Home » » Shah Rizal Jutawan ICT

Shah Rizal Jutawan ICT

Written By kall on Tuesday 24 July 2007 | 09:07



Pengarah Urusan SNC cuma dapat Pangkat Tiga dalam SPM kini sasar perolehan RM100 juta


GAGAL sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Beliau pernah gagal menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana hanya mendapat Pangkat Tiga ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kegagalannya bukan bermakna beliau tidak pandai dalam pelajaran, tetapi sebaliknya terlalu asyik bersukan hingga mengabaikan pelajaran.

Kini Shafik Rizaal Saaban menerajui sebuah syarikat penyelesaian kreatif, khidmat runding dan perkhidmatan teknologi maklumat untuk pelbagai sektor yang dikenali sebagai Kumpulan SNC, yang mensasarkan perolehan RM100 juta tahun ini, berbanding RM40 juta pada 2006.

Kumpulan syarikat itu dianggotai antara lain, SNC Associates Sdn Bhd, SNC Mediavalley Sdn Bhd, SNC Spatial Technology Sdn Bhd dan i-SNC Multiple Holdings Sdn Bhd, yang masing-masing adalah syarikat yang aktif dengan sokongan hampir 70 orang kakitangan.

Pengarah Urusan Kumpulan SNC itu ketika usianya sedang meningkat dewasa, begitu asyik bersukan. Pembabitannya, terutama dalam sukan bola sepak, tenis dan berenang, bukan saja di peringkat sekolah, malah hingga di peringkat negeri.

Begitu menggilai bola sepak dan kegilaannya itu juga yang menjadi kemarahan bapanya ketika di zaman persekolahannya.

Sampai pada satu tahap iaitu ketika beliau di Tingkatan Empat, bapanya memotong kasut bolanya hingga putus empat, dengan kapak!!. Ini semata-mata kerana sudah tidak tahan dengan masa yang dihabiskan begitu lama untuk sukan berkenaan hingga mengabaikan pelajaran.

Namun, kemarahan bapanya itu tidak menjadi penghalang kepada Shafik Rizaal untuk meneruskan minatnya itu, kerana beliau sentiasa mencari jalan untuk bermain bola termasuk meletakkan kasut dan pakaian sukan di rumah rakan.

Ketaksubannya dalam sukan itu juga menyebabkan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Seri Amar DiRaja, Muar itu memperoleh keputusan kurang baik dalam SPM dengan mendapat Pangkat Tiga.

Dengan keputusan peperiksaan berkenaan, beliau gagal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dan ketika inilah beliau merasa begitu tercabar sebagai anak seorang guru Bahasa Inggeris yang kuat disiplin dan cukup disegani di sekolah di tempat beliau belajar, tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bapanya, Saaban Salim, adalah seorang yang kuat belajar dan kini sudah bergelar Profesor dan mengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Melaka.

Bertentangan dengan sifat bapa, ibunya, Azizah Abdul Rahman, seorang Jururawat, di Hospital Muar, bagaimanapun menjadi tempat bagi Shafik Rizaal dan dua lagi adik beradiknya untuk mengurangkan tekanannya apabila menjadi mangsa kemarahan bapa.

Berikutan kegagalannya itu, beliau lantas membuat keputusan mengulangi peperiksaan peringkat Tingkatan Lima, di Institut Maharani, dan bertekad untuk mengurangkan aktivitinya serta memberi lebih sedikit tumpuan kepada pelajaran.

Keputusan Shafik Rizaal itu tidak sia-sia apabila mendapat peluang untuk menyambung pelajaran dalam bidang Seni Rekaan Grafik di UiTM, ketika itu Institut Teknologi Mara (ITM).

Bidang pengajian itu dipohon hanya semata-mata kerana mahu mengelakkan mata pelajaran matematik, selain beliau memang mahir dalam bidang lukisan.

Pada hari pertama melaporkan diri di UiTM, ketika sesi penerangan, seorang daripada pensyarahnya, berkata fakulti berkenaan akan memilih 14 pelajar terbaik untuk menyambung pendidikan di luar negara, iaitu di Britain dan Australia.

Mendengar saja penerangan berkenaan, beliau bertekad untuk menjadi seorang daripada calon dan memberi tumpuan untuk belajar, sambil terbabit juga dalam bidang sukan, tetapi tidak begitu serius.

Minat yang mendalam beliau ketika belajar di institut pengajian tinggi beralih kepada satu bidang lain yang turut bercanggah dengan pendapat bapanya.

Kali ini beliau berminat pula untuk menjadi pemuzik dan begitu asyik dengan kumpulan gitar bass, tetapi mungkin kerana usia yang sudah matang, minatnya dapat dikawal.

Tambahan pula, hasratnya untuk menyahut cabaran bapanya untuk melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara, mengatasi segala-galanya.

Shafik Rizaal berlepas ke Midland, United Kingdom pada semester keempat di UiTM dan menyambung pengajian di Universiti Steffordshire, dalam bidang Grafik Multimedia.

Balik ke Malaysia pada 1998 dengan berbekalkan pengkhususan dalam teknologi animasi dua dan tiga dimensi, beliau menjadi Pensyarah di Kolej Cosmopoint dan kemudian di Universiti LimKokWing, sebelum mengajar di UiTM Cawangan Melaka hingga 2001.

Di UiTM Melaka, bermula beliau bertemu isteri, Norhaslinda Bakar, yang juga pelajar di kelasnya dan kebetulan berasal dari kampung yang sama. Jika percintaan sedemikian biasa dilihat dalam drama, tetapi ini benar-benar dialaminya.

Beliau kemudian berhenti sebagai Pensyarah apabila mendapat tawaran berkhidmat di Bahagian Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri untuk mengendalikan tugas khas di unit Anti-Keselamatan.

Khidmatnya sebagai kakitangan kerajaan bagaimanapun tidak lama, apabila beliau bertemu dengan rakan yang menggalakkan beliau untuk menceburi bidang perniagaan.

“Pada awalnya sukar membuat keputusan, tetapi galakan demi galakan diterima daripada rakan serta sahabat karib membuatkan saya teruja dan memberanikan diri berhenti kerja pada akhir 2002,” katanya yang banyak mendapat galakan daripada mentornya, Datuk Wan Malik Ibrahim, individu yang banyak memberi panduan mengenai bagaimana membangunkan perniagaan tanpa modal.

Dengan berbekalkan wang RM2,500 termasuk kos mendaftarkan SNC pada 2003, Shafik Rizaal tidak menoleh ke belakang, sebaliknya memacu Kumpulan SNC ke satu tahap hingga dicapainya sekarang dan syarikatnya kini juga sudah sedia mengembangkan sayap ke luar negara.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam perniagaan, beliau berkata ia tidaklah begitu mudah, malah isteri dan anak pertamanya pernah melalui pengalaman menahan lapar selama beberapa hari kerana tong beras yang kontang, dan peti sejuk yang tidak berisi.

Beliau bagaimanapun bertekad tidak akan membiarkan perkara itu berulang, dan kejadian itu seperti pembuka semangat kepadanya untuk berusaha lebih keras bagi memastikan perniagaannya sentiasa berjaya.

Sepanjang menerajui syarikatnya, Shafik Rizaal juga pernah ditipu rakan kongsi yang bertindak sebagai penjaga akaun syarikat membabitkan membabitkan kerugian wang berjumlah lebih RM1 juta dan ini menjadikan beliau lebih berhati-hati terhadap orang yang dipercayainya.
Kejadian itu secara tidak langsung mendorong beliau melantik isterinya yang banyak memberi semangat kepadanya untuk memajukan syarikat di awal perniagaan, sebagai Pengarah Kewangan Kumpulan SNC. Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata.

Pada usia yang begitu muda iaitu 33 tahun, Shafik Rizaal boleh dijadikan rujukan bagi kejayaan pembinaan modal insan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan golongan muda negara untuk meraih pengalaman yang boleh dijaja ke luar.

Hasratnya kini mahu melihat Kumpulan SNC menjadi syarikat IT yang mampu melaksanakan semua projek yang diperoleh syarikat tanpa menyerahkan kepada pihak lain kerana yakin dengan kemampuan sendiri.

“Dalam tempoh lima tahun lagi, kami merancang untuk menerokai pasaran Asia Pasifik menerusi penyediaan penyelesaian bersepadu yang bakal dihasilkan Kumpulan SNC,” katanya.

INFO:

# Kumpulan SNC ditubuhkan pada 2003

# Ibu pejabat di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

# Akan berpindah ke pejabat baru di Damansara Neo pada akhir 2008.

# Projek pertama bernilai RM190,000 daripada Jabatan Perdana Menteri.

# Kontrak pertama - sistem pengesanan muka dan cap jari tiga dimensi.

2 comments:

Climacool said...

tahniah shah rizal

Anonymous said...

wow dah jadi jutawan ye En Shafik... opss minta maaf .. Datuk Shafik

Dulu sy panggil En Shafik je... sbb dia lecturer sy...

tahniah !