Home » » Jutawan Busana Muslimah

Jutawan Busana Muslimah

Written By kall on Friday, 6 June 2008 | 09:23


KEPAYAHAN mencari dan memperoleh pakaian Muslimah untuk keempat-empat anak perempuannya, menyebabkan jurutera elektrik di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang selama tujuh tahun demi menghasilkan rekaan pakaiannya sendiri, sekali gus memberi pilihan dan kemudahan kepada kaum ibu sepertinya.

Pun begitu, keputusan tersebut bukan mudah bagi graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir. Anizah Zainudin, 33 tahun, lebih-lebih lagi setelah memiliki pekerjaan selesa serta bergaji lumayan.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, SHAIFUDIN MOHD. NOR menemubual ibu muda berasal dari Kuala Selangor ini berkongsi pengalaman beliau menubuhkan butik busana Muslim yang bercita rasa moden khas buat kanak-kanak dengan menggunakan jenama AL AMIN Kids di kedainya yang terletak di SACC Mall, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

MEGA: Adakah anda pernah terfikir berkecimpung dalam dunia perniagaan sebelum ini dan apakah yang membuka jalan anda ke arah bergelar usahawan?

ANIZAH: Langsung tidak pernah. Ini kerana, semenjak zaman persekolahan lagi saya selalu diingatkan supaya belajar bersungguh-sungguh dan kemudian mencari kerja yang baik.

Keinginan bergelar usahawan didorong oleh kesukaran mencari pakaian kanak-kanak yang menepati tuntutan syariat berpakaian Muslim, terutamanya menjelang hari raya.

Ia secara tidak langsung, mencetuskan satu idea untuk membuka bisnes berkaitan, selain memberi kemudahan dan mendidik cara pemakaian kanak-kanak Muslim pada peringkat awal lagi. Malah apa yang saya lakukan ini adalah satu fardu kifayah.

Semangat saya semakin berkobar-kobar apabila melihat pendapatan suami, Nasaruddin Abu Bakar, 34, hasil daripada mengusahakan bisnes pengendalian takaful mengalahkan kita yang makan gaji.

Dari situ saya dapat lihat kebenaran saranan Baginda Rasulullah SAW bahawa: Sembilan daripada 10 punca pendapatan adalah daripada sumber perniagaan. Apatah lagi, suami selalu memberi galakan dan sokongan terutamanya daripada segi pemasaran.

Berdasarkan beberapa faktor di atas, mendorong saya untuk menubuhkan perniagaan pakaian AL AMIN Kids. Cetusan atau ilham penubuhannya datang pada Mei 2007 dan direalisasikan dua bulan kemudian.

Alhamdulillah, kini AL AMIN Kids mempunyai pelbagai pilihan koleksi pakaian merangkumi pakaian untuk majlis hari lahir, perayaan, sukan, ibadah, kasual, santai dan majlis keraian serta aksesori daripada umur dua hingga 14 tahun terutamanya bagi kanak-kanak perempuan. Pun begitu, terdapat juga koleksi pakaian kanak-kanak lelaki tetapi tidaklah banyak sangat. Ini kerana pakaian kanak-kanak lelaki tidaklah menghadapi masalah berkaitan syariat berpakaian di dalam Islam.

Bagi mereka yang berminat dengan koleksi pakaian AL AMIN Kids tetapi tinggal di luar Shah Alam, ada tidak dibuka cawangan-cawangan lain bagi memberi kemudahan kepada pelanggan anda?

ANIZAH: Kami memang mengalu-alukan kunjungan pelanggan dan untuk memastikan koleksi AL AMIN Kids sampai kepada semua, kami mempunyai stokis dan pengedar. Bagi penduduk sekitar Lembah Klang, selain ke Shah Alam, mereka juga boleh berkunjung ke Giant Bandar Kinrara, Puchong atau ke Tesco Selayang.

Kami juga mempunyai stokis negeri di Kemaman, Terengganu. Manakala beberapa pengedar di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Perak dan Petaling Jaya.

Saya juga menggalakkan mereka yang berminat untuk menjadi stokis atau pengedar agar menghubungi pejabat di talian 03-5519 9488 atau layari laman web www.Alaminkids.com

Dalam penghasilan pakaian-pakaian berjenama AL AMIN Kids, selain menitikberatkan faktor syariat, apa lagi aspek yang anda ambil kira?

ANIZAH: Berbalik kepada tujuan asal saya membuka perniagaan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan pakaian terutamanya buat anak-anak perempuan saya.

Kini, alhamdulillah usaha ini bukan sahaja memudahkan, saya tetapi sekurang-kurangnya telah memberi kemudahan kepada mereka yang lain serta mendidik generasi Muslim kita dalam aspek berpakaian menepati tuntutan syariat.

Di samping itu, AL AMIN Kids turut memastikan setiap rekaan dan material yang dipilih akan memberi keselesaan kepada kanak-kanak. Penggunaan rona-rona warna yang lembut menjadi keutamaan saya.

AL AMIN Kids juga menawarkan harga yang berpatutan selain menyediakan pelbagai keistimewaan dan promosi kepada setiap ahlinya. Ini bertepatan dengan konsep yang dibawa iaitu Selesa, Sesuai dan Mampu Milik (Cool, Proper and Affordable)

Daripada jawatan yang disandang sebelum ini, tentunya anda menghadapi dilema untuk melepaskannya, apatah lagi diketahui bahawa dunia perniagaan berisiko tinggi. Oleh itu, apakah persediaan yang anda lakukan bagi menyakinkan diri mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan?

ANIZAH: Saya akui seronok bekerja walaupun dengan pendapatan gaji bulanan. Ini terbukti apabila saya pernah menerima anugerah Pekerja Cemerlang 2005.

Selain bertitik-tolak daripada kepayahan memperoleh pakaian bersesuaian untuk anak-anak, saya mula nampak masa depan luas sekiranya kita berniaga sendiri ialah daripada apa yang diusahakan suami.

Suami, Nasaruddin Abu Bakar, 34 tahun, bukan sahaja membuktikan bahawa perniagaan takaful yang diusahakan membawa pulangan yang lumayan, beliau turut berjaya melahirkan penggerak-penggerak ejen takaful yang berjaya.

Malah sebelum terjun dalam dunia perniagaan, saya terlebih dahulu belajar membuat pasaran dengan menjual takaful. Alhamdulillah dalam tempoh beberapa bulan di bawah seliaan dan tunjuk ajar suami, saya lebih berkeyakinan dan selepas mendapat lampu hijau daripadanya, saya tidak menoleh ke belakang dan terus rebut peluang ini.

Yang pasti, suami selalu latih saya untuk berniaga dan motivasi itu datang daripadanya.

Alhamdulillah, sungguhpun belum sampai setahun usia AL AMIN Kids, sambutannya sudah nampak ketara di mana ruang permintaannya adalah tinggi.

Memanglah ada yang beranggapan langkah yang diambil ini bukanlah satu langkah bijak, tetapi desakan hati yang mahu menyumbang sesuatu yang lebih bermakna, mengatasi segalanya.

Tambahan pula, keyakinan itu semakin menjadi-jadi selepas sekembalinya saya dan suami dari Mekah kerana menunaikan haji.

Sebelum ini, saya terlintas membuka perniagaan aksesori kereta tetapi berkat doa di Tanah Suci, hati saya terdorong untuk membuat bisnes pakaian kanak-kanak.

Pun begitu dengan bermodalkan RM80,000, tekad dibulatkan tetapi atas niat untuk membangunkan ummah dan bukan aspek material yang menjadi keutamaan semata-mata. Bersama suami kami bersama-sama menerajui syarikat Fokas Fikir Sdn. Bhd.

Apakah perancangan anda seterusnya?

ANIZAH: Mengakui bahawa anak-anak adalah amanah Allah. Lantaran itu, harapan kami semoga jenama AL AMIN Kids dapat memberi pelbagai pilihan fesyen kepada kanak-kanak Muslim dan mendapat sokongan daripada semua pihak.

Ia bertepatan dengan pemilihan nama jenama AL AMIN Kids iaitu bersempena dengan gelaran Rasulullah SAW iaitu 'Al-Amin' yang bermaksud amanah.

Insya-Allah, saya juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan rekaan dengan berusaha mencari idea-idea baru dan segar. Di samping itu, saya juga merancang untuk menyediakan pakaian untuk remaja.

Bagi saya kepuasan pelanggan adalah kepuasan saya juga.

sumber : www.utusan.com.my

0 comments: