Home » » Jenama Sunquick Naikan Nama Barkath

Jenama Sunquick Naikan Nama Barkath

Written By kall on Sunday, 7 December 2008 | 21:02


Bermula dengan sebuah kedai runcit kecil di No. 1 Lebuh Union, Pulau Pinang; Barkath Store yang bermakna `berkat', telah berjaya berkembang pesat untuk memahatkan namanya di peta dunia dan berdiri megah untuk menyambut ulang tahunnya ke-63 pada tahun ini.

Hasil usaha keras peneraju asalnya, Allahyarham M. Abu Backer Mohd Hussain dan anaknya, Datuk Barkath Ali Abu Backer, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Barkath, kumpulan itu kini menjadi nama yang gah dan dikenali di seluruh dunia.

Produk-produknya yang berjumlah 27 jenis terdiri dari jenama-jenama terkemuka dunia seperti air jus Sunquick serta gula-gula Hacks yang sangat popular dengan gambar orang tua batuk dalam pembungkus berwarna merah.

Kedua-dua produk itu sahaja menyumbang kira-kira RM150 juta setahun kepada pendapatan Barkath.

Kini, syarikat itu merancang untuk mengeluarkan produk-produk makanannya sendiri. Antara perancangan terbarunya ialah mengeluar dan mengedarkan makanan segera seperti karipap sejuk beku dan roti canai sejuk beku menerusi anak syarikatnya Eze Foods Sdn. Bhd.

Kumpulan Barkath juga merancang untuk melabur sebanyak RM5 juta dalam pengeluaran gula-gula `tanpa gula' dan biskut di Pulau Pinang.

Beliau berkata, syarikatnya juga bercadang untuk mengeluarkan gula-gula sendiri dan biskut jenama Benson.

Katanya, sudah tiba masanya Kumpulan Barkath mengeluarkan produk berjenama sendiri memandangkan syarikat tersebut kini menghadapi peningkatan persaingan dari pasar raya-pasar raya besar dan juga kenaikan harga tarif bagi bahan makanan yang diimport.

Sejak Barkath Ali mengambil alih syarikatnya dari arwah bapanya pada tahun 1975, Kumpulan Barkath telah meluaskan lagi empayar niaganya dengan mempunyai lebih 20 buah anak syarikat di seluruh Asia Tenggara dan Eropah serta pejabat jualan di England, Indonesia, India, Singapura dan Arab Saudi.

``Jika saya tiada lagi, saya harapkan anak-anak akan dapat meneruskan perniagaan keluarga ini kerana saya akan lebih terkilan jika ia jatuh ke tangan orang lain,'' kata Barkath Ali yang memiliki bangunan pejabat korporat sendiri bernilai kira-kira RM7 juta.

``Saya percaya industri makanan di Malaysia akan terus berkembang dan kita tidak boleh bergantung kepada teknologi sekarang.

``Saya berharap anak-anak saya akan terus memberi sumbangan yang bermakna kepada syarikat dan negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temuramah baru-baru ini.

Barkath Ali berkata, arwah bapanya banyak memainkan peranan dalam menentukan hala tuju syarikatnya dari mula sampai kini dan berharap Kumpulan Barkath akan kekal sebagai perniagaan keluarga dan tidak berpindah tangan untuk menghargai jasa-jasa dan pengorbanan ayahnya dalam membina perniagaan itu sehingga dikenali ramai.

Barkath Ali berkata: ``Saya masih ingat, setiap kali habis sekolah atau cuti sekolah saya akan ke kedai untuk menutup akaun jualan harian dan dari situ minat untuk berniaga telah mula timbul.''

Bapanya juga mengajar bagaimana untuk berjaya dengan mengamalkan prinsip pekerja harus dilayan seperti keluarga sendiri dan prinsip itu sehingga kini masih diamalkan.

Ia penting bagi memberi keyakinan kepada pekerjanya supaya bekerja bersama-sama dan bukan bekerja untuknya.

Barkath Ali pernah memikirkan untuk menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia untuk mendapatkan suntikan modal lebih besar tetapi membatalkannya kerana merasakan sebagai sebuah syarikat persendirian, proses membuat keputusan adalah lebih mudah dan cepat berbanding syarikat awam yang memerlukan restu pemegang saham terlebih dahulu.

Barkath Ali berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk mendidik anak-anaknya supaya menghargai susah payah keturunan mereka dalam membina perniagaan sehingga menjadi terkenal di seluruh dunia.

Menceritakan detik-detik awal penubuhan Barkath Store oleh arwah bapanya, Barkath Ali berkata, bapanya yang berasal dari Tanjore India telah datang ke Malaysia pada tahun 1929 pada usia 14 tahun untuk bekerja dengan seorang saudara di sebuah kedai yang berakhir dengan perkahwinan beliau dengan anak majikannya itu, Kahtija Beevi. Bapa Barkath Ali dianggap sebagai seorang pekerja yang rajin, tekun dan ikhlas dalam menguruskan perniagaan tersebut.

Katanya, arwah bapanya ada menceritakan kepadanya bahawa beliau tidak berhasrat untuk terus bekerja dengan orang lain kerana tiada kebebasan.

Selepas tiga tahun bekerja beliau dan dua orang rakan kongsinya telah melabur sebanyak RM5,000 untuk membuka sebuah kedai runcit kecil yang dinamakan Barkath Store selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945.

Hasil daripada usaha gigih , Allahyarham mula mengorak langkah dengan membuka sebuah lagi kedai runcit di Ladang Pelam, Kulim, Kedah dengan membawa saudara maranya yang miskin bekerja dengan beliau.

``Arwah bapa saya sememangnya tidak menghiraukan sangat perniagaannya di situ kerana ia bukan sahaja menyediakan kemudahan untuk pekerja ladang malah turut menjadi pusat kemudahan komuniti,'' katanya.

Bak kata orang, langit tidak selalunya cerah, kerana beliau mula merasai kesukaran untuk berurusniaga kerana kebanyakan pelanggannya dari golongan pekerja ladang selalu berhutang dengannya dan keadaan itu menyebabkan beliau sukar memusing modal.

Bagaimanapun, pihak pengurusan ladang datang membantu dengan menjanjikan kepada beliau setiap pembelian yang dilakukan oleh pekerja ladang itu akan dibayar menerusi potongan gaji setiap bulan.

Menurut Barkath Ali, bapanya kemudiannya berjaya meluaskan perniagaannya dengan membuka cawangan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Pada tahun 50-an, Abu Backer melihat potensi yang cukup baik apabila Pulau Pinang diberi status pulau bebas cukai.

Beliau telah mengambil kesempatan untuk mengimport pebagai barangan makanan seperti biskut dan kek berjenama Elkes dan Burton, jem Robertson dan rokok berjenama Alhambra.

Turut dijual ketika itu ialah ais krim premium berjenama Lypn dari England yang dijual dari pintu ke pintu dengan menggunakan basikal roda tiga.

Dengan kerja kerasnya dan kemahiran dalam perniagaan, Barkath Store telah menjadi pembekal tunggal produk makanan ke seluruh dunia termasuk gula-gula Hacks.

Dalam tahun 1965, akibat kelewatan proses menghantar gula-gula Hacks dan cukai yang tinggi serta persaingan harga, Abu Backer telah memutuskan untuk berkerjasama dengan pemegang lesen Hacks, White Hudson & Co., bagi mengeluarkan gula-gula tersebut di Pulau Pinang.

Menurut Barkath Ali, pada mulanya ayahnya mendapatkan khidmat pihak ketiga untuk berjumpa dengan pengurusan Hacks.

Setelah melihat potensi pasaran gula-gula Hacks yang mendapat sambutan, White Hudson & Co., bersetuju untuk melabur dan berkongsi modal RM1 juta bagi membina kilang dan memasang mesin untuk menghasilkan gula-gula Hacks.

Melihat kepada potensi jualan Hacks yang begitu besar, Abu Backer mula menyuarakan hasratnya untuk membeli tanda niaga Hacks dari White Hudson & Co. bagi edaran di rantau Asia Tenggara dengan berbekalkan modal RM2.5 juta.

Pemegang hak Hacks itu telah menjual tanda niaga tersebut kepada Barkath Store pada tahun 1987, membolehkannya menguasai pasaran gula-gula Hacks bagi negara India, Brunei, Thailand dan Malaysia.

Barkath Store mula terlibat dalam pengedaran pati minuman jenama Sunquick pada tahun 1960 apabila ia mengimport produk tersebut dari Denmark.

Sebagaimana Hacks sebelum itu, Sunquick turut berdepan dengan masalah cukai yang tinggi.

Pada tahun 1970, Barkath Store telah bertemu dengan pemegang hak Sunquick, Co-Ro Food A/S Denmark bagi membuat produk itu di Mak Mandin, Pulau Pinang dengan membawa masuk pati jus berkenaan sebelum memprosesnya di sini.

Pada tahun 1978, jenama Sunquick mula dikeluarkan menerusi syarikat Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd., dengan bermodalkan RM15 juta hasil perkongsian 50-50 dengan syarikat induk dari Denmark itu.

``Sehingga kini kita telah berjaya menghasilkan pelbagai perisa Sunquick.

``Sehingga sekarang, kita mengeluarkan lapan perisa dan menjadikan Malaysia sebagai negara terbesar pengeluaran produk tersebut,'' katanya

0 comments: