Home » » Dulu buruh kasar kini usahawan berjaya

Dulu buruh kasar kini usahawan berjaya

Written By kall on Monday, 8 December 2008 | 21:22


Siapa yang tidak mengenali syarikat Percetakan Surya Sdn. Bhd., yang sememangnya sinonim di kalangan rakyat di negeri Hang Tuah ini.

Sebut sahaja Percetakan Surya, pasti terbayangkan raut wajah Sabdin Osman, 73, sambil dikelilingi anak-anaknya yang juga teman sekerja paling rapat beliau, sekali gus penggerak kepada syarikat yang beliau tubuhkan sejak 30 tahun dulu.

Namun, perniagaan keluarga Sabdin yang ada pada hari ini tidak berdiri dalam sekelip mata.

Ini kerana pemilik dan juga Pengerusi syarikat itu, Sabdin bermula sebagai peniaga kecil-kecilan dengan modal wang simpanan sendiri yang berjumlah RM100.

‘‘Saya mula membuat perniagaan percetakan ini dengan modal sendiri dengan mengusahakannya di rumah secara tradisional menggunakan sebuah mesin cetak tangan.

‘‘Ketika itu, saya hanya berusia belasan tahun tetapi sudah mula jatuh cinta pada kerja-kerja percetakan ini. Habis sekolah, saya membuat pelbagai kerja termasuk menjual surat khabar dan mencuci lantai di kilang percetakan waktu saya bekerja sambilan di situ,” katanya di sini baru-baru ini.

Ketika diminta bercerita lanjut mengenai sejarah awal penglibatan Sabdin dalam industri itu, katanya, dia sanggup menjadi budak suruhan oleh pemilik tempat kilang percetakan ketika bekerja sambilan semata-mata mahu menimba ilmu.

Beliau percaya hanya melalui kerja keras, penderitaan, kesungguhan dan kegigihan dapat merealisasikan impiannya itu.

‘‘Pada waktu itu, satu sahaja niat saya iaitu membuka sebuah syarikat percetakan sendiri. Alhamdulillah, pada hari ini, akhirnya saya boleh berbangga dengan kejayaan ini,” katanya.

Selepas puas menimba ilmu dan pengalaman, beliau tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan segera memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan, bermula di rumah dan kemudiannya menyewa sebuah kedai di Bukit Beruang.

‘‘Selepas itu, saya dipelawa oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (pada waktu itu Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian negeri) untuk membesarkan lagi perniagaan kerana yakin dengan potensi syarikat.

‘‘Ketua Menteri kemudiannya menawarkan tanah di kawasan Industri Bukit Katil yang mana pada hari ini terus bertapak di sini,” katanya.

Anak kelahiran Bukit Baru itu berkata, walaupun kejayaannya itu tidak seberapa namun dia berbangga kerana dapat membina syarikatnya itu tanpa meminta pertolongan dan terpaksa meminjam wang yang besar dari pihak bank.

Katanya, kesusahan hidup yang dialami sebelum ini mengajar beliau untuk sentiasa mengamalkan budaya berjimat cermat walaupun sudah bergelar seorang usahawan berjaya.

‘‘Jangan boros berbelanja, itulah pesan saya kepada anak-anak yang banyak mewarisi dan membantu saya dalam perniagaan ini. Jika pegang duit RM10,000 jangan habiskan semua, simpan 20 peratus daripadanya kerana simpanan itu akan membantu kita masa susah nanti.

‘‘Pegangan tersebut terbukti berkesan kerana banyak syarikat percetakan seperti saya yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menghadapi krisis kewangan yang melanda negara sekitar 1998 dan 1999,” katanya.

Kata Sabdin, pada waktu itu, beliau berjaya menghadapi cabaran tersebut dengan bantuan wang simpanan yang dipraktikkannya itu untuk membayar hutang dan perbelanjaan operasi syarikat.

Pada hari ini, Percetakan Surya berjaya menguasai lebih 50 peratus kontrak tawaran percetakan dan tempahan dari hampir sebahagian besar agensi, jabatan kerajaan negeri, swasta dan sekolah antaranya Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, Dawama Sdn. Bhd dan Lembaga Penggalakan Pelancongan.

Mengenai strategi syarikat itu pada masa depan, katanya, selaku pengasas syarikat tersebut beliau perlu memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap sebenar, sejajar dengan matlamat untuk menjadi pemain dalam industri itu di peringkat global.

‘‘Kita tidak harus gentar pada persaingan kerana itulah yang menjadi pendorong dan untuk itu, Percetakan Surya sentiasa mementingkan mutu kemas dan berkualiti. Itulah yang sentiasa saya tekankan kepada 87 kakitangan syarikat ini,'' katanya.

0 comments: