Home » » Wiranas yakin keluar sejuta botol plastik

Wiranas yakin keluar sejuta botol plastik

Written By kall on Tuesday 11 May 2010 | 12:52



Zainal Abidin Salim menunjukkan botol plastik bersaiz lima liter yang baru diproses di kilang Wiranas di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU 9 Mei - Pengeluar botol plastik, Wiranas Jaya Holdings Sdn. Bhd. (Wiranas) yakin mampu mengeluarkan sejuta botol minyak masak bersaiz lima kilogram (kg) sebulan menjelang pertengahan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abidin Salin berkata, pada masa sama, pihaknya merancang mengeluarkan tiga juta botol plastik minyak masak bersaiz dua kg.

Katanya, pertambahan jumlah pengeluaran itu adalah berdasarkan perkembangan pesat industri berkenaan yang menyaksikan permintaan tinggi botol plastik di kalangan para pengeluar minyak masak.

Zainal Abidin berkata, bagi mencapai sasaran itu, Wiranas perlu melabur RM2 juta untuk mendapatkan peralatan mesin dan modal pusingan.

"Kami perlu melakukan persiapan awal berdasarkan jangkaan bahawa industri minyak masak akan terus berkembang sepanjang tahun ini supaya kami sentiasa bersedia memenuhi permintaan pelanggan.

"Pada masa ini, Wiranas mengeluarkan sebanyak 600,000 botol plastik sebulan manakala pengeluaran tiga juta botol plastik minyak masak bersaiz dua kilogram sebulan merupakan satu transformasi syarikat agar lebih berdaya saing dalam industri," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini.

Wiranas, syarikat milik bumiputera yang ditubuhkan pada 16 Mac 2001 dengan operasi perniagaan menjurus kepada pengeluaran botol plastik dan air mineral sebelum beralih kepada botol plastik minyak masak pada 2007.

Zainal Abidin berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Product Sdn. Bhd., merupakan pelanggan utama syarikat dengan penguasaan pasaran sebanyak 98 peratus manakala baki adalah pengeluar minyak masak lain.

Beliau berkata, pembekalan botol plastik minyak masakan jenama Saji kepada syarikat milik kerajaan (GLC) itu membabitkan kontrak brjumlah RM7 juta setahun yang kini memasuki tahun ketiga.

"Kami kini rancak mengadakan proses rundingan bagi melaksanakan kontrak baru bernilai RM10 juta sebelum ia dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Setakat ini, bekalan yang disediakan kepada Felda mendapat maklum balas yang baik dan mereka jelas berpuas hati dengan kualiti produk dan perkhidmatan yang diberikan," katanya.

Ditanya tentang kelebihan botol plastik yang dikeluarkan Wiranas, Zainal Abidin berkata, syarikatnya amat mementingkan kualiti yang tinggi dan perkhidmatan selepas jualan dalam perniagaan.

Beliau berkata, ketebalan 120 gram botol plastik menjadi kekuatan utama pihaknya untuk bersaing dengan syarikat pengeluar lain berikutan daya tahan yang tinggi dan tidak mudah pecah.

"Rata-rata syarikat pengeluar lain mengeluar botol plastik setebal antara 110 gram dan 114 gram dan ini sekali gus menjadikan Wiranas lebih ke hadapan dalam bidang teknologi pengeluaran di negara ini.

"Pada masa sama, syarikat juga menekankan perkhidmatan selepas jualan apabila kakitangan seperti jurutera dan kawalan kualiti akan menemui wakil pelanggan dua kali sebulan bagi mendapat maklum balas mengenai produk yang disediakan," katanya.

Mengulas rancangan syarikat, Zainal Abidin berkata, pihaknya sedang meninjau membekalkan produk itu kepada sebuah lagi GLC pada masa akan datang.

Tanpa mahu mendedahkan syarikat itu, beliau berkata, sekira proses rundingan berjalan lancar, keputusan sama ada ditawarkan kontrak akan diketahui penghujung tahun ini.