Home » » Uustaz Kazim Alias Tolak Jawatan MT Umno

Uustaz Kazim Alias Tolak Jawatan MT Umno

Written By kall on Thursday 5 December 2013 | 05:40

Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias (gambar) atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengumumkan keputusannya menolak pelantikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Pengumuman tersebut dibuat beliau di hadapan kira-kira 2,000 hadirin dalam program ceramah agama di Taman Ria di sini, malam tadi.
Ustaz Kazim berkata, beliau akan terus memainkan peranan sebagai pendakwah bebas dan tidak berhajat meneruskan perjuangannya melalui platform politik.
"Ramai hari ini tunggu kenyataan saya berkenaan MT. Saya tak pernah minta jawatan ini, tapi tak apalah, malam ini juga saya nak umum. Saya memilih untuk tidak terima jawatan yang ditawarkan kepada saya sebagai Ahli MT UMNO," katanya.
Tambah Ustaz Kazim, adalah lebih sesuai bagi beliau bergerak secara bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
"Saya sebelum ini ada berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendengar penjelasan panjang lebar berhubung keperluan melantik saya jadi Ahli MT. Namun, saya mempunyai alasan tersendiri untuk bergerak secara bebas.
"Saya juga tegaskan kepada beliau bahawa saya ini adalah seperti harta awam, jadi tak elok saya dimiliki satu parti sahaja," katanya.
Sementara itu di IPOH, Kazim ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi hari ini memberitahu bahawa keputusan itu bukan dipengaruhi atau desakan pihak tertentu.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu diambil kerana beliau tidak mempunyai sebarang kepakaran dan pengalaman dalam dunia politik, selain lebih selesa menjalankan kerja-kerja dakwah seperti biasa.