Home » » Formula kejayaan Jafri

Formula kejayaan Jafri

Written By kall on Sunday 1 May 2011 | 12:08

MANTAP...kakitangan menyokong usaha Jafri (tiga dari kanan) memajukan syarikat.
MANTAP...kakitangan menyokong usaha Jafri (tiga dari kanan) memajukan syarikat.

BELUM setahun jagung rumah tangga dibina pada 1986, dia melalui ujian getir apabila perniagaan hartanah dijalankannya goyah gara-gara kegawatan ekonomi.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai, namun selaku ketua keluarga, cabaran dihadapi tidak merapuh­kan semangat Datuk Dr Jafri Saamah, 48, untuk bangkit kembali sekalipun gajinya dipotong bagi mengurangkan beban syarikat.


  • Foto

    TURUN PADANG...meninjau pekerja menangani masalah kenderaan serta memastikan penggunaan minyak memenuhi kehendak pelanggan.

  • Foto

    BANGGA...Jafri dengan produk syarikatnya yang bersifat mesra alam.

  • Foto

    BAHAGIA...kenangan bersama keluarga pada Aidilfitri tahun lalu.

  • Foto

    KOMITED...bersama sebahagian kakitangan syarikat dalam satu majlis.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Jafri membuang rasa malu dengan berniaga di pasar malam di Lembah Klang. Masanya sentiasa terisi kerana sesekali bagi menambah pendapatan, dia mencuri peluang membuka gerai menjual roti canai untuk menampung keperluan yang mendesak.

Selang beberapa tahun kemudian, sekali lagi ekonomi kurang memberangsangkan melanda negara. Ujian dihadapi lebih perit berikutan perniagaan berasaskan industri automobil sebagai pengedar kereta nasional yang dijalankannya ketika itu sukar mendapat pinjaman bank.


“Selepas hampir dua kali mengalami kejadian sama, ia mengajar saya menggunakan kreativiti bagi merencanakan perniagaan terbaik untuk bangkit semula. Justeru, saya percaya kena ada ‘peranca­ngan’ atau formula bersistematik supaya perkara sedemikian tidak berulang lagi.

“Bukan hanya perancangan penting, tetapi mengkaji bagaimana untuk berjaya semula dengan memanipulasi sumber yang ada. Jika itu dapat diatasi, saya yakin formula itu dapat memberi kesan baik untuk jangka panjang,” katanya yang mengakui setiap ujian ada hikmah tersendiri.

Memetik pepatah Inggeris, ‘no pain, no gain’, siapa sang­ka selepas lebih 20 tahun memerah keringat dalam perniagaan, Jafri kian melakar perniagaannya dalam bidang automobil dan minyak platinum serta gas di samping turut menyediakan rangkaian atau bengkel berkaitan permotoran.

“Walaupun banyak produk sedia ada di pasaran tempatan, saya yakin terhadap keupayaan dan ketahanan minyak yang kami import dari Amerika Syarikat.

“Setiap minyak mempunyai ketahanan atau kehebatan berbeza-beza, namun kami percaya produk kami boleh pergi lebih jauh.

“Intensif daripada kerajaan menjadi pemangkin kepada kami untuk menjadikan perniagaan ini titik tolak penting bagi menggalakkan penggunaan minyak ini yang ternyata mempunyai kualiti­nya tersendiri,” katanya.

Tidak tahu duduk diam, bersama pengarah dan pihak pengurusan syarikat, Jafri mencetus rangkaiannya bagi menguji kemantapan minyak berkenaan untuk dikaitkan dengan enjin, teknologi yang digunakan dengan melakukan testimoni pengguna, mekanik berkaitan permotoran, penuntut universiti bahkan pelumba bagi mendapatkan respons untuk produk itu.

Katanya, ia penting bagi mendapat gambaran jelas kerana kumpulan sasaran itu atau kenyataan yang diper­oleh adalah penentu kepada produk berkenaan untuk bertahan lebih lama atau setanding serta mampu duduk sebaris dengan produk yang ada nama hebat di pasaran.

“Kami banyak menguji kehebatan kereta nasional dan jenama lain yang terkenal, terutama daripada segi teknologi tanpa geseran (ZFT) yang diformulasikan daripada teknologi nano yang membezakan minyak jenama platinum dengan minyak yang lain untuk bersaing secara sihat.

“Sehingga kini beberapa pelumba menguji kereta mereka menggunakan minyak platinum kami dan seorang pelumba wanita turut ditaja syarikat dalam perlumbaan serta mendapat podium (memenangi tempat kedua) dalam acara yang dianggap berprestij baru-baru ini,” katanya.

Dia tidak menafikan kebanyakan pelumba, mekanik mahupun mereka yang berkaitan dalam permotoran menjadi elemen penting kepada syarikat pengeluar minyak lubrikasi sepertinya untuk diuji kewibawaan.

Untuk itu, katanya, kolaborasi dengan kolej dan universiti yang berkaitan bagi memantapkan pengetahuan mengenai produk berkaitan minyak platinum juga penting.

Mengenai syarikat pengedaran berkaitan kereta nasional iaitu Proton Edar miliknya di Taman Keramat, Ulu Klang dan Bandar Baru Ampang, dia mengakui masih aktif daripada segi operasi jualan dan perkhidmatan.

Selain itu, dia memegang jawatan pengerusi dalam persatuan berkaitan permotoran dan turut memegang jawatan penting dalam aktiviti kemasyarakatan serta ligat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu badan kebajikan yang berkaitan rumah orang tua, anak yatim serta golongan kurang upaya (OKU) menjadi kayu ukur terbaik buatnya.

Jafri menyatakan rasa syukurnya apabila dianugerahkan keluarga bahagia dan berjaya, membuatkan mereka sering mencari masa berkualiti untuk sentiasa bersama sama ada melakukan aktiviti atau riadah mahupun melancong di dalam dan di luar negara apabila ada waktu terluang.

“Saya bangga atas soko­ngan padu keluarga yang memahami kerjaya ini. Begitu juga, penting kepada anak bila dapat mendedahkan mereka dengan kehidupan golongan susah apabila mereka turut menyertai aktiviti kemasyarakatan yang saya ceburi supaya mereka bijak menghargai kehidupan ini,” katanya.


PROFIL

NAMA: Datuk Dr Jafri Saa’mah
JAWATAN: Pengurus Besar Kumpulan, Platinum Oil & Gas Sdn Bhd
UMUR: 48 tahun
ASAL: Segamat, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Doktor Kehormat Kemanusiaan, Universiti Jerusalem, Chennai, India
ISTERI: Datin Sarina Osman
ANAK: Nurshazlin (22), Mohamad Alif Azri (19) dan Mohamad Aiman Azali (13)

MINAT dalam dunia permotoran atau yang berkaitan industri automotif mendorong anak kedua Jafri, Muhamad Alif Azri, 19, mempelajari bidang berkenaan di sebuah kolej terkenal di ibu kota. Sebagai pelumba kereta, Alif dijadikan Jafri sebagai bahan ‘testimoni’ kepada produk keluaran syarikatnya, sekali gus ia bagi memanfaatkan minyak platinum itu dalam perlumbaan diwakili Alif atau untuk kegunaan harian pada keretanya.

Menurut Jafri, anaknya berminat dalam lumba kereta kerana terdedah kepadanya sejak kecil. Seawal usia sembilan tahun, Alif menyertai pertandingan ‘go kart’ di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Selain menjadi pelumba Petronas dan Formula BMW Asia Championship (2009), rakan kolejnya yang menggunakan minyak itu akan memberikan maklum balas berkaitan kelebihan atau kekurangan produk itu, jika ada.

“Jika dia memperoleh sumber atau maklumat tertentu, segala-galanya dimaklumkan dari semasa ke semasa, terutama apabila dia serta pelumba lain memberikan penilaian atau hal berkaitan dan ia sangat membantu.


“Sebagai penuntut dalam bidang berkaitan dengan me­ngambil diploma dalam bidang permotoran, ia sesuatu yang membanggakan, justeru mempunyai minat serupa dengan saya dan bangga dapat menurunkan ilmu di bidang ini kepada generasi seterusnya.

“Saya yakin anak kedua saya mampu melangkah lebih jauh kerana melihat dia fokus dalam apa diminatinya, penting juga sebagai ibu bapa memberi galakan kepada anak untuk terus meningkatkan kemahiran diri,” katanya.

Sasaran yang ingin dicapai Jafri menjelang akhir tahun ini adalah berhasrat mencapai 200 stokis atau pusat servis yang memanfaatkan minyak itu.

“Saya bangga sehingga kini 20 pusat servis dalam kereta, motor di Lembah Klang menggunakan minyak kami,” katanya.

Meletak pegangan dan matlamat syarikat dengan ‘motto’ iaitu mendahului yang lain dalam teknologi tanpa geseran itu, Jafri yakin pengguna perlu dididik supaya menyayangi kenderaan mereka dengan mengamalkan penggunaan minyak berkualiti.

“Sebenarnya kita mahu mengajar pengguna menggunakan khidmat pengedar yang benar-benar diiktiraf dan terlatih mengenai produk ini supaya mereka tahu bagaimana memanfaatkan produk ini,” katanya.

2 comments:

yanmaneee said...

yeezy supply
air yeezy
goyard
vans outlet
supreme
nike shox for men
adidas ultra
balenciaga
supreme
kd 11 shoes

sebin said...

read this post here y9u17m7x92 bag replica high quality replica bags hong kong check that k0k52j6c27 replica ysl handbags replica bags in london replica bags koh samui replica gucci q8v72u5k87 replica bags from korea