Home » » Dulu pekerja, kini tauke

Dulu pekerja, kini tauke

Written By kall on Monday 24 May 2010 | 01:35

KULAIJAYA: Berbekalkan pengalaman 26 tahun bekerja di kilang menjahit pakaian, Johari Seman, 47, kini mampu tersenyum bangga kerana memiliki kilang sendiri.

Pada mulanya ramai memperlekehkan usahanya memulakan perniagaan sendiri, namun ketabahan untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik menjadikannya berjaya.

http://www2.pkns.gov.my/Portals/37/Hartanah/Rawang/Kilang%20Rawang.jpg
Johari ketika ditemui berkata, dia tidak menyesal dan sanggup menanggung risiko melepaskan jawatannya sebagai pengurus di sebuah kilang jahitan terkenal walaupun menerima gaji lumayan.


“Saya yakin masa depan lebih cerah dalam perniagaan ini kerana tidak ramai usahawan Bumiputera berminat menceburi bidang menjahit pakaian.


“Peluang memulakan perniagaan diperoleh dua tahun lalu apabila syarikat My-Sutera Sdn Bhd iaitu pengeluar dan pengedar pakaian sekolah jenama ‘Canggih’ menyatakan hasrat mencari pemborong kawasan selatan.


“Alhamdulillah, saya diberi peluang bagi menjahit pakaian sekolah jenama berkenaan selain menjadi pemborong tunggal negeri ini, Melaka dan Negeri Sembilan.


“Selain itu, saya menerima tempahan menjahit pakaian korporat agensi kerajaan dan swasta serta tempahan pakaian sukan sekolah,” katanya.


Menurutnya, bermula secara kecil-kecilan kilangnya kini menerima tempahan menjahit pakaian kira-kira 8,000 hingga 10,000 sebulan dan mampu menyiapkan 400 pakaian sehari.


Katanya, dengan bermodalkan RM35,000 wang simpanan untuk membuka kilang di lot kedai dua tingkat di Taman Makmur serta pembelian peralatan menjahit, dia kini berbangga apabila mempunyai 25 mesin jahit dan 14 pekerja mahir.

“Pada awalnya saya memulakan perusahaan menggunakan modal sendiri dan apabila perniagaan berkembang, barulah saya memohon bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).


“Kini kilang saya mempunyai 25 buah mesin menjahit pakaian dan 14 pekerja mahir yang kebanyakannya ibu tunggal,” katanya.


Menurutnya, dia turut merangka perancangan jangka panjang bagi mengembangkan perusahaan dan membuka cawangan di kawasan lain.


“Saya kini berusaha mendapatkan pinjaman Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi mengembangkan perniagaan termasuk membuka cawangan di negeri lain,” katanya.

0 comments: