Home » » Tokey Pati Halia Tak Pernah Buat Pinjaman Untuk Berniaga

Tokey Pati Halia Tak Pernah Buat Pinjaman Untuk Berniaga

Written By kall on Sunday, 8 June 2008 | 19:58


SIKAPNYA yang merendah diri, sedikitpun tidak me nampakkan beliau seorang Pengarah Urusan di sebuah syarikat Bumiputera berjaya.

Malah, ketika dipelawa untuk menyertai ruangan ini, Rushdi Abdullah, 38, pantas menolak pada awalnya dengan alasan dirinya tidak layak.

“Saya masih tak layak, tiada rumah atau kereta besar seperti mana orang lain (yang pernah disiarkan sebelum ini),” katanya.

Namun, selepas dipujuk dan diyakinkan beberapa kali, anak muda yang berjawatan Pengarah Urusan Dunia Herbs Sales & Marketing, (pengeluar produk Losyen Mustajab Pati Halia), tidak mampu menolak.

Penulis meyakinkannya, rumah atau kereta besar adalah bonus yang turut melambangkan kejayaan seseorang namun pada diri Rushdi, pengalamannya menubuhkan syarikat yang baru setahun jagung bermula daripada seorang kakitangan sehingga kini 35 orang selain produknya yang berjaya dijual 120,000 botol sebulan, cukup untuk melayakkannya mengisi ruangan kali ini.

Di samping itu, beliau juga salah seorang usahawan yang agresif mengiklankan produknya di media terutama akhbar ini yang sinonim dengan warna kuning dan oren sama seperti warna produk Pati Halia.

“Sebenarnya saya segan dan rasa tak sesuai untuk ruangan ini,” katanya membuka bicara dalam satu pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Begitupun, ketika topik perbincangan menyentuh pro duknya, Rushdi rancak berbual sambil diselang-seli deraian tawa dan senyuman. Malah, pada satu ketika, Rushdi sedih dan hampir menitiskan air mata apabila bercerita mengenai kesusahan yang dilaluinya satu masa dulu.

Sepanjang bertemu dengannya, orangnya peramah, mudah didekati dan mempunyai banyak idea terutama untuk me majukan syarikat.

Tidak menghairankan, kurang empat tahun Pati Halia diperkenalkan, produk itu kini boleh diibaratkan bagai pisang goreng panas yang menjadi rebutan.

Dikatakan demikian, setiap hari purata 4,000 botol Pati Halia ditempah sama ada diambil sendiri pengedar atau stokis serta dihantar ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sa rawak.

Melihatkan senario itu, Rushdi seharusnya boleh menarik nafas lega atau duduk diam namun katanya ini baru per mulaan, banyak lagi perlu dilakukan.
“Kami baru ada satu produk dan akan tambah beberapa lagi pada masa depan selain buat pembungkusan baru. Selepas itu, saya berhasrat memasuki pasaran global,” katanya.

Pati Halia yang dikeluarkan itu sesuai kegunaan seisi keluarga terutama ibu selepas bersalin untuk membantu menghilangkan kesan 'pecah' di perut, selulit, kembung perut, sengal otot dan sendi, sakit pinggang, kebas tangan dan kaki, melegakan angin dalam badan, perut atau gastrik.

Kelebihannya kata Rushdi, ia menggunakan 100 peratus pati halia yang dapat mempercepatkan penyerapan, tidak ber minyak dan sesuai untuk tujuan urutan bagi memecahkan lemak serta menjadikan badan lebih langsing.

Rushdi berkata, khasiat yang ditawarkan produk itu sama seperti yang ada pada halia tetapi ia dihasilkan dalam bentuk ekstrak dan losyen.

Sebenarnya, idea mengkomersialkan halia timbul berikutan Rushdi sendiri mengalami masalah angin dalam badan selain dia suka minuman berkenaan.

“Idea ini wujud pada 2005 ketika saya minum air halia. Saya terfikir cara lain untuk menghilangkan masalah angin selain minum. Selepas itu, saya jumpa pakar minta buat kajian di makmal mengenai halia.

“Dalam tempoh beberapa bulan, formula dalam bentuk losyen ini dihasilkan namun cabaran menanti iaitu me masarkannya. Awalnya, saya hanya menjual kepada kenalan dan saudara. Mereka cuba dan mengakui ada kesan dan ia disampaikan mulut ke mulut,” katanya.

Pada masa sama, tidak kira siang atau malam, Rushdi membawa produknya ke hulu ke hilir diiringi seorang kakitangan.

Pengalaman manis katanya, dia bersama kakitangan ber kenaan, melakukan semua kerja daripada menampal label, pembungkusan, tempahan sehingga penghantaran.

Berkat kesabaran, produknya semakin hari mendapat sam butan, daripada puluhan botol sehari, ia meningkat ratusan dan kini melebihi 100,000 botol sebulan. Begitu juga bermula daripada seorang kakitangan, kini memiliki 35 orang ter masuk di Restoran Sabak, Taman Melati selain anak syarikat, Beauty Herbs Marketing hanya tidak sampai empat tahun.

Bagaimanapun, kejayaan yang dilalui Rushdi, tidak se mudah disangka. Sebelum penubuhan Dunia Herbs Sales & Marketing, anak kedua daripada enam beradik itu pernah berniaga menjual tudung dan kuih cha koi.

Katanya, bermodalkan RM10,000 hasil perniagaan cha koi, dia menghasilkan Pati Halia dan membuka syarikat.

Namun, pengalaman paling tidak dilupakannya apabila terpaksa menutup perniagaan menjual tudung yang di usahakan bapanya, Abdullah Che Wel.

“Dari kecil, selepas habis sekolah, ayah bawa saya ke kedai membantunya berniaga. Ketika di sekolah menengah, ke luarga berpindah ke Kuala Lumpur kerana ayah dapat kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Selepas habis sekolah, saya bantu ayah dan pada usia 23 tahun, ayah amanahkan kedainya kepada saya. Namun, saya tidak dapat uruskan dengan baik sehingga ia ditutup lima tahun kemudian dan saya akui ia kesilapan sendiri,” katanya sebak.

Pada masa itu, katanya, ibu dan bapanya sudah pulang ke Kelantan dan berasa bertanggungjawab di atas kegagalannya, Rushdi tekad tidak mahu pulang sebaliknya mahu menebus kembali dengan kejayaan satu hari nanti.

“Selepas kedai ditutup, saya kecewa dan putus asa malah menyewa di sebuah bilik meskipun ada saudara di sini. Saya mencari kerja dan diterima di sebuah syarikat pemaju namun mampu bertahan lima bulan saja.

“Saya fikir saya perlu berdikari dan selepas berhenti, saya menjual cha koi selama dua tahun. Perniagaan mendapat sambutan dan hasil daripada berniaga itu saya gunakan untuk mengusahakan produk Pati Halia ini,” katanya.

Empat tahun berkembang sehingga mendapat sambutan menggalakkan, perniagaan Rushdi tidak terkecuali 'diusik' apabila wujudnya produk tiruan di pasaran yang dikesan tahun lalu.

“Saya sedih dan kecewa apabila dapat tahu ada produk tiruan, saya minta mereka yang menjumpai atau hadapi masalah selepas menggunakannya, hubungi kami di talian 03-40232440 supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Profil
NAMA: Rushdi Abdullah
USIA: 38 tahun
LAHIR: 14 Jun 1970 di Rantau Panjang, Kelantan
JAWATAN: Pengarah Urusan Dunia Herbs Sales & Mar keting
ANAK SYARIKAT:
1) Beauty Herbs Marketing (Pengeluar produk kecantikan dan kesihatan wanita)
2) Restoran Sabak (Taman Melati, Gombak)
ISTERI: Suhaini Hanafi, 23 tahun
PENDIDIKAN: 1) Sekolah Rendah Kebangsaan Rantau Panjang, Kelantan
2) Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, Kuala Lumpur


Tak Pernak Buat Pinjaman


SEBELUM menubuhkan syarikat dan mengeluarkan produk sendiri dengan jenama Losyen Mustajab Pati Halia pada 2006, Rushdi Abdullah tiada sedikitpun pengalaman apatah lagi ilmu atau pendidikan dalam bidang berkenaan.

Namun, anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu tidak menjadikan ia halangan sebaliknya minat, keyakinan dan kesungguhan sandaran utama untuk melangkah ke depan.

Rushdi bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilalui hari ini bagaimanapun beliau yakin dan percaya dengan ketentuan serta rezeki kurniaan Allah SWT.

“Saya terkejut, bayangkan daripada tiada apa-apa malah pernah jatuh satu ketika, kini perniagaan semakin mendapat sambutan. Begitupun, nak dikatakan berjaya, masih jauh lagi namun saya sangat bersyukur,” katanya.

Menurutnya, ilmu yang diperoleh daripada pengalaman dan cabaran dihadapi di samping bantuan pakar serta mereka yang mahir banyak mencorakkan kejayaan hari ini.

“Saya gabungkan semua ini untuk menghasilkan produk losyen dan mungkin sudah rezeki ia diterima masyarakat,” katanya yang bermula daripada bawah sehingga dikenali di seluruh negara.

Untuk usahawan baru atau mereka yang hendak terbabit dalam sesuatu perniagaan, Rushdi ada petua sebagai pan duan.

“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, masalah orang kita (Melayu) ialah modal, strategi pemasaran dan pembungkusan. Bagi yang tiada modal, mulakan dengan apa yang ada namun jika ada modal banyak sekalipun, ia belum tentu berjaya jika tidak pandai uruskan.

“Kita juga perlu ada ilmu dan bijaksana menggunakan modal yang ada selain strategi pemasaran, pembungkusan dan pengurusan diuruskan sebaiknya.

“Selain itu, iklan antara medium terbaik dan penting untuk promosikan produk dan ia mesti kena pada masa dan golongan sasar,” katanya.

Rushdi berkata, seseorang usahawan juga harus memiliki sikap jujur di samping bekerja kuat dan kreatif.

“Pelanggan hari ini semakin bijak dan matang, jika kita tidak jujur, sukar untuk mereka percaya di samping semangat untuk bekerja kuat, 'work smart' bukannya 'work hard',” katanya yang mengakui syarikatnya perintis kepada produk berasaskan halia.

Menarik mengenai Rushdi, dia tidak pernah membuat pinjaman dari awal perniagaan hingga ke hari ini kerana katanya ia boleh menimbulkan masalah kemudian hari.

Mengenai perancangan syarikatnya, menurut Rushdi, pi haknya dalam proses mengeluarkan produk baru selain mensasarkan produk syarikat memasuki pasaran luar negara seperti Timur Tengah, Asia dan Eropah.

Selain itu, syarikatnya juga berhasrat mengkomersialkan herba lain seperti serai dan kunyit melalui kerjasama dengan pelbagai agensi.

sumber: hmetro.com.my