Home » » Masoni penjual muda beras di United Kingdom

Masoni penjual muda beras di United Kingdom

Written By kall on Monday 16 May 2011 | 23:43



Masoni Pitri menunjukkan sebahagian beras Basmati yang dikeluarkan daripada gudangnya untuk dipasarkan di United KIngdom, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Mei - Harga beras yang lebih mahal di United Kingdom (UK) telah menjadi cetusan idea kepada Masoni Pitri; 32, untuk menjadi pembekal makanan tersebut kepada rakyat Malaysia di sana khususnya golongan pelajar dengan bekalan diperoleh dari Pakistan.

Bermula tahun 2008 melalui syarikat MP-RiceWorld UK Ltd. dengan modal sebanyak 65,000 pound sterling ketika itu, pemasaran dilakukan dengan menggunakan jenamanya sendiri iaitu Masoni Basmati yang dihantar kepadanya di Pelabuhan Southampton; UK.

Beliau, kemudiannya menjual pula beras menerusi ketua komuniti Malaysia di London, Sheffield, Manchester, Cardiff, Birmingham, Newcastle, Glasgow, Leicester, dan Dublin pada harga yeng lebih rendah berbanding di kedai runcit.

"Setelah mendapat keyakinan, barulah saya menjual kepada kedai runcit atau pasar raya yang menyediakan ruang jualan produk makanan Asia di bandar-bandar tersebut," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, beras basmati sesuai untuk masakan nasi beriani itu turut dibeli oleh penduduk Islam yang lain di sini kerana harga yang lebih kompetitif. Sebanyak 80 peratus pengguna di UK menggunakan jenis beras tersebut dalam masakan harian.

Keuntungan kasar penjualan beras sekitar 5,000 pound sterling sebulan dan kuantiti berjaya dijual sebanyak 20 tan, pembungkusan pula pada kuantiti seberat lima kilogram (kg) hingga 20 kg dengan julat harga daripada 6.99 hingga 21.99 pound sterling.

Pada awal perniagaannya, Masoni melakukan jualan dengan menjelajah secara bersendirian ke seluruh UK berpusat dari gudang simpanannya di Sheffield selama sepuluh hari berturut-turut.

"Saya membawa van bermuatan beras seberat dua tan sehari, untuk dihantar kepada wakil pembeli dengan jarak perjalanan sehingga 1,300 kilometer.

"Setiap hari saya pulang sampai ke rumah sekitar pukul 4 pagi sehingga stok sebanyak 20 tan di gudang habis," kata beliau yang juga bekerja sebagai Jurutera Penyelidikan Komponen Kereta di sebuah syarikat mutinasional di negara asing itu.

Antara pasar raya yang kini memasarkan produknya ialah Costcutter UK Ltd., 99p Stores UK Ltd, Global Foods Cardiff dan pelbagai pasar raya lain di mana jumlah keseluruhan cawangan melebihi 1,000 buah.

Setelah mencipta jaringan pasaran, syarikatnya telah bekerjasama dengan beberapa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk menjadi pengedar tunggal produk PKS tersebut ke UK.

Produk itu adalah jus buah-buahan, kicap, pelbagai sos dan jem, ikan bilis, bihun, ubat gigi, kuih- muih dan makanan dalam tin. Kesemuanya itu diangkut dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Southampton.

Katanya, setiap bulan satu kontena mengandungi produk PKS tersebut bernilai RM100,000 akan dibawa dan harganya di UK diletakkan pada kadar lebih mahal kerana dikenakan cukai dan kos penghantaran.

"Contohnya, kicap yang dijual di Malaysia berharga RM6 sebotol, manakala di UK menjadi 2.7 pound sterling sebotol (RM12.5). Keuntungan kasar syarikat bagi produk selain beras setiap bulan sekitar 3,500 pound sterling," kata beliau.

Mengulas prospek perniagaanya, Masoni menyatakan, permintaan produk halal di Eropah kini mencecah sehingga AS$60 bilion (RM180bilion) setahun. Katanya, dengan penduduk Muslim seramai 2.8 juta di UK dan 50 juta seluruh Eropah, ia menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Beberapa produk PKS seperti keropok, budu dan belacan sering dipesan oleh rakyat Malaysia di sana.

"Sayangnya, kebanyakan produk ini masih tidak mendapat sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) daripada Penguatkuasa Keselamatan Makanan UK (FSA UK) sekali gus menyukarkannya memasuki negara itu," jelas beliau.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan dana tambahan RM2 juta bagi pembinaan gudang sendiri di Pelabuhan Klang untuk memudahkan penghantaran dan kawal selia stok.

"Usaha ini dapat mewujudkan pusat halal Eropah bagi produk Malaysia berpusat di UK ke serata Eropah. Dalam masa terdekat, syarikat akan berusaha meluaskan pasaran ke Belanda, Qatar serta Arab Saudi.

"Tahun ini, kami menyasarkan perolehan tertinggi iaitu RM10 juta. Dalam tempoh lima tahun, kami mahu meningkatkan nilainya kepada RM250 juta," kata beliau yang mengharapkan kejayaannya menyuntik semangat kepada peniaga bumiputera menerokai perniagaan luar sempadan.

Masoni boleh dihubungi menerusi e-mel, masoni@mp-riceworld.com atau melayari laman sesawang www. mp-riceworld.com atau www.masoni.co.uk.