Home » » Idaman Hawa ketengah busana moden tapi kekal santun

Idaman Hawa ketengah busana moden tapi kekal santun

Written By kall on Saturday 20 December 2008 | 01:39


PAKAIAN yang kita pakai melambangkan identiti seseorang walaupun fungsi pakaian yang utama adalah menutup aurat, selain melindungi daripada hujan dan matahari.

Kebanjiran busana Muslimah di pasaran membuktikan, kesedaran untuk menutup aurat di kalangan wanita Islam di negara ini semakin tinggi namun bagi wanita bekerjaya, pakaian yang elegan tetapi kekal sopan diperlukan untuk keselesaan sepanjang hari.

Jeffrey Arazmi Mokthar antara pengusaha yang sentiasa prihatin dengan penampilan wanita di negara ini, giat mereka cipta dan menawarkan pelbagai jenis busana moden kontemporari untuk digayakan dengan pelbagai acara.

Wartawan, RAHANA MD dan jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH sempat menemu bual pemilik Pemborong Pakaian Idaman Hawa di premis beliau yang terletak di No 11A, Lorong Merbau Of Jalan Kenanga, Kuala Lumpur.

MEGA: Sejak bilakah bidang perniagaan pakaian Muslimah ini dimulakan dan apakah yang mendorong anda untuk memilih jenis perniagaan ini?
JEFFREY: Perniagaan busana Muslimah ini bermula sejak lapan tahun lalu, dimulakan secara runcit di peringkat awalnya dan apabila pelanggan berpuas hati baru ditawarkan secara borong dan pengeluaran ditingkatkan.

Sejak tahun 1980-an, saya telah memulakan perniagaan pakaian wanita pelbagai jenis tetapi cara penampilan wanita kian berubah dan semakin ramai yang memilih pakaian Muslimah.

Lantas, saya menukar rentak perniagaan dengan menawarkan busana wanita bercirikan Islam dan mendapat sambutan yang baik. Ketika itu, butik yang menawarkan perniagaan jenis ini hanya boleh dibilang dengan jari dan saya antara pelopor di ibu kota.

Ironinya anda seorang lelaki, apakah anda serasi memilih apa yang sepatutnya wanita pakai dan apakah kelebihan anda dalam bidang ini?
Pada pandangan saya, lelaki lebih memahami apa yang cantik dan padan untuk dipakai oleh wanita dan selalunya kritikan yang diberikan memang tepat.

Lantaran itu, selalunya idea yang diberikan lebih diterima pakai oleh wanita namun dalam masa yang sama, penampilannya tetap terpelihara, sopan dan mengikut garis panduan menutup aurat seperti yang disarankan agama.

Memandangkan bidang rekaan pakaian antara yang saya minati sejak remaja lagi dan apabila berpeluang dalam bidang ini, saya terjemahkan ke bentuk yang lebih komersial untuk mengindahkan apa yang wanita pakai.

Peluang seperti ini saya gunakan sebaik mungkin kerana apa yang dipamerkan oleh wanita Muslimah menjadi cermin kepada wanita lain.

Wanita hari ini semakin bijak kerana telah terdedah dengan pelbagai acara luar yang menuntut mereka sentiasa tampil anggun dan bergaya.

Uniknya di butik Idaman Hawa, selain pakaian-pakaian yang ditawarkan boleh dipakai ke tempat kerja, acara majlis rasmi, makan malam serta paling istimewa untuk digayakan pada hari-hari kebesaran umat Islam. Malah yang bukan Islam juga sesuai menggayakannya.

Apakah yang ditawarkan dan kelebihan yang terdapat di butik ini berbanding butik lain?
Di butik Pakaian Idaman Hawa, ia umpama kelengkapan pakaian wanita di bawah satu bumbung yang boleh dibeli secara runcit atau pun borong. Pelbagai jenis jubah ditawarkan, jubah panjang, jubah seluar daripada pelbagai jenis fabrik yang selesa dengan cuaca di negara ini.

Koleksi yang ada dilengkapkan dengan pelbagai variasi tudung termasuk jenis jersey yang kini menjadi tumpuan wanita kerana ia mudah dipakai, ringkas tetapi anggun dan terpelihara penampilannya.

Butik turut menawarkan pakaian ke pejabat (selain fesyen jubah) yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia termasuk blaus panjang yang menarik diubah padan dengan kain, skirt labuh atau seluar.

Kebanyakan pelanggan gemarkan rekaan dan potongan yang ditawarkan di sini yang berjaya memenuhi cita rasa mereka di samping mempunyai saiz yang dikehendaki. Selain itu, semua koleksi di sini adalah buatan tempatan, cuma fabriknya diimport dari negara luar.

Bagaimana persaingan dalam bidang ini dan apakah persiapan anda apa lagi anda adalah satu-satunya bumiputera yang berjaya mengukuhkan perniagaan di Jalan Kenanga yang selama ini dimonopoli oleh peniaga bangsa asing?
Dalam apa bidang sekali pun, persaingan sentiasa ada tetapi saya sentiasa memandang positif perkara ini.

Lumrahnya, ia menjadikan saya lebih berusaha gigih menghasilkan yang terbaik.

Saya berpegang kepada bidalan, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dan menghadapinya sebagai cabaran seorang peniaga, kebetulan pula saya boleh berbahasa Kantonis dan ia memudahkan pergaulan di sana.

Kenapa wanita perlu mengunjungi butik anda?
Selain rekaan yang moden tetapi kekal santunnya sebagai busana Muslimah, warna-warna pakaian yang disediakan mempunyai pelbagai pilihan daripada yang bernada pastel dan lembut kepada nada garang dan cerah ceria untuk memberi kesan penampilan yang berbeza kepada si pemakai.

Selain itu, setiap helai yang ditawarkan mempunyai tudung yang sepadan dari corak dan warna senada serta mengikut bentuk wajah individu yang memakainya.

Selain di Kuala Lumpur, di manakah koleksi Idaman Hawa boleh didapati?
Koleksi lain boleh didapati di serata negeri antaranya di Naz Indah Collection di Kota Bharu, Kelantan; Saifuddin Textiles di Sungai Petani, Kedah; Prai Mega, Butterworth, Pulau Pinang; Tamma Traditional, Kota Kinabalu, Sabah; Idah Emah Collection, Kuala Lumpur dan Sentuhan Jelita, SACC Mall, Shah Alam, Selangor yang turut menawarkan pelbagai jenis jubah wanita dan tudung fesyen terkini.