Home » » FC Ryukyu vs Harimau muda live streaming

FC Ryukyu vs Harimau muda live streaming

Written By kall on Monday 2 December 2013 | 07:17

AKSI persahabatan dengan kelab Jepun, FC Ryukyu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya Rabu ini boleh disifatkan sebagai medan terakhir buat barisan pelatih Harimau Muda A membuktikan kemampuan masing-masing jika berhasrat beraksi pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.
Pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau enggan terburu-buru menamakan senarai akhir 20 pemain biarpun acara bola sepak temasya dwitahunan itu tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Sebaliknya, beliau berkata, senarai akhir barisan Harimau Malaya hanya akan diumumkan selepas mereka menguji FC Ryukyu kelak.
“Sama ada berlaku kejutan ataupun tidak, tunggu selepas aksi berdepan FC Ryukyu... saya hanya membuat keputusan selepas perlawanan itu.
“Ingin saya jelaskan di sini, saya hanya mengutamakan mana-mana pemain yang memiliki prestasi semasa yang bagus.
“Jika mana-mana pemain gagal memberikan aksi memberangsangkan, mereka bakal diketepikan kali ini biarpun pernah beraksi pada temasya Sukan SEA terdahulu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Selain skuad Bawah 23 tahun nagara, turut berada dalam Kumpulan A pada temasya Sukan SEA 2013 ialah Laos, Brunei, Vietnam dan Singapura.
Finalis 2011, Indonesia pula diundi bersama tuan rumah, Myanmar dalam Kumpulan B bersama Thailand, Timor Leste dan Kemboja.
Kim Swee juga enggan terburu-buru mengumumkan siapa yang bakal digandingkan bersama Mohd. Fadhli Shas bagi mengemudi benteng pertahanan Harimau Muda A selepas beliau terpaksa melupakan khidmat Nik Shahrul Azim Abdul Halim kali ini kerana kecederaan.
Selain Nik Shahrul, skuad muda negara juga menerima tamparan hebat dalam misi memburu ‘ibu emas’ buat kali ketiga berturut-turut gara-gara kecederaan jangka panjang Wan Zack Haikal Wan Nor dan Syahrul Azwari Ibrahim.
“Saya masih meneliti pemain yang sesuai bagi menggantikan Nik Shahrul.
“Apa yang pasti, pemain yang terpilih kali ini haruslah berkemampuan beraksi dalam dua posisi berbeza sekiranya dilanda krisis kecederaan sepanjang di Myanmar kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee seakan-akan mula ‘mengintip’ kekuatan lawan Harimau Muda A apabila menyaksikan aksi persahabatan antara Singapura dan Filipina di negara republik itu petang semalam.
“Saya hanya datang menyaksikan perlawanan,” katanya