertelingkahan di antara agama-agama yang dianuti.

Pelancong asing terutama dari Barat perlu diberi penerangan secara terperinci dan diubah persepsi mereka tentang Islam melalui negara ini yang selamat untuk dilawati.

Dalam melaksanakan hal ehwal syarikat apakah mutu perkhidmatan yang dipertingkatkan?

WAN ROSMAWATI: Saya kini merangka dan sedang melatih pelatih pengurusan atau pelajar praktikal kursus pelancongan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk menjalani latihan di syarikat ini.

Malah syarikat juga mengalu-alukan pelajar yang berminat menjalani latihan di sini dengan menghantar permohonan kepada syarikat..

Mereka akan diberi latihan dan pendedahan dan apabila syarikat mendapati mereka berpotensi syarikat menjanjikan peluang kerjaya kepada mereka di bidang ini.

Buat masa kini, kita mempunyai cawangan di setiap negeri untuk ditempatkan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja turun dilatih agar mempunyai pakej imej yang baik. Di sini saya menyarankan agar semua pekerja saya mesti menguasai bahasa asing bagi memudahkan mereka untuk berkomunikasi dengan pelawat .

Bahasa juga memainkan peranan utama. Dalam perancangan syarikat untuk mempromosi negara, Kami cuba untuk mengetengahkan Bahasa Melayu kepada pelancong asing sebagai bahasa pengantara utama. Syarikat juga dalam proses menyediakan pakej umrah khususnya kepada rakyat Malaysia.

Selain itu, matlamat kami sekarang ialah menyediakan pakej khas untuk membantu peniaga-peniaga pasar malam.

Maklumat lanjut mengenai syarikat ini boleh diperolehi di Redland Holiday Travel & Tours Sdn Bhd, No 7 Jalan USJ 1/1C Regalia Business Centre 47620, Subang Jaya, Selangor atau di talian 03-80248171.

0 comments: