Home » » Kek D’Gateaux takluk pasaran dunia

Kek D’Gateaux takluk pasaran dunia

Written By kall on Saturday 14 June 2008 | 09:57

PRODUKNYA telah jauh menjelajah sehingga ke Tahiti, beberapa negara Asia dan Eropah, di samping mengisi rak-rak di hampir semua pasar raya besar di negara ini.

Begitupun, itu masih belum cukup untuk membanggakan kepada syarikat yang baru mencecah usia lima tahun ini, kerana masih banyak yang perlu dilakukan terutama daripada segi pemasaran dan promosi agar produk bakeri yang diberi nama D’Gateaux terus dikenali ke seluruh pelosok dunia.

Impian pemiliknya hanya satu, iaitu menjelang akhir tahun syarikat perlu mendapat tempahan produk sebanyak tiga hingga empat kontena makanan sebulan.

Ini akan menjadi titik tolak kepada pencapaian yang boleh dianggap besar tetapi masih ditahap permulaan kepada Deligateaux (M) Sdn. Bhd.

Dua individu menjadi tunjang kepada kekuatan Deligateaux sudah tentu Pengarahnya, Datin Hamida Hassan dan suami, Datuk A. Sani Karim sebagai Pengerusi Eksekutif.

Hamida yang ditemui di kilang D’Gateaux di Bandar Pinggiran Subang, Subang, Selangor, memberitahu, pembabitan mereka dalam perniagaan tersebut berlaku secara kebetulan.

“Mulanya kami hanya ingin membantu rakan yang mempunyai masalah kewangan, sebaliknya telah ditawarkan untuk menguruskan syarikat.

“Saya tak pernah bermimpi untuk melibatkan diri dalam bidang bakeri kerana kami berdua tidak ada asas, saya lebih kepada bidang pentadbiran manakala suami, kejuruteraan.

“Malah, waktu itu kami sudah mempunyai syarikat kejuruteraan sendiri yang berdaya saing.

“Bagaimanapun, kami sahut cabaran itu. Kami buat beberapa pembaharuan termasuk menukar nama produk kepada Deligateaux, yang dalam bahasa Perancis bermaksud kedai kek. Kemudian kami singkatkan kepada D’Gateaux yang lebih catchy dan komersial,’’ katanya.

Sementara itu menurut suaminya, A. Sani, kini D’Gateaux mempunyai 36 produk yang merangkumi kek paun, kek buah, kek cawan, kek bulat dan brownie.

“Ia terbahagi kepada sejuk beku dan bukan sejuk beku. Konsep produk kami cukup senang iaitu sedia untuk dimakan, panas dan hidang atau menyahsejuk beku dan hidang,’’ katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai permulaan pemasarannya, Sani memberitahu, daripada hanya dipasarkan di sebuah pasar raya biasa, kini produk D’Gateaux telah berkembang ke hampir semua pasar raya besar di seluruh negara selain di kedai Mesra Petronas.

“Begitu pun, ramai pelanggan yang mungkin tidak perasan dengan produk ini kerana semua yang digunakan menggunakan jenama pasar raya terbabit. Tetapi, jika diteliti di pembungkusannya terdapat cop dagang D’Gateaux,’’ katanya.

Produk yang halal
Kini jelasnya, permintaan terhadap produk bakeri d’Gateaux yang bukan sahaja halal tetapi berkualiti dan setaraf dengan produk luar negara, sedang menunggu peluang untuk dipasarkan ke Belanda, Korea, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.

Walaupun telah melepasi sempadan ke Tahiti dan Macau serta berjaya menembusi pasar raya besar di London, selain disenaraikan sebagai 30 pengeluar kek keju dan quiche yang berdaya maju di dunia, tetapi ujar Sani, masih belum berjaya menembusi pasaran negara-negara Arab.

“Kami mahu produk D’Gateaux mendapat tempat di hati orang Islam kerana inilah produk yang halal bahkan satu-satunya tiramisu yang tidak mempunyai alkohol,’’ jelasnya.

Disampuk pula oleh Hamida, mengenai resipi, semuanya merupakan perahan minda chef-chef yang bekerja di syarikat tersebut.

“Kami berbangga mempunyai chef berpengalaman dan kreatif yang mampu mengeluarkan idea membanggakan sehingga menjadikan produk D’Gateaux setanding dengan produk luar.

“Produk terbaru iaitu mousse cake yang mengandungi pelbagai perisa dijangka mendapat sambutan hangat kerana bukan sahaja segera boleh dimakan malah diserta dengan sudu.

“Begitu juga dengan Semolina Date, Quiche dan Chocolate Truffle. Semuanya merupakan produk yang menjadi kegemaran pelanggan,’’ ujar wanita yang berkelulusan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.

Ibu kepada empat orang anak yang berusia 20 hingga 28 tahun ini menjelaskan, walaupun mempunyai saingan yang banyak, tetapi dibandingkan dengan kualiti dan kepelbagaian produk, D’Gateaux mempunyai kelainan yang mampu bersaing dengan syarikat lain.

“Selain mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), D’Gateaux juga memperoleh sijil Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) dan sijil piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP).

“Kami sentiasa mengadakan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang bakeri ini bagi menambahbaik dan mempelbagaikan produk sedia ada selain mencari peluang pemasaran yang masih belum ditembusi.

“Justeru itu, banyak ekspo perdagangan sama ada di dalam dan luar negara disertai bagi memperkenalkan D’Gateaux,’’ jelasnya.

sumber utusan.com

0 comments: