Home » » Homeopati Pilihan Farmina

Homeopati Pilihan Farmina

Written By kall on Friday 27 July 2007 | 10:43

PENGALAMAN bergelar guru kaunselor banyak mempertemukan dirinya dengan pelajar-pelajar sekolah, khususnya yang menghadapi pelbagai masalah dalaman mahupun luaran.

Namun jiwa keibuan pada dirinya memahami setiap langkah dan gerak geri setiap pelajar bermasalah untuk diselesaikan dengan pendekatan psikologi dalam membantu mereka.

Malah keprihatinan dan kasih-sayangnya kepada pelajar ibarat anak-anak sendiri. Semuanya untuk melihat mereka berjaya dalam kehidupan menyebabkan Pengarah Urusan Farmina Bio Plus Industries & Consultants Sdn. Bhd., Dr. Farmina Hassan, 50, mencari formula produk kesihatan minda saraf Farmina Bio Plus. Ia berasaskan rumusan biokimia homeopati dan bioteknologi herba.

Timbulnya idea menghasilkan produk ini ketika berhadapan dengan pelajar yang kerap menghadapi masalah mengantuk dalam kelas, lemah daya ingatan dan tidak ada semangat untuk belajar.

Wartawan UTUSAN MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto AZLI AHAD berkongsi pengalaman dengan usahawan bumiputera yang mengusahakan perniagaan homeopati di Johor Bahru ini.

MEGA: Apakah faktor yang mendorong Dr. untuk terlibat dalam produk makanan kesihatan?

DR. FARMINAH: Sebenarnya banyak faktor yang mendorong saya menceburi dunia perniagaan kesihatan khususnya dalam bidang homeopati. Antaranya ingin mengubah tabiat negatif masyarakat, anak-anak dan pelajar untuk mengubah diri mereka kepada sesuatu perkara yang positif.

Kebanyakan mereka memberi alasan tidak mampu untuk mengambil risiko dan berani dalam kehidupan seharian mereka. Faktor kekurangan dan kelemahan pada diri sendiri menjadi penghalang mereka berdikari dan berhadapan dengan masyarakat.

Faktor ini merupakan pendorong utama kerana memikirkan nasib pelajar-pelajar ini yang lemah dan tidak berdaya saing dalam pelajaran. Sokongan sumber perubatan kesihatan ini diperlukan bagi memastikan anak-anak sentiasa cergas dan sihat. Sekali gus, penerimaan mereka ketika belajar di sekolah dapat diterima dengan baik.

Paling mustahak apabila kita sebagai ibu atau guru berusaha mencari jalan penawar untuk melahirkan anak-anak yang seimbang dari segi mental, rohani dan fizikal melalui kaedah homeopati ini. Bagi melayakkan saya menceburi bidang ini, saya mengikuti kursus perubatan homeopati sejak 1982 sehingga menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Terbuka Sri Lanka pada 1994.

Bilakah perniagaan perubatan homeopati ini bermula dan siapakah pendorong utama membuka perniagaan ini?

DR. FARMINAH: Perniagaan ini bermula pada 1994 di mana ketika itu saya membuka sebuah Klinik Perubatan Homeopati di Parit Raja, Johor yang hanya merawat wanita dan kanak-kanak.

Pada permulaannya masyarakat ketika itu masih tidak mengetahui tentang perubatan ini.

Namun setelah diketengahkan melalui iklan dan promosi secara giat akhirnya, pihak kami memperoleh reaksi dan maklum balas positif. Sedikit demi sedikit masyarakat mula mempercayai kaedah perubatan ini mampu mengubati pelbagai masalah kesihatan dengan berkesan.

Saya bersyukur kerana sentiasa dimurahkan rezeki. Alhamdulillah, akhirnya perniagaan ini mendapat tempat di pasaran. Namun kejayaan perniagaan ini juga hasil daripada sokongan suami tersayang, Dr. (H) Nasir Berau, 54, yang lebih dahulu aktif dalam bidang ini.

Apakah kelebihan yang ada pada produk makanan kesihatan ini?

DR. FARMINAH: Sebenarnya produk saya ini merupakan penawar yang digunakan dalam sistem perubatan homeopati yang bersumberkan tumbuhan, bahan galian dan alam sekitar.

Produk homeopati ini dapat membantu merangsang pertumbuhan antibodi dalam badan secara semula jadi. Antara produk yang dikeluarkan oleh syarikat ialah Bio Qi (Pintar Minda)-31741 membantu pelajar-pelajar yang malas dan kurang fokus dalam pelajaran dan pekerjaan, Bio Haz-(Pintar Haz) (MAL07050949T-no pendaftaran Kementerian Kesihatan) digunakan untuk membantu pelajar yang susah belajar dan ubat permulaan bagi program peningkatan minda.

Bio Lingua - (Pintar Bahasa) digunakan untuk membantu memudahkan mempelajari bahasa dan berkomunikasi serta mengaktifkan otak sebelah kanan.

Bio Chemic Plus pula digunakan membantu menguatkan fizikal, minda dan emosi serta memperbaiki masalah-masalah kesihatan. Bio Sasmat digunakan bagi mereka yang menghadapi masalah untuk belajar subjek matematik dan mengaktifkan otak sebelah kiri. Kacip Fatimah pula khusus untuk kesihatan wanita.

Kesemua produk ini bertindak membantu meningkatkan kecergasan minda dan fizikal seseorang. Ia bukan hanya untuk anak-anak tetapi sesuai untuk orang dewasa.

Selain itu, apakah produk dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh syarikat puan?

DR. FARMINAH: Syarikat juga menawarkan produk penjagaan kecantikan seperti krim aroma terapi, krim sirih, krim muka calendula, minyak kelapa dara. Kami turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan pembangunan usahawan, kaunseling individu dan kelompok serta menganjurkan kursus peningkatan personaliti unggul.

Melalui kursus ini, syarikat melatih bakal usahawan-usahawan untuk menambah pendapatan mereka dengan menjadi pengguna dan pengedar produk makanan kesihatan syarikat.

Selain itu syarikat juga menawarkan perkhidmatan melalui peningkatan sahsiah iaitu dengan mengunakan teknik ujian psikologi, ujian personaliti, IQ dan ujian kerjaya. Bagi sektor perkilangan pula, syarikat membuat kontrak perusahaan untuk produk-produk makanan kesihatan seperti herba, homeopati dan bioteknologi.

Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi sebelum berada pada tahap ini?

DR. FARMINAH: Untuk mengeluarkan produk sendiri, ia bukan mudah seperti apa yang dilihat sekarang. Ia memerlukan kajian dan kelulusan Kementerian Kesihatan, jabatan agama Islam dan pihak-pihak tertentu.

Segala-galanya memerlukan perancangan dan penelitian di samping, mengikut piawaian yang ditetapkan.

Apakah rahsia kejayaan syarikat Farmina Bio Plus Industries & Consultants Sdn. Bhd. berjaya sehingga hari ini?

DR. FARMINAH: Rahsia kejayaan syarikat ialah menggunakan pendekatan rangkaian kerjasama antara majikan dengan pekerja.

Malah kami juga menggunakan pendekatan memberi latihan kepada pelatih-pelatih, di samping mengawal perbelanjaan syarikat dengan sistematik. Syarikat mengamalkan sistem berlandaskan Islam dengan tidak mengambil untung yang berlebihan malah mengamalkan konsep kesederhanaan untuk mendapatkan keuntungan yang berpatutan.

Apakah visi syarikat untuk tempoh 10 tahun akan datang?

DR. FARMINAH: Kami merancang meningkatkan ekonomi syarikat di samping membantu umat Islam pada tahap global. Dalam memperjuangkannya, syarikat menjana idea daripada pelbagai bidang seperti pendidikan, perubatan, pentadbiran, psikologi dan sosial serta teknologi maklumat.

Bagi yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai produk atau syarikat ini boleh menghubungi talian 07-453 2910 atau 019-745 2755.