Home » » FBIC perkenal konsep francais

FBIC perkenal konsep francais

Written By kall on Friday 14 May 2010 | 03:26



Dr. Farminah Hasan bersama sebahagian produk yang dihasilkan syarikatnya.


HAMPIR sedekad berada di pasaran mendekati keperluan pelajar bermasalah seperti mengantuk dalam kelas, lemah daya ingatan dan tidak ada semangat untuk belajar, Farmina Bioplus kini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama produk kesihatan dan kecergasan berasaskan rumusan homeopati dan herba di negara ini.

Membawa misi sama ketika mula-mula memperkenalkan produk seperti Bio IQ, Bio Sasmat dan Bio Haz yang diakui cukup popular di kalangan pelajar, ia kini semakin dekat pula di hati wanita dan lelaki dewasa.

Selain minyak aroma terapi, turut mendapat tempat krim sirih, krim muka calendula, minyak urut Lam 100 serta minuman Mocca 4 U yang mengandungi ekstrak habatussauda dan madu yang mampu mencergaskan badan serta memudahkan penghadaman.

Pengasas Farmina Bioplus Industries & Consultant Sdn. Bhd., Dr. (H) Farminah Hasan berkata, sebagai menyahut keperluan semua golongan, pihaknya bukan sahaja cuba mempelbagaikan pilihan produk dan golongan sasaran, tetapi turut memperluaskan rangkaian perniagaannya dari masa ke semasa.

Untuk tahun 2010 ini, syarikat yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor itu melangkah setapak lagi apabila menjadi syarikat pertama Bumiputera yang terbabit dalam bidang rawatan tradisional dan pelengkap (T/CM) berasaskan homeopati dan herba mengembangkan perniagaan melalui konsep francais.

Menerangkan lebih lanjut katanya, sistem yang diperkenalkan oleh FBIC adalah dalam bentuk separuh rawatan perkhidmatan dan separuh penjualan produk yang menawarkan pelbagai insentif.

"FBIC berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya lima usahawan Bumiputera dalam bidang tersebut pada tahun ini.

"Setakat ini kami telah mempunyai satu cawangan berunsur perniagaan francais di Bangi," katanya ketika ditemui pada majlis penerimaan lesen francais daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini.

Melalui konsep francais ini, menurut Farminah, beliau mahu berkongsi peluang perniagaan kepada individu yang berminat khususnya golongan Bumiputera.

Menurutnya, setakat ini syarikat telah melantik seorang francaisi di Bangi, Selangor dan masih ada sekurang-kurangnya empat lagi usahawan baru bakal dilantik sehingga hujung tahun ini.

"Pihak kami mempelawa lebih ramai usahawan berkelayakan membabitkan diri dalam aktiviti perniagaan yang mempunyai potensi cerah serta semakin mendapati permintaan.

"Malah kami mengalu-alukan kepada individu yang berminat membabitkan diri dalam bidang ini," jelasnya yang mendapat sokongan suami tersayang, Dr. (H) Nasir Berau, 57.

Sehingga kini FBIC mempunyai 20 pengedar dan 10 stokis di seluruh negeri dan bakal membuka pejabat baru di Terengganu.

Bagi yang berminat untuk menjadi usahawan FBIC boleh menghubungi talian 019 7765570.