Home » » Aznain peka usaha kurang nahas

Aznain peka usaha kurang nahas

Written By kall on Monday 7 January 2008 | 13:09


SAHUT CABARAN: Kepekaannya terhadap isu kemalangan jalan raya mencetus penubuhan Smart Synergy Ventures Sdn Bhd.

Smart Synergy Venturtes alat beri kejutan, penggera jika pemandu dikesan mengantuk

PEMBABITAN kira-kira 15 tahun dalam industri takaful membuka mata anak muda ini mengenai potensi perniagaan yang boleh diteroka daripada isu berkaitan pengurusan risiko dan keselamatan jalan raya.

Anak kepada pesara tentera berasal dari Taiping, Perak ini tidak pernah mewarisi bakat perniagaan dari keluarga, tetapi mula menaruh minat menceburi bidang itu ketika melanjutkan pengajian dalam bidang pemasaran di Universiti Malaya.

Bagi merealisasikan minatnya, beliau nekad melepaskan jawatannya sebagai pengurus di dalam salah sebuah syarikat pengendali takaful terkemuka walaupun lalu menubuhkan Smart Synergy Ventures bersama rakan kongsinya.

Beliau menerajui syarikat yang bergiat dalam industri takaful, rundingan pengurusan risiko, penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk keselamatan jalan raya, projek sivil, landskap dan pelbagai produk am itu dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.

“Smart Synergy Ventures bukan hanya terbabit dalam industri takaful, tetapi bidang perniagaan yang dilaksanakan adalah lebih meluas kerana mempunyai unit R&D sebagai pelengkap kepada pelbagai isu berkaitan takaful, terutama pengurusan risiko.
BERGUNA: Aznain menunjukkan produk dipasarkan syarikatnya, yang dikenali sebagai Smart Alert.

“Sewaktu bekerja dalam industri insurans dan takaful, saya terlalu banyak didedahkan mengenai isu dan masalah berkaitan kemalangan, skop perlindungan dan pampasan bila berlaku sesuatu musibah kepada pemegang polisi,” katanya.

Kepekaannya terhadap isu semasa terutama perasaan ‘ngeri’ yang dirasainya setiap kali kes kemalangan jalan raya terpampang di dada akhbar mencetuskan ilham menubuhkan syarikat berkaitan pengurusan risiko, terutama membabitkan aspek keselamatan jalan raya.

Ia juga berputik daripada penyertaannya dalam satu seminar yang diterajui Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi, tidak lama dulu.

“Dalam seminar itu, Miros ada menekankan punca utama kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini adalah kecuaian pemandu itu sendiri, dan peratusan tertinggi yang menyumbang kecuaian itu adalah kerana mengantuk,” katanya.

Aznain berkata, bertitik tolak daripada penyertaannya daripada seminar itu, beliau cuba mencari penyelesaian bagi mengurangkan perangkaan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian manusia.

Katanya, beliau menyedari sebenarnya ada beberapa peralatan keselamatan jalan raya di pasaran, tetapi penggunaannya adalah begitu minimum di negara ini kerana tidak ada ketegasan atau keperluan untuk memilikinya.

“Usaha yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mengurangkan perangkaan kemalangan jalan raya tidak akan menjadi kenyataan tanpa penyertaan serius badan korporat, syarikat insurans dan takaful,” katanya.

Beliau menjelaskan, rentetan daripada kesedaran itu, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk melaksanakan pelbagai R&D mengenai cara mengelakkan kemalangan jalan raya.

Akhirnya, beliau menyedari tidak ada satu pun agensi insurans dan takaful di negara ini yang menyediakan barangan premium berbentuk produk atau gajet keselamatan jalan raya kepada pemegang polisi walaupun ada dana khas yang disediakan Bank Negara Malaysia bagi tujuan itu.

“Bank Negara ada memperuntukkan dana khas kepada agensi insurans atau takaful di negara ini untuk memberi barangan premium yang bernilai di bawah RM20 kepada setiap pemegang polisi yang melanggan produk mereka,” katanya.

Malangnya, Aznain berkata, tidak ada satu pun agensi mengambil inisiatif untuk menyediakan barangan premium yang berbentuk alat keselamatan jalan raya, justeru Smart Synergy ventures mengambil inisiatif memikul tanggungjawab itu dengan memperkenal dan memasar produk keselamatan inovatif.

“Unit R&D Smart Synergy Ventures mengambil keputusan untuk memperkenalkan ‘Smart Alert’, iaitu alat pintar yang berfungsi melalui prinsip tindak balas serta merta dengan menghasilkan getaran atau bunyi jika berlaku pergerakan kepala pemakainya,” katanya.

Aznain menjelaskan, produk berkenaan sebenarnya bukan baru, tetapi penggunaannya adalah terhad, justeru Smart Synergy Ventures mengambil keputusan mengkomersilkan alat itu.

“Kami mempatenkan alat menggunakan jenama ‘Smart Alert’ dan ia bukan saja menepati piawaian global tetapi mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pengangkutan sebagai alat yang mampu mencegah berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, alat itu bukan saja disasarkan kepada pemandu kenderaan persendirian dan awam, tetapi sesuai digunakan pengendali mesin, jentera elektrik, pelajar, pasukan keselamatan dan operator pusat panggilan yang memerlukan tumpuan tinggi terhadap tugasan.

“Insya-Allah, bermula tahun depan, selain daripada perniagaan takaful, kami akan mula bergerak secara agresif memasarkan produk ini dengan kerjasama badan korporat, syarikat insurans dan takaful di seluruh negara,” katanya sambil berkata Smart Synergy Ventures mendapat sokongan penuh Kementerian Pengangkutan bagi memasarkan ‘Smart Alert’.

Aznain menjelaskan, syarikatnya sudah menghantar kertas cadangan kepada Persatuan Industri Takaful Malaysia untuk memperkenalkan alat itu sebagai barangan premium utama kepada semua agensi takaful di negara ini.

“Kami juga yakin mendapat kerjasama badan korporat yang menganjurkan kempen keselamatan jalan raya, syarikat insurans, JKJR, Miros dan Kementerian Pengangkutan sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, ‘Smart Alert’ hanyalah perintis kepada usaha anak muda ini untuk mengelakkan kemalangan jalan raya daripada berlaku, kerana katanya, Smart Synergy Ventures terus komited dalam melaksanakan R&D bagi memperkenal lebih banyak produk berkaitan isu ini pada masa depan.

“Malah, kami sudah merancang memperkenal dan memasarkan beberapa alat yang berguna bagi mengatasi pelbagai isu dan masalah berkaitan pengurusan risiko,” katanya memberi jaminan.

SSV sasar jual 200,000 unit Smart Alert

SMART Synergy Ventures Sdn Bhd (SSV) merancang bekerjasama dengan badan korporat, pengendali takaful dan insurans bagi memasarkan produk pencegahan kemalangan jalan raya, ‘Smart Alert’ awal tahun depan.

Pengarah Urusannya, Aznain Abdullah, berkata beberapa badan korporat, pengendali takaful dan insurans sudah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi melaksanakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya tahun depan.

“Sepanjang kempen itu, mereka sudah menyatakan minat bagi menjadikan ‘Smart Alert’ cenderamata yang akan diagihkan kepada pemandu kenderaan awam dan persendirian sepanjang kempen dilaksanakan,” katanya.

Smart Synergy Ventures yang beroperasi di Pandan Indah terbabit dalam industri takaful, rundingan pengurusan risiko serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk keselamatan jalan raya.

“Tidak dapat dinafikan, punca utama kemalangan jalan raya adalah kecuaian manusia, terutama mengantuk ketika memandu, justeru SSV yang terbabit dalam industri takaful mengambil inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun,” katanya.

Aznain berkata, kempen galakan penggunaan ‘Smart Alert’ secara meluas bermula tahun depan dijangka dapat membantu Kementerian Pengangkutan dan JKJR mencapai sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010 yang dibentangkan tahun lalu.

“Kami mensasarkan 50,000 unit alat itu dipasarkan pada fasa pertama Januari ini dan jika semua berjalan lancar, lebih 200,000 unit alat berkenaan akan digunakan pemandu kenderaan persendirian dan awam di Malaysia tahun depan,” katanya.

Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan pelan keselamatan jalan raya selama lima tahun itu dengan sasaran mengurangkan bilangan kematian pada kadar 58 peratus menjelang 2010.

Ketika ini, perangkaan menunjukkan 4.2 kematian disebabkan kemalangan jalan raya berlaku di negara ini bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan menerusi pelan berkenaan kerajaan mensasar mengurangkannya kepada 2 kematian menjelang 2010.

Aznain menjelaskan, salah satu daripada sembilan strategi yang dibentangkan dalam pelan itu adalah penggunaan alat atau teknologi yang dapat membantu mencegah kemalangan jalan raya.

“SSV mengambil inisiatif memperkenalkan ‘Smart Alert’, iaitu alat keselamatan yang dapat memberi tindak balas serta merta jika pemandu mengantuk,” katanya.

Beliau menegaskan, SSV akan terus melaksanakan pelbagai R&D pada masa depan bagi memperkenalkan lebih banyak produk berkaitan pengurusan risiko, yang dapat menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak.