Home » » Jenama Petani mahu tembusi Asia Barat

Jenama Petani mahu tembusi Asia Barat

Written By kall on Sunday 22 May 2011 | 23:42



ZULKIFLI Khalid menunjukkan antara produk minuman herba keluaran Syarikat Zulkifli Bamadhaj Sdn.Bhd.


MUAR 20 Mei - Pengeluar produk herba jenama Petani, Zulkifli Bamadhaj Sdn. Bhd. berhasrat untuk menembusi pasaran Asia Barat pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Zulkifli Khalid berkata, produk syarikatnya mendapat maklum balas menggalakkan daripada masyarakat Arab menerusi penyertaan dalam dua ekspo perniagaan di Dubai pada Januari dan Mac lalu.

"Menerusi kerjasama dengan Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), kita berjaya membuka jaringan perniagaan dan masyarakat di sana berminat untuk jenama Petani dieksport ke Dubai.

"Buat permulaan, kita akan memberi tumpuan kepada produk minuman kesihatan pra campuran seperti Teh Sarbat Petani, Fury Cafe Petani serta Kacima Cafe Petani memandangkan prospek pasarannya yang luas di negara tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, pihaknya sedang melakukan kajian lanjut mengenai pasaran Asia Barat dan pelbagai persiapan perlu dijalankan dari segi penjenamaan, pemasaran dan pelbagai kriteria lain.

"Dubai memang permulaan yang baik untuk memasuki pasaran negara-negara Arab kerana negara tersebut menjadi tumpuan di rantau tersebut.

"Kami turut yakin produk-produk untuk kesihatan lelaki, produk pelangsingan badan serta kesihatan rambut juga boleh mendapat pasaran di negara-negara Arab," katanya lagi.

Jelas beliau, dengan sejarah syarikat yang bermula pada 1965, pihaknya telah pun mengeluarkan 85 produk berasaskan herba dan ubat-ubatan tradisional di negara ini.