Home » » Muzaffar pecah tradisi wanita

Muzaffar pecah tradisi wanita

Written By kall on Tuesday 16 October 2012 | 02:04


pix_middle
KARAKTER pelopor industri membabitkan bidang kecantikan sering dikaitkan dengan ‘figura’ tubuh langsing dan kulit licin supaya menarik minat wanita yang ingin mendapatkan produknya.
Namun sebaik menjejakkan kaki ke pejabat ZZ Beauty & Hair Care di Bandar Rawang, Selangor, ahli perniagaan yang sinonim dengan produk kolagen asli ini adalah seorang lelaki.
   
  • FotoINSPIRASI...Aziela (kanan) membantu menyemai minat Muzaffar dalam perniagaan.
  • FotoPENDORONG...keluarga memberi sokongan padu terhadap usahanya.
  • FotoTELITI...setiap produk dikeluarkan dipastikan mematuhi piawaian.
  • FotoTERBAIK...kolagen asli buat mereka yang mementingkan kesihatan.
Terdetik juga perasaan hairan mengapa dia meminati lapangan itu yang berbeza dengan pengusaha produk kesihatan dan kecantikan lain.

Cuba lari daripada kebiasaan, Pengarah Urusan ZZ Marketing Resources, Muzaffar Mustafa ingin memecah tradisi dengan pembabitannya secara serius dalam bidang keusahawanan yang dikuasai golongan wanita.

Lelaki berusia 39 tahun ini tidak kekok, malah selesa bercerita mengenai produk kesihatan dan penjagaan kecantikan wanita.

“Saya akui pembabitan lelaki dalam perniagaan yang dikuasai wanita, terutama perniagaan berasaskan penjagaan kesihatan dan kecantikan wanita seperti produk kolagen, sangat terhad.

“Bukan kerana malu, sebaliknya mungkin disebabkan kurang arif dan tidak selesa berdepan pelanggan yang majoritinya perempuan membuatkan mereka lebih suka berundur daripada mencubanya.

“Bagi saya, ia ‘universal’. Acapkali berurusan di luar sambil ditemani isteri menyebabkan saya mempunyai visi berbeza dengan melihat perniagaan ini tidak pernah ‘memilih bulu’ terhadap sesiapa yang ingin menceburinya.

“Cuma perlukan kesungguhan dan kebijaksanaan supaya pelanggan yang biasanya wanita faham apa yang kita ingin sampaikan mengenai sesuatu produk,” katanya yang lima tahun terbabit dalam perusahaan ini.

Apabila menyebut perniagaan itu lebih bersifat terbuka, Muzaffar berasa sasaran terhadap perniagaan itu turut luas.

“Siapa kata produk kolagen hanya boleh diminum wanita. Mereka yang mementingkan kesihatan, termasuk lelaki yang memerlukan kolagen bagi mengatasi masalah penuaan, boleh mengambil produk terbabit.

“Kesihatan meliputi kulit serta organ yang bertindak aktif untuk mengurangkan ejen penuaan, dan secara tidak langsung keletihan disebabkan terlalu banyak aktiviti dapat diatasi dengan pengambilan konsisten,” katanya yang ingin mengubah persepsi masyarakat bahawa kepentingan kolagen hanya khusus buat kaum Hawa.

Melihat dia benar-benar mengenali produk dihasilkan, Muzaffar berkata, kalau dibandingkan dengan usahawan lain, pembabitannya dalam bidang perniagaan masih dikit.

Dia pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan selama 18 tahun sebelum mengambil tindakan drastik dengan meletakkan jawatan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan.

“Sebelum ini saya perlu berada di pejabat jam 8 pagi dan pulang sebaik jarum menunjukkan jam 5 petang, tetapi kini kehidupan saya berubah 100 peratus.

“Saya bekerja ibarat 24 jam. Pulang di rumah bukan bermaksud saya berhenti berehat, sebaliknya saya perlu memikirkan pula strategi untuk esok.

“Boleh dikatakan saya terbabit dalam sebahagian besar tumpuan kepada perniagaan dan semua peringkat jawatan yang wujud dalam syarikat.

“Tidak kiralah saya perlu menjadi kerani atau bertemu pelanggan mahupun urusan kilang, saya perlu turun padang,” katanya yang kini mempunyai ejen hampir di seluruh negara.

Ditanya mengenai tindakannya memperjudikan jaminan hidup apabila berhenti kerja di sektor kerajaan, Muzaffar tidak meragui tindakan itu disebabkan percaya dengan produk dihasilkannya.

“Sebenarnya, saya membabitkan diri secara sambilan selama tiga tahun dan melihat permintaan terhadap produk memberangsangkan. Saya bermula daripada bawah dan boleh dikatakan terbabit dalam setiap projek pembangunan produk.

“Saya lihat produk dihasilkan dan kesannya terhadap kesihatan dan kecantikan, malah ada potensi berkembang lebih jauh, menyebabkan saya tekad berhenti.

“Saya tidak kesal meninggalkan jawatan dalam kerajaan berikutan pencapaian memberangsangkan selepas lima tahun membangunkan ZZ Beauty bersama isteri,” katanya.

Dia berkata, sokongan padu tentu sekali diterima daripada keluarga. Bagi anak jati Kuala Lumpur itu, isterinya, Aziela Che Nor, 42, dan anak menjadi pendorong kepada usaha gigihnya untuk terus membangunkan jenamanya.

“Isteri sebenarnya menceburi bidang penjagaan kesihatan serta kecantikan terlebih dulu dan saya sekali sekala turun membantu.

“Melihat isteri gigih berusaha membuat saya kagum. Kerap turun bersama isteri membuat saya berminat menceburi bidang perniagaan dan berani keluar daripada zon selesa.

“Tambah menguatkan semangat, testimoni serta maklum balas pelanggan
begitu positif hingga membuatkan saya berasa teruja dengan produk dihasilkan,” katanya.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Muzaffar berkata, tentu sekali ketelitian dan produk dihasilkan berkualiti dapat menjamin pasaran terus berkembang.

“Saya dan isteri sedia maklum, produk kolagen ditawarkan dalam pasaran tempatan tumbuh seperti cendawan sebaik hujan. Namun saya tidak khuatir dengan persaingan pasaran kerana produk disediakan kami dijamin kualitinya.

“Seawal pemilihan bahan mentah iaitu produk ikan segar diimport dari Perancis membolehkan kami mencapai spesifikasi piawaian kolagen bermutu tinggi.

“Syarikat saya juga mempunyai kilang sendiri, sekali gus membolehkan kami memantau setiap proses hingga ke peringkat pembungkusan mengikut amalan pengeluaran baik atau Good Manufacturing Practice (GMP) iaitu piawaian khusus produk bertaraf antarabangsa.

“Saya juga menghantar contoh produk untuk diuji enam bulan sekali bagi memastikan ia berkesan dan selamat untuk pelanggan,” katanya yang membuat lawatan ke luar negara untuk memastikan bahan mentah berkualiti tinggi.

Muzaffar turut kesal dengan tindakan sesetengah individu yang menghasilkan produk tiruan menggunakan jenamanya, sekali gus menjejaskan kredibiliti syarikatnya.

“Paling mencabar ketika ini ialah, saya dan isteri terpaksa bergelut dengan kemunculan produk tiruan yang menggunakan jenama kami.

“Ia dibungkus dalam botol, berbeza dengan produk tulen keluaran kami yang menggunakan kotak. Kredibiliti kami di kalangan pelanggan sedikit terjejas dan pelanggan yang pernah mengambil produk tiruan ini menerima kesan sampingan.

“Kami berusaha memaklumkan semua ejen mahupun pelanggan supaya mendapatkan produk sebenar dalam bentuk kotak kerana ia mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan serta pihak berkaitan,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Muzaffar Mustafa
UMUR: 39 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan ZZ Marketing Resources
ISTERI: Aziela Che Nor

ANAK: Wan Muhammad Izzat Ezany (23), Siti Camalin Sofea Muzaffar (10) dan Siti Aisyah Zulaika (3)

0 comments: