Home » » Dapat Idea di Tanah Haram

Dapat Idea di Tanah Haram

Written By kall on Tuesday 4 May 2010 | 17:07

KESUNGGUHAN dan semangat untuk membuktikan kejayaan menjadi pendorong kuat kepada Hamidah Abdul Jalil, 48 mengusahakan tanaman stevia, sejenis tumbuhan yang menghasilkan pemanis semula jadi.

RAMI PENGGEMAR...Hamidah (kiri) dan pekerjanya mencuba teh stevia hayat.
RAMI PENGGEMAR...Hamidah (kiri) dan pekerjanya mencuba teh stevia hayat.
sebelum - selepas
PROSES...antara kaedah dalam penyediaan teh stevia hayat.PROSES...antara kaedah dalam penyediaan teh stevia hayat.


PROSES...antara kaedah dalam penyediaan teh stevia hayat.
Pokok yang dihasilkan adalah klon baru menggunakan teknik cantuman diberi nama stevia hayat, pucuk segar pokok berkenaan diproses dan dijadikan serbuk teh selain pelbagai produk kesihatan lain.


Hamidah berkata, dia mengambil masa lebih 10 tahun membuat kajian bagi menghasilkan klon stevia hayat seterusnya menghasilkan serbuk teh dengan jenama Hayat.


Menurutnya, dia mendapat ilham mengusahakan tanaman stevia ini ketika berada di Makkah untuk menunaikan haji selepas melihat kesukaran rakan yang menghidap penyakit kencing manis.


“Bermula dari situ, saya bertekad dan memasang impian untuk mengusahakan tanaman pokok stevia menggunakan klon baru yang dihasilkan menggunakan teknik cantuman.


“Selepas melakukan kajian dan rujukan, saya akhirnya berjaya walaupun peringkat awal menghadapi pelbagai dugaan kerana di negara ini produk daripada pokok stevia tidak terkenal.


“Keupayaan menghasilkan klon baru iaitu stevia hayat dianggap kemuncak kepada kejayaan saya. Ia bukan saja berjaya meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi, tetapi lebih penting mengharumkan nama negara,” katanya.


Dia yang juga Pengarah Urusan Rigap Mekar Sdn Bhd, berkata daun pokok stevia hayat yang dihasilkan 100 peratus manis semula jadi berbanding klon asal yang terdapat di Paraguay.


Rasa manis semula jadi daun pokok berkenaan sememangnya terbukti dengan cara kita memakan pucuknya tanpa perlu dikeringkan terlebih dulu.

Dia kini mempunyai ladang seluas 16 hektar di Muadzam Shah, Rompin dan projek berkenaan akan diperluaskan dengan pembukaan ladang baru di Kuantan akhir tahun ini.


Katanya, pokok stevia ialah sejenis tumbuhan yang manja dan sensitif, mudah mati apabila cuaca sejuk dan terlalu panas. Pelbagai teknik dan kaedah digunakan untuk memastikan usaha berkenaan tidak menemui kegagalan.


Menurutnya, bagi mendapatkan pengiktirafan dia melantik penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sirim untuk membuat kajian terhadap kandungan kimia selain keberkesanan terhadap kesihatan manusia.


“Bukan semua pokok stevia yang ada mampu menghasilkan rasa manis semula jadi seperti stevia hayat, justeru pengguna perlu lebih faham bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.



“Ada pihak yang membuat teh jenama stevia menggunakan gula untuk menimbulkan rasa manis yang didakwa semula jadi,” katanya yang mempunyai kilang menghasilkan teh stevia hayat di Kuantan, Pahang.


Hamidah berkata, teh stevia hayat yang dihasilkan mampu membantu menurunkan kadar gula dalam darah, menstabilkan tekanan darah, melawaskan kencing, menurunkan berat badan serta membunuh bakteria, kulat dan virus.


Selain menghasilkan teh stevia hayat, dia menghasilkan pelbagai produk berasaskan stevia seperti sabun, syampu dan bahan mandian.


“Setiap bulan saya menghasilkan lebih 500 kotak teh stevia hayat dalam dua saiz. Jumlah pengeluaran akan bertambah jika saya banyak menyertai ekspo jualan dan pameran di seluruh negara.


“Semua produk yang dihasilkan mempunyai sijil halal serta sesuai digunakan semua lapisan masyarakat dan kaum kerana tidak mengandungi sebarang bahan kimia.


“Kejayaan saya ini mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Sirim, Smidec, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, dan Majlis Amanah Rakyat,” katanya.


Dia kini menjual produk jenama hayat secara terus kepada pengguna dan kini permintaan terhadap teh stevia hayat memang menggalakkan terutama daripada penghidap kencing manis.


Disebabkan pengeluaran yang terhad, syarikat berkenaan masih tidak mampu memenuhi permintaan pasar raya terkemuka yang ingin memasarkan semua produk dihasilkan.

0 comments: